Vaksin Influenza Boleh Diambil Seawal Bayi 6 Bulan, Ini Info LENGKAP & Panduan Untuk Anda!
Vaksin influenza untuk apa? Bagi yang tidak tahu, ia perlu diambil seisi keluarga bagi mengelakkan jangkitan teruk akibat virus Influenza
Vaksin influenza untuk apa dan siapakah yang perlu mengambilnya? Ini antara soalan yang paling biasa ditanya oleh kebanyakan ibu ayah. Tidak dinafikan bahawa masyarakat masih kurang kesedaran akan kepentingan suntikan ini terhadap diri mereka.
Kesannya apabila dijangkiti virus influenza, seseorang akan berdepan masalah kesihatan yang begitu teruk sehingga boleh meragut nyawa.
Isi Kandungan
Vaksin influenza untuk apa?
Sudahkah anda dan keluarga mendapat vaksin influenza atau flu pada tahun ini? Adakah anda tahu vaksin influenza untuk apa sebenarnya?
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kajiannya baru-baru ini, mendapati sekitar 600 juta masyarakat di dunia berhadapan risiko influenza setiap tahun. Kadar kematian berkaitan penyakit influenza dianggarkan mencapai 400,000 setahun.
Pakar perubatan Malaysia menyedari bahawa imuniti masyarakat negara kita masih rendah kerana kurangnya pendedahan mereka mengenai jangkitan influenza dan pengambilan vaksin influenza sejak beberapa tahun lalu.
Justeru Malaysia Influenza Working Group (MIWG) yang terdiri daripada pakar perubatan menyenaraikan jawapan vaksin influenza untuk apa sebenarnya.
#1. Ujian flu jarang dilakukan
Gejala flu adalah hampir sama dengan Covid-19, namun kebanyakan masyarakat mengambil ringan akan simptom yang dihidapi.
Bukan itu sahaja, ujian flu juga tidak dilakukan secara kerap. Jika anak atau ada ahli keluarga anda yang mempunyai faktor komorbid mengabaikan gejala flu, ia boleh membuatkan tahap jangkitan flu dan penyakit sedia ada lebih teruk.
Justeru vaksin influenza perlu diambil bagi mengelakkan seseorang dijangkiti penyakit yang teruk.
#2. Jangkitan flu amat bahaya
Kumpulan berisiko tinggi jika dijangkiti flu adalah kanak-kanak, wanita hamil dan sehingga dua minggu selepas bersalin, warga emas, pesakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, buah pinggang dan barah.
Antara komplikasi serius penyakit influenza yang memerlukan rawatan di hospital ialah radang paru-paru yang berpunca sama ada daripada jangkitan flu atau jangkitan bersama virus dan bakteria.
Flu juga boleh membawa kepada sepsis iaitu tindak balas yang mengancam nyawa kepada jangkitan boleh merebak pantas kepada kegagalan organ dan kematian.
#3. Flu amat mudah berjangkit
Kawasan Tropika seperti Malaysia menyebabkan penyakit influenza boleh berlaku pada bila-bila masa.
Lebih membimbangkan influenza boleh merebak daripada seorang ke seorang, terutama melalui titisan cecair sehingga kira-kira sejauh 1.8 meter melalui batuk, bersin ataupun kontak rapat.
Ia berjangkit dengan mudah dalam komuniti dengan penularan yang pantas di kawasan sesak seperti sekolah dan rumah jagaan.
Justeru vaksin influenza dapat mengurangkan penyakit berkaitan flu dan risiko komplikasi serius yang boleh mengakibatkan kemasukan ke hospital atau kematian.
Beza antara penyakit flu dan selesema biasa
Orang ramai sering keliru antara flu dengan selesema biasa. Mereka perlu tahu influenza jauh lebih teruk daripada selesema biasa.
Penyakit flu asalnya dari virus dan ia mudah disebarkan daripada seseorang kepada orang lain. Kanak-kanak ialah golongan paling mudah dijangkiti dan penyebar utama influenza.
Virus flu menyerang badan dengan lebih pantas berbanding dengan selesema dan boleh menyebabkan orang itu rasa lemah, demam teruk dan rasa sakit badan.
Ia jauh berlainan dari kanak-kanak yang masih aktif bermain dan meneruskan aktiviti harian ketika menghidap selesema.
Penyakit flu boleh menyebabkan kanak-kanak serta orang dewasa terlantar di atas katil.
Simptom influenza
- Demam dan menggigil
- Demam panas yang tidak kebah meskipun ambil paracetamol
- Sakit kepala dan otot
- Sakit tekak
- Batuk
- Selesema
- Sakit perut
- Loya
- Muntah
Sekiranya anak mengalami simptom influenza seperti nafas laju, sesak nafas, suhu demam tinggi berpanjangan, bayi enggan minum susu dan kulit kelihatan kebiru-biruan, segera bawa mereka berjumpa dengan doktor.
Golongan yang perlu mendapatkan vaksin flu?
Seorang doktor dari One Medical, Dr. Stephanie Long, menerangkan siapa yang memerlukan suntikan vaksin influenza, siapa yang perlu mengelaknya dan kekerapan untuk mendapat imunisasi ini.
Menurut Dr. Long, SEMUA ORANG patut mengambil vaksin ini. Terdapat beberapa kumpulan individu yang harus diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin influenza.
Antaranya:
- kanak-kanak kecil
- mereka yang mempunyai masalah imun
- wanita hamil
- mereka yang berumur 65 tahun ke atas
Penyakit influenza ini ini tidak peduli sekiranya anda menjaga pemakanan yang baik atau orang itu mempunyai kehidupan yang cergas dan sihat. Setiap orang masih memerlukan pelindungan vaksin ini.
Siapakah individu yang TIDAK patut mengambil vaksin flu?
“Sesiapa yang berumur 6 bulan ke atas boleh mengambil jenis vaksin ini,” kata Dr. Long.
Di bawah adalah golongan yang perlu mengelakkan dari mengambil suntikan influenza iaitu:
- Anak atau keluarga mengalami alahan terhadap vaksin flu atau sebarang bahan dalam vaksin yang mengancam nyawa
- Vaksin influenza untuk bayi tidak sesuai sekiranya si manja mempunyai alahan kepada telur
- Sekiranya anda mempunyai sindrom Guillain-Barré (penyakit lumpuh yang teruk)
- Sekiranya anda sakit bersama dengan demam atau tidak sihat
Namun sekiranya vaksin influenza untuk bayi tidak sesuai diambil oleh si manja, Dr. Long menasihatkan ibu bapa atau penjaga berbincang dengan doktor bagi mengetahui cara lain untuk mengelak penyakit flu.
Perlukah jenis vaksin ini diambil setiap tahun?
Ya. Jenis vaksin influenza ini hanya berkekalan untuk tempoh satu tahun sahaja. Ini kerana jenis atau strain influenza baru akan muncul setiap tahun.
Justeru pastikan anda memberikan vaksin influenza untuk bayi dan seisi keluarga pada setiap tahun.
Vaksin influenza harga
Meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa penularan wabak penyakit influenza di Malaysia sehingga kini masih terkawal.
Namun sebagai ibu ayah, ia tetap membimbangkan kerana dikhuatiri virus ini akan menjangkiti anak-anak
Bukan itu sahaja, vaksin influenza tidak tersedia di klinik kesihatan kerajaan. Anda perlu mendapatkan suntikan vaksin influenza ini di klinik ataupun hospital swasta yang berdekatan.
Vaksin influenza harga bermula RM50 hingga RM100 di fasiliti kesihatan swasta. Ia mungkin berbeza mengikut jenis vaksin yang anda ambil.
Jumlah dos vaksin kanak kanak influenza
Suntikan influenza mengambil masa dua minggu untuk memberi perlindungan dan boleh bertahan sehingga setahun.
Jumlah dosnya adalah: Satu suntikan untuk individu berusia lebih 9 tahun, dua dos sekurang-kurangnya 4 minggu selepas dos pertama untuk bayi berusia 6 bulan hingga 9 tahun. Manakala separuh dos untuk bayi berusia 6 hingga 36 bulan.
Kesan vaksin influenza untuk kanak kanak dan bayi
Vaksin influenza untuk kanak kanak dan bayi mungkin menyebabkan kesan sampingan seperti kesakitan, kemerahan pada tempat suntikan atau demam.
Namun kebanyakan kesan sampingan ini adalah ringan dan sembuh dengan segera. Lazimnya kesan sampingan vaksin influenza untuk kanak kanak dan bayi yang serius amat jarang berlaku.
Adalah sukar untuk menjangka siapa yang akan mengalami kesan sampingan ringan dan yang berkemungkinan mengalami kesan sampingan yang lebih serius kesan dari pengambilan vaksin.
Senarai tambahan vaksin untuk bayi yang perlu diambil
- Vaksin untuk bayi: Cacar air (varisela)
Penyakit mudah berjangkit yang menyebabkan demam dan kulit melepuh. - Hepatitis A Jangkitan hati disebabkan virus hepatitis A.
- Influenza. Jangkitan virus pada hidung, tekak dan paru-paru.
- Penyakit Meningokokus. Jangkitan bakteria pada lapisan otak dan saraf tunjang yang boleh menyebabkan hilang upaya yang kekal.
- Vaksin untuk bayi: Rotavirus. Menyebabkan muntah dan cirit-birit teruk dalam kalangan bayi.
Kebanyakan vaksin yang disebutkan di atas memberi perlindungan terhadap penyakit yang sering menjangkiti kanak-kanak.
Dalam hal ini, Vaksin Tambahan Yang Disyorkan juga boleh mengelakkan wabak atau epidemik penyakit. Ia penting seperti mana imunisasi rutin dalam memberi perlindungan kepada anak anda daripada penyakit cegahan vaksin.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Ini Hukum Serta Pandangan Islam Tentang Vaksin Untuk Kanak-kanak
Baca juga: Nak Vaksin Anak Ke Tak? Doktor Tampil Perjelaskan INFO Sebenar Ibu Ayah Perlu Tahu