Amalan Tungku Bayi Perlu Dibuat Dengan Cara Betul, Barulah Si Manja Tak Meragam

Tungku bayi perlu dilakukan sebagai rutin kerana berkesan dalam memberikan keselesaan serta mengatasi masalah kembung perut. Ini tips dan cara yang betul!

Setelah selamat melahirkan zuriat buat suami tercinta, tidak hanya ibu dalam pantang sahaja perlu bertungku, tetapi bayi juga hendaklah dituam dan tungku. Amalan tungku bayi stelah dilakukan sejak zaman nenek moyang dahulu sehinggalah sekarang bagi mengelakkan sebarang masalah.

Amalan tradisional ini dilakukan bersama beberapa jenis herba agar bayi terhindar masalah angin atau mudah jatuh sakit. Namun ia hendaklah mengikut kesesuaian dan keadaan si manja.

Kebaikan amalan tungku bayi dan bahagian tubuh yang perlu dituam

credit to sources

Walaupun zaman sudah berubah, sebenarnya amalan tungku bayi masih dianggap relevan memandangkan ia memberikan pelbagai manfaat terhadap kesihatan si manja. Antaranya ialah:

  • Memberikan keselesaan kepada bayi
  • Mengelakkan masalah kembung perut
  • Meredakan lebam selepas bayi dicucuk
  • Membuang angin dari dalam tubuh
  • Membantu bayi tidur lebih lena dan kurang menangis
  • Mengelakkan masalah angin pasang (hernia) pada anak lelaki
  • Menghangatkan si manja selepas mandi atau waktu sejuk

Bahan yang diperlukan untuk buat tungku anak

Antara 7 jenis herba yang dikatakan terbaik sebagai ramuan tungku bayi adalah:

#1.  Jintan hitam atau habbatussauda– dapat meningkatkan sistem imunisasi, bersifat antibakteria dan membantu masalah pencernaan.

#2. Lada hitam- kaya dengan vitamin baik seperti vitamin C, A, Flavonoid, Karoten dan oksidan. Ia turut meningkatkan penyerapan nutrisi.

#3. Halba- melancarkan peredaran darah, mengatasi masalah radang kulit serta mengurangkan demam.

#4. Halia bara atau halia merah- mengeluarkan angin dalam badan, melegakan demam serta melembutkan kulit.

foto: pantangplus

#5. Bawang putih- melancarkan peredaran darah dan sumber antibiotik semulajadi yang bertindak mencegah penyakit.

#6. Biji ketumbar- melancarkan pengeluaran air kencing, peredaran darah dan proses pencernaan.

#7. Biji sawi- melicinkan salur tali pusat, memanaskan tubuh badan serta mengelakkan masalah sesak nafas.

Bagi melakukan tuam bayi atau tungku, ibu ayah boleh menggunakan salah satu herba di atas. Namun adalah lebih baik gabungkan kesemuanya sekali bagi mendapatkan kesan yang optimum.

Cara tuam bayi yang betul 

#1. Sediakan semua bahan yang ingin digunakan

Ibu ayah perlu menyediakan sehelai kain bersaiz kecil bagi meletakkan herba-herba di atas. Anda boleh mendapatkannya di pasaraya ataupun kedai runcit. 

Jenis kain yang disarankan adalah seelok-eloknya cotton flannel kerana ia bersifat cepat meresap, tahan lasak dan tidak mudah koyak.

#2. Salai atau goreng tanpa minyak

Pastikan kuantiti herba tidak terlalu banyak bagi mengekalkan saiz tungku yang sederhana comel. Anda disaran mengambil 1 atau 2 sudu besar setiap herba, 3-5 ulas halia bara dan bawang putih tanpa perlu buang kulitnya.

Kemudian, goreng tanpa minyak dalam kuali seketika bagi memastikan ia kering dan tidak mudah dijangkiti kulat. Masukkan herba-herba berkenaan dalam kain yang disediakan, ikat dengan ketat sehingga ia membentuk bunjut.

#3. Panaskan bunjut tungku

foto: pantangplus

Sebelum menggunakan tungku, ibu ayah perlu memanaskannya terlebih dahulu. Antara cara mudah ialah menggunakan seterika. Pastikan anda rasa dahulu tahap kepanasannya bagi mengelakkan bayi melecur. Tungku bayi perlu suam-suam panas sahaja.

#4. Sesi tuam pada bahagian tubuh bayi

Ibu ayah perlu tuam bayi mengikut satu arah sahaja dan elak menekan dengan kuat bagi memberikan keselesaan kepada si manja.

Mengikut petua orang-orang lama, bayi seeloknya dituam pada bahagian belakangnya iaitu dari bahu terus ke pinggang. Bukan itu sahaja, sekitar bahagian perut, ari-ari, pelipat kaki serta tapak kaki selama beberapa minit.

Bagi mengelakkan masalah angin pasang, ibu ayah boleh tuamkan pada bahagian kemaluannya.

#5. Tempoh masa untuk tungku bayi

Ini antara perkara yang wajib ibu ayah tahu. Tuaman bayi boleh dilakukan sebanyak 5 hingga 10 kali sahaja sehari. 

Setiap kali selepas mandi, anda boleh lakukannya sebanyak dua kali. Kemudian, pastikan menyimpannya di tempat yang kering dan bersih.

Bukan itu sahaja, amalkan penjagaan tungku bayi dengan betul iaitu menjemur tungku di bawah cahaya matahari selama 10 hingga 15 minit bagi mengelakkan berlakunya masalah kulat dan bakteria.

Sumber: Atulhamid, Bidadari

Kredit foto: Shadira Post Natal

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

https://my.theasianparent.combedung-bayi-sampai-umur-berapa