Penyakit RSV Pada Bayi & Kanak-Kanak: Simptom, Rawatan Dan Langkah Pencegahan

undefined

Penyakit RSV pada bayi dan kanak-kanak atau jangkitan Respiratory Syncytial Virus adalah masalah kesihatan yang menganggu sistem pernafasan

Penyakit RSV pada bayi atau Respiratory Syncytial Virus merupakan salah satu punca utama jangkitan saluran pernafasan dalam kalangan bayi dan kanak-kanak di seluruh dunia.

Walaupun penyakit RSV menyebabkan gejala ringan seperti selsema biasa dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih besar, ia boleh menjadi serius dan berbahaya apabila menjangkiti bayi, terutamanya yang berusia bawah dua tahun.

Apa Itu Penyakit RSV Pada Bayi?

Penyakit RSV pada bayi adalah sejenis virus yang menyerang sistem pernafasan. Ia boleh menyebabkan jangkitan ringan seperti selesema, tetapi dalam sesetengah kes, terutamanya pada bayi dan golongan berisiko tinggi, ia boleh mengakibatkan masalah pernafasan yang lebih serius seperti bronkiolitis (radang saluran udara kecil di paru-paru) dan pneumonia (jangkitan paru-paru).

Adakah RSV Penyakit Berjangkit?

Penyakit RSV merupakan sejenis virus pernafasan yang sangat mudah berjangkit, terutamanya dalam kalangan bayi, kanak-kanak kecil, warga emas, dan individu yang mempunyai sistem imun lemah.

Virus ini disebarkan melalui beberapa cara, antaranya:

  1. Titisan pernafasan: Apabila seseorang yang dijangkiti batuk atau bersin, titisan kecil yang mengandungi virus boleh tersebar ke udara dan dihidu oleh individu lain.

  2. Sentuhan langsung: Virus RSV boleh merebak melalui sentuhan langsung dengan individu yang dijangkiti, contohnya melalui ciuman atau pegangan tangan.

  3. Sentuhan permukaan tercemar: RSV juga boleh hidup di atas permukaan keras seperti meja, tombol pintu, atau mainan selama beberapa jam. Menyentuh permukaan tersebut dan kemudian menyentuh muka (terutamanya hidung, mulut atau mata) boleh menyebabkan jangkitan.

Punca Virus RSV Pada Bayi Dan Kanak-kanak

Berikut punca virus RSV pada bayi dan kanak-kanak:

1. Penularan Melalui Titisan Pernafasan

Virus RSV disebarkan melalui titisan kecil yang dilepaskan ke udara apabila seseorang yang dijangkiti batuk, bersin, atau bercakap. Bayi dan kanak-kanak yang berada berdekatan dengan individu yang membawa virus ini mudah terdedah kepada jangkitan.

  • Titisan yang mengandungi virus boleh dihidu terus ke dalam sistem pernafasan bayi.

  • Dalam ruang tertutup seperti rumah, taska atau hospital, risiko penularan menjadi lebih tinggi kerana titisan ini boleh terapung di udara untuk seketika.

2. Sentuhan Permukaan atau Objek Tercemar

Virus RSV boleh bertahan di atas permukaan keras seperti meja, tombol pintu, alat permainan, atau peralatan makan selama beberapa jam.

Bayi dan kanak-kanak kecil yang sering menyentuh pelbagai permukaan dan kemudiannya memasukkan tangan atau objek ke dalam mulut lebih berisiko untuk mendapat jangkitan.

Contoh permukaan tercemar:

  • Mainan bayi

  • Botol susu

  • Perabot rumah

  • Permukaan katil atau kerusi bayi

3. Sentuhan Dengan Orang Yang Dijangkiti

Kanak-kanak boleh dijangkiti penyakit RSV melalui sentuhan langsung seperti:

  • Ciuman di pipi atau mulut daripada individu yang dijangkiti.

  • Berkongsi peralatan makan, botol susu, atau tuala dengan orang sakit.

  • Dipegang atau didukung oleh orang yang menghidap jangkitan pernafasan tanpa mencuci tangan terlebih dahulu.

4. Sistem Imunisasi Bayi Belum Matang

Bayi yang masih kecil, terutama berumur di bawah enam bulan, mempunyai sistem imunisasi yang belum matang. Ini menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada jangkitan seperti RSV, berbanding kanak-kanak yang lebih besar atau orang dewasa.

