Sebagai ibu bapa, melihat si kecil kerap demam tentu merisaukan. Pemberian vitamin untuk anak kerap demam adalah antara cara berkesan untuk meningkatkan daya tahan tubuh mereka terhadap jangkitan.
Isi Kandungan
Punca Anak Kerap Demam
1. Sistem Imun Yang Belum Matang
Anak-anak yang masih kecil mempunyai sistem imun yang belum matang sepenuhnya. Sebab itu mereka lebih mudah terdedah kepada jangkitan dan menjadi penyebab utama kanak-kanak mudah demam ketika berada di pusat asuhan atau tadika.
2. Jangkitan Virus Dan Bakteria
Demam selalunya merupakan tanda tubuh melawan jangkitan seperti selesema (influenza), jangkitan saluran pernafasan dan gastroenteritis.
Jangkitan ini biasanya berpunca dari virus namun kadangkala bakteria juga boleh menyebabkan demam berulang.
3. Perubahan Cuaca Atau Persekitaran
Perubahan suhu mendadak atau cuaca yang ekstrem boleh mengganggu sistem imun kanak-kanak dan mencetuskan demam.
4. Alergi atau Faktor Alahan
Sesetengah kanak-kanak yang mempunyai alahan tertentu, terutamanya yang berkaitan dengan saluran pernafasan. Alahan yang teruk boleh mencetuskan tindak balas imun yang menyebabkan demam ringan.
Simptom Anak Demam On-Off
- Suhu Badan Naik Turun Secara Berkala: Anak mungkin mengalami suhu badan yang turun naik dalam sehari tanpa jangkitan yang jelas.
- Kelesuan Dan Kurang Selera Makan: Anak yang demam on-off akan menunjukkan tanda keletihan yang berpanjangan walaupun demam turun sementara. Kurang selera makan juga adalah antara simptom yang mudah dikesan.
- Berpeluh Berlebihan Dan Menggigil: Semasa demam, anak mungkin berpeluh berlebihan atau menggigil dan ini boleh berlaku berulang kali walaupun suhu badannya sekejap-sekejap menurun.
- Sakit Otot dan Sakit Kepala: Kanak-kanak yang mengalami demam on-off mungkin mengadu sakit otot atau sakit kepala yang datang dan pergi, walaupun suhu badan menurun buat sementara waktu.
Vitamin Untuk Anak Kerap Demam
1. Vitamin C
Vitamin C terkenal dengan manfaatnya dalam menguatkan sistem imun dan membantu tubuh melawan jangkitan.
Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mendapat pengambilan Vitamin C yang mencukupi cenderung jarang mengalami demam yang berpanjangan.
Sumber Vitamin C: Buah-buahan sitrus seperti oren, kiwi dan strawberi serta sayuran hijau seperti brokoli.
2. Vitamin D
Vitamin D penting bukan sahaja untuk kesihatan tulang tetapi juga dalam menguatkan sistem imun. Kanak-kanak yang mempunyai kadar Vitamin D yang mencukupi cenderung kