Usah Tangguh Kehamilan, Ini Usia Ideal Hamil Untuk Mendapatkan Anak Sihat & Comel!

Tahukah anda usia ideal hamil adalah dari 20 hingga 35 tahun bagi memperoleh cahaya mata yang sihat? Namun, bagaimana pula jika mengandung pada usia lewat?

Setelah mendirikan rumah tangga, pasti anda dan pasangan menginginkan cahaya mata bagi melengkapkan lagi hubungan suami isteri. Bagi sesetengah wanita, mereka mungkin tidak merancang ‘berusaha’ terlalu awal atas alasan mahu enjoy hidup berdua dan tunggu kewangan stabil. Tapi, berapakah usia ideal hamil bagi memperoleh anak?

Tidak dinafikan untuk menerima kehadiran ‘orang baru’ dalam hidup adalah keputusan penting dan perlu benar-benar bersedia fizikal serta mental. Hal ini kerana cabaran kos sara hidup serta kesibukan kerjaya harian menyebabkan anda terpaksa menunda dahulu kehamilan.

Usia ideal hamil anak pertama

Tahukah anda bahawa usia pertengahan 20-an dikira sebagai paling terbaik untuk hamil anak pertama? Hal ini kerana ia adalah tahun paling subur untuk kebanyakan lelaki dan wanita.

Pada ketika ini juga, golongan isteri mengalami haid lebih teratur, telur juga lebih kuat dan sihat, iaitu sekitar 400 000 telur dikeluarkan semasa hayat anda. Justeru, potensi untuk subur adalah sangat tinggi.

Secara puratanya, wanita berumur 20 hingga 24 tahun mempunyai lebih daripada 20 peratus peluang hamil pada setiap bulan dengan melakukan hubungan seks tanpa perlindungan yang lebih kerap bersama pasangan.

Mengurangkan risiko keguguran bayi

Usia ideal hamil pada pertengahan 20-an dapat mengurangkan risiko keguguran disebabkan oleh proses penuaan badan. Kehamilan pada umur ini turut dapat menghindarkan anak daripada serangan pelbagai penyakit bahaya.

Bukan itu sahaja, usia muda ini membuatkan anda lebih bertenaga untuk menguruskan bayi dengan lebih baik. Menjadi seorang ibu bukanlah suatu tugas yang mudah kerana memerlukan penjagaan rapi, pengurusan harian serta memastikan keperluan anak-anak lengkap.

Antara alasan lain mengapa anda perlu segera mendapatkan anak pertama pada usia 20 hingga 30 tahun ialah:

  • Berat badan wanita dikatakan lebih rendah, jadi berat ketika hamil boleh dikawal dengan mudah.
  • Lebih subur dan peluang untuk hamil adalah tinggi.
  • Anda memiliki banyak tenaga bagi melalui proses kehamilan dan kelahiran.
  • Wanita memiliki jumlah telur yang berkualiti.
  • Kadar risiko kehamilan adalah rendah.
  • Mudah untuk hamil semula

Walau bagaimanapun, kebanyakan pasangan memilih untuk menangguh kehamilan pada tempoh usia ini apabila memikirkan pelbagai perkara yang perlu diberi keutamaan seperti  ketidakstabilan kewangan, kekurangan masa bersama dan tuntutan kerjaya.

Kesan menangguhkan kehamilan pada lewat usia 

Sekiranya menimang cahaya mata pertama pada awal 20-an dikatakan baik untuk kesihatan anda, hamil pada selepas umur 30 tahun adalah lebih terjamin dari aspek kewangan keluarga.

Pada ketika ini, kebanyakan wanita mungkin memiliki pekerjaan lebih stabil dan cuti bersalin tidak menjadi masalah besar buat anda. Selepas habis tempoh berpantang, anda boleh kembali semula ke tempat kerja dan menyesuaikan diri sebagai ibu bekerjaya.

Namun sebenarnya selepas melepasi zon selesa atau sesuai untuk hamil, kebanyakan wanita yang mengandung pada usia 35 tahun ke atas akan mengalami beberapa siri kehamilan berisiko tinggi.

Hal ini kerana tahap kesihatan anda perlu dipantau bagi mengelakkan berlaku gejala yang membahayakan keselamatan serta kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.

Pada kehamilan lewat, ovum dan sel telur yang dimiliki wanita berusia 35 tahun ke atas mungkin sudah tidak sama ketika muda. Selain itu, anda turut mempunyai jumlah ovum terbatas kerana faktor penurunan kualiti setiap kali pertambahan usia.

Antara risiko hamil pada usia lewat ialah:

#1. Berisiko tinggi untuk bersalin secara pembedahan.

#2. Risiko kelahiran pramatang.

#3. Bayi kurang berat badan.

#4. Pendarahan yang banyak selepas bersalin.

#5. Risiko kecacatan janin seperti kelahiran sindrom down, keabnormalan janin yang bercorak genetik, keguguran secara spontan dan kematian.

#6. Mudah menghidap penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi yang memudaratkan kehamilan.

#7. Risiko janin meninggal kerana faktor aneuplodi dan genetik lain berkait rapat dengan usia lanjut.

Namun, jangan jadikan masalah ini sebagai alasan untuk tidak boleh memiliki zuriat meskipun umur anda semakin meningkat.

Pastikan anda mendapatkan terlebih dahulu nasihat daripada doktor atau pakar. Hospital di Malaysia pada hari ini telah banyak mewujudkan kaedah perawatan moden obstetrik. Ia diyakini dapat membantu para ibu ketika proses kehamilan dan kelahiran yang selamat.

Sumber: Donna

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

https://my.theasianparent.combahaya-kehamilan