Berita kehamilan sememangnya mampu membuat kita suami isteri teruja. Namun, dalam gembira itu pun, pasti akan ada yang terkejut…terutamanya mereka yang baru sahaja hendak bermanja dengan anda – anak anda!
Dalam video yang kami kongsikan di sini, seorang budak lelaki, si abang sulung, memberikan reaksi yang sangat lucu apabila menerima berita yang ibunya hamil lagi!
https://www.facebook.com/FatherlyHQ/videos/1270564026330070/
“Ini sangat mengecewakan!” “Ini tidak masuk akal langsung. Bayi jenis apa itu?” “Alamak, bayi lelaki sangat teruk bila menangis. Belikan saya penyumbat telinga….”
Memang boleh tergelak sorang-sorang jika menonton video ini. Sambil si abang meluahkan perasaan tidak puas hatinya, si adik perempuan pula tenang sahaja duduk di sebelah.
Cara-Cara untuk Memberitahu Anak Anda yang Anda Mengandung Lagi
Perkara sebegini pasti pernah terjadi di kalangan kita. Selepas menonton video ini, mungkin ada yang tertanya-tanya apakah antara cara menarik untuk memberitahu anak anda akan kehadiran ahli baru dalam keluarga.
1. Berkongsi Cerita Kehadiran Adik Baru Sambil Makan-Makan
Daripada kita terus secara tiba-tiba memberitahu anak kita tentang kehadiran bayi baru, apa kata kita sejukkan dahulu hati si kecil dengan makan-makan. Kalau anak sulung anda gemar makan kek, anda bolehlah membuat atau membeli kek yang istimewa untuknya.
Sambil makan-makan, bolehlah anda mula berkongsi cerita. Letakkan mesej tentang kehamilan anda pada kek itu jika anda mahu.
Yang pastinya, si sulung pasti akan lebih mudah untuk menerima hakikat yang dia bakal menggalas tanggungjawab sebagai abang atau kakak kepada seorang lagi adik sambil menikmati sepotong kek di tangannya!
2. Aktiviti Mencari Harta Karun Berserta Pengumumam Kehamilan
Jika anak anda gemar aktiviti mencari harta karun, mungkin ada boleh sembunyikan kad pengumuman kehamilan anda di mana-mana ruangan tersembunyi di dalam rumah anda.
Sertakan juga snek-snek yang sedap atau hadiah mainan bersama dengan kad ini. Sambil dia menikmati atau bermain dengan ‘harta karun’ yang dijumpainya, pasti dia juga akan teruja dengan pengumuman kehamilan yang anda sertakan itu.
Jika sudah tahu jantina bayi, tuliskan juga jantina bayi tersebut supaya mudah si sulung untuk menyesuaikan diri dengan kehadiran bakal adik lelaki atau adik perempuannya.
3. Melalui Penceritaan dari Buku Cerita Kanak-Kanak
Lagi satu cara menarik untuk memberitahu anak anda yang anda mengandung dan dia bakal menjadi abang atau kakak lagi adalah dengan berkongsi cerita tentang seronoknya mempunyai adik beradik.
Antara contoh buku yang memuatkan cerita tentang adik beradik yang boleh anda gunakan adalah seperti:
- I’m a Big Sister atau I’m a Big Brother yang ditulis oleh Joanna Cole
- There’s A House Inside My Mummy yang ditulis oleh Giles Andreae
- Baby on the Way yang tulis oleh William Sears, Martha Sears & Christie Watts.
Bacakan buku ini kepada mereka sewaktu masa lapang atau sebelum tidur dan kemudian bolehlah anda memberitahu mereka tentang berita kehamilan anda.
Pasti si sulung lebih bersedia dari segi mental jika anda memberitahunya selepas dia mendengar kisah dari buku tersebut.
Bagaimana pula dengan anda? Pernahkah anda mempunyai pengalaman memberitahu anak-anak yang mereka akan menerima adik baru? Kongsikan cerita anda dengan kami di ruangan komen di bawah ini.