  • Bayi pramatang mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana imuniti mereka lebih rendah sejak lahir.

  • Bayi yang tidak menerima penyusuan susu ibu sepenuhnya juga mungkin mempunyai imuniti yang kurang berbanding bayi yang menyusu badan.

5. Pendedahan Di Tempat Sesak

Tempat yang sesak dan tertutup meningkatkan risiko penyebaran virus RSV kerana:

  • Lebih ramai individu berkumpul dalam ruang yang sama.

  • Peredaran udara yang kurang baik menyebabkan virus bertahan lebih lama di udara.

Tempat berisiko tinggi termasuk:

  • Pusat jagaan kanak-kanak

  • Taska atau tadika

  • Klinik dan hospital

  • Tempat awam seperti pusat beli-belah

Siapa Berisiko Dijangkiti Virus RSV?

Penyakit RSV membawa risiko yang lebih tinggi kepada bayi dan kanak-kanak dalam kumpulan berikut:

  • Bayi yang dilahirkan pramatang, iaitu sebelum mencapai 37 minggu usia kehamilan.

  • Bayi atau kanak-kanak yang mengalami penyakit paru-paru kronik seperti displasia bronkopulmonari.

  • Bayi atau kanak-kanak yang menghidap masalah jantung kongenital.

  • Bayi atau kanak-kanak yang mempunyai gangguan pada sistem saraf.

  • Bayi atau kanak-kanak yang mengalami kelemahan sistem imun, sama ada disebabkan oleh penyakit atau rawatan perubatan tertentu.

Penyakit RSV Pada Bayi: Tanda Tanda RSV Yang Perlu Anda Tahu

Tanda tanda penyakit RSV pada bayi dan kanak-kanak adalah:

1. Hidung Berair dan Bersin

Antara simptom awal penyakit RSV ialah hidung berair (selesema) dan bersin berulang-ulang. Ini berlaku kerana virus RSV menyerang saluran pernafasan atas, menyebabkan pengeluaran lendir yang berlebihan.

2. Batuk Berkahak

Virus RSV sering menyebabkan batuk yang bermula secara ringan tetapi boleh menjadi semakin teruk, terutama pada hari ketiga hingga kelima jangkitan. Batuk mungkin berbunyi basah atau berkahak, dan dalam kes yang lebih serius, boleh disertai dengan sesak nafas.

3. Demam

Demam ringan hingga sederhana adalah tanda biasa jangkitan RSV. Namun, perlu diberi perhatian sekiranya suhu badan bayi meningkat melebihi 38°C, atau demam berterusan lebih daripada dua hari.

4. Kesukaran Bernafas

Tanda penyakit RSV yang serius termasuklah:

  • Nafas berbunyi seperti “wheezing” (bunyi berdesir ketika bernafas).

  • Pernafasan laju atau tidak teratur.

  • Otot dada dan tulang rusuk bayi kelihatan tertarik ke dalam semasa menarik nafas (retraksi dada).

  • Hidung kembang-kempis sewaktu bernafas. Tanda-tanda ini menunjukkan bahawa bayi mengalami kesukaran mendapatkan oksigen yang mencukupi.

5. Hilang Selera Makan

Bayi yang dijangkiti virus RSV sering kurang minum susu atau makan, disebabkan hidung tersumbat, keletihan, dan kesukaran bernafas. Bayi tidak mahu menyusu boleh mengalami dehidrasi, satu keadaan yang perlu dipantau dengan serius.

6. Letih atau Lesu

Penyakit RSV boleh menyebabkan bayi menjadi lebih mengantuk, kurang aktif, atau sukar untuk dibangunkan. Bayi mungkin kelihatan lemah dan kurang responsif berbanding kebiasaannya.

7. Warna Kulit Bertukar Kebiruan

Dalam kes RSV yang teruk, kekurangan oksigen boleh menyebabkan bibir, hujung jari, atau kulit bayi menjadi kebiruan (sianosis). Ini adalah tanda kecemasan yang memerlukan rawatan perubatan segera.

Berapa Lama RSV Bertahan Pada Bayi?

RSV (Virus Respiratori Sinkytial) biasanya bertahan sekitar 1 hingga 2 minggu pada bayi, walaupun tempoh dan keterukan jangkitan boleh berbeza bergantung kepada usia bayi, kesihatan umum, dan sebarang masalah kesihatan lain.

Berikut adalah garis masa berapa lama RSV bertahan pada bayi:

  1. Gejala Awal (2-3 hari): RSV bermula dengan gejala ringan seperti selesema biasa, termasuk hidung berair, batuk, dan demam ringan.

  2. Gejala Puncak (4-7 hari): Seiring dengan perkembangan jangkitan, gejala boleh menjadi lebih teruk, terutamanya pada bayi yang lebih muda, dengan batuk yang kuat, pernafasan berbunyi (wheezing), dan kesukaran bernafas.

  3. Fasa Pemulihan (7-14 hari): Kebanyakan bayi akan mula pulih dalam tempoh 1 hingga 2 minggu, namun batuk ringan dan hidung tersumbat boleh berterusan sehingga 3 minggu.

Walau bagaimanapun dalam kes tertentu, RSV boleh menyebabkan masalah pernafasan yang lebih serius, seperti bronkiolitis atau radang paru-paru, terutama bagi bayi pramatang atau mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Jika gejala semakin teruk atau tidak menunjukkan tanda pemulihan dalam tempoh seminggu, adalah penting untuk mendapatkan rawatan doktor.

Cara Rawatan RSV Yang Ibu Bapa Boleh Cuba

Sehingga kini, tiada rawatan khusus untuk membunuh virus Respiratory Syncytial Virus (RSV). Kebanyakan kes penyakit RSV pada bayi, terutama yang ringan hingga sederhana, boleh diuruskan di rumah dengan memberi tumpuan kepada melegakan gejala dan menyokong proses penyembuhan bayi.

Namun, dalam kes yang lebih serius, rawatan perubatan lanjut mungkin diperlukan. Berikut adalah langkah-langkah rawatan penyakit RSV di rumah yang boleh dicuba oleh ibu bapa:

1. Kekalkan Hidrasi Tubuh Bayi

Kehilangan cecair akibat kesukaran menyusu atau demam boleh menyebabkan dehidrasi. Oleh itu, bayi perlu diberi susu ibu atau susu formula secara kerap, mengikut keperluan dan nasihat doktor.

Tanda-tanda dehidrasi termasuklah bilangan lampin basah yang berkurangan, mulut kering, serta tangisan tanpa air mata.

2. Penggunaan Larutan Salin dan Alat Sedutan Hidung

Bagi membantu melegakan kesesakan hidung, ibu bapa boleh menggunakan larutan salin steril yang dititiskan ke dalam lubang hidung bayi. Selepas itu, lendir boleh disedut keluar dengan menggunakan alat penyedut hidung khas (nasal aspirator). Kaedah ini memudahkan bayi bernafas serta menyusu dengan lebih baik.

3. Menyediakan Persekitaran Udara Lembap

Pelembap udara (humidifier) boleh digunakan untuk meningkatkan kelembapan udara di bilik bayi, seterusnya membantu mengurangkan batuk dan ketidakselesaan pada saluran pernafasan. Peralatan ini perlu dibersihkan dengan kerap untuk mengelakkan pertumbuhan kuman dan kulat.

4. Berikan Rehat Secukupnya

Bayi yang dijangkiti RSV memerlukan rehat yang mencukupi untuk membolehkan sistem imun melawan jangkitan dengan lebih berkesan. Suasana bilik yang tenang dan selesa perlu disediakan bagi menggalakkan waktu rehat yang berkualiti.

5. Kawal Demam Dengan Ubat Yang Sesuai

Sekiranya bayi mengalami demam yang menyebabkan ketidakselesaan, ubat antipiretik seperti paracetamol boleh diberikan mengikut dos yang disarankan berdasarkan berat badan bayi. Walau bagaimanapun, pemberian sebarang ubat perlulah atas nasihat serta arahan doktor.

6. Tinggikan Posisi Kepala Bayi

Membaringkan bayi dengan kepala sedikit tinggi dapat membantu memperbaiki aliran pernafasan. Namun begitu, langkah ini perlu dilakukan dengan berhati-hati untuk memastikan keselamatan bayi, seperti menggunakan alas condong yang sesuai atau memangku bayi dalam kedudukan tegak semasa berjaga.

Cara Mencegah Virus RSV

Memandangkan jangkitan ini berpotensi untuk menyebabkan komplikasi serius, terutamanya kepada bayi pramatang, bayi dengan masalah kesihatan kronik, dan kanak-kanak dengan sistem imun yang lemah, langkah pencegahan yang berkesan perlu diberi keutamaan.

Berikut merupakan langkah-langkah pencegahan yang disarankan:

1. Cuci Tangan Sebelum Pegang Bayi

Kebersihan tangan adalah kaedah paling berkesan dalam mengurangkan penyebaran RSV. Semua individu yang berinteraksi dengan bayi atau kanak-kanak kecil hendaklah:

  • Membasuh tangan dengan sabun dan air mengalir sekurang-kurangnya selama 20 saat, atau

  • Menggunakan pembersih tangan berasaskan alkohol sekiranya air tidak tersedia.

Kebiasaan ini perlu diamalkan sebelum menyentuh bayi, selepas menukar lampin, atau selepas menyentuh permukaan awam.

2. Elakkan Individu Sakit

Bayi dan kanak-kanak kecil harus dijauhkan daripada individu yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan pernafasan seperti:

  • Batuk

  • Bersin

  • Selesema

  • Demam

Sekiranya terdapat ahli keluarga yang mengalami gejala penyakit, mereka hendaklah mengelakkan interaksi rapat dengan bayi sehingga pulih sepenuhnya.

3. Elakkan Berada Di Tempat Sesak

Bayi, khususnya yang baru lahir atau mempunyai risiko kesihatan, perlu dilindungi daripada kawasan sesak yang meningkatkan risiko jangkitan seperti:

  • Pusat membeli-belah

  • Pasar raya

  • Tempat permainan kanak-kanak

  • Majlis atau perhimpunan awam

4. Menjaga Kebersihan Persekitaran

Langkah menjaga kebersihan persekitaran termasuklah:

  • Membersihkan dan membasmi kuman pada permukaan yang kerap disentuh seperti tombol pintu, telefon, meja dan permainan kanak-kanak.

  • Membasuh pakaian, tuala dan peralatan makan bayi secara berkala dengan air panas dan sabun.

Amalan ini membantu mengurangkan penyebaran virus melalui permukaan tercemar.

5. Penyusuan Susu Ibu

Penyusuan susu ibu secara eksklusif, sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan pertama, mampu menguatkan sistem imun bayi, sekali gus memberikan perlindungan tambahan terhadap jangkitan pernafasan, termasuk RSV.

Susu ibu mengandungi antibodi semula jadi yang membantu bayi melawan pelbagai jangkitan virus.

Bila Perlu Jumpa Doktor

Jika anda mengesyaki penyakit RSV bayi atau kanak-kanak, jangan berlengah untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan. Berikut adalah beberapa keadaan yang memerlukan ibu ayah segera bawa anak berjumpa doktor:

  1. Kesukaran Bernafas: Jika bayi anda mengalami kesukaran bernafas, termasuk pernafasan yang cepat, cetek, atau sukar bernafas, segera bawa bayi anda ke doktor atau hospital. Ini adalah tanda bahaya dan memerlukan perhatian perubatan segera.
  2. Ketidakselesaan: Jika bayi anda kelihatan sangat tidak selesa, gelisah atau lesu, ini mungkin tanda jangkitan penyakit RSV pada kanak-kanak dan bayi yang serius.
  3. Cianosis: Jika kulit atau bibir bayi bertukar menjadi biru atau kemerahan, ini menunjukkan kekurangan oksigen dan memerlukan rawatan perubatan segera.
  4. Muntah Berulang: Jika bayi muntah berulang kali dan tidak dapat menyimpan cecair atau makanan, ini boleh menyebabkan dehidrasi dan memerlukan rawatan perubatan.
  5. Demam Tinggi: Jika bayi anda mengalami demam panas melebihi 100.4°F (38°C), ini boleh menjadi tanda jangkitan yang lebih serius dan perlu dinilai oleh doktor.

Kesimpulannya, adalah penting untuk mengenali penyakit RSV bayi dan kanak-kanak kerana bahayanya boleh meragut nyawa. 

Semog artikel ini bermanfaat!

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: “Jika Lambat 5 Minit, Saya Dah Hilang Eusof Selamanya”- Detik Hitam Anak Dijangkiti Virus RSV

Baca juga: Sangka Hanya Demam Biasa, Ibu Pasrah Anak Terpaksa Ditidurkan Kerana Kuman RSV

Baca juga: Kalau tak sihat, JANGAN lawat atau cium bayi baru lahir — ini padahnya!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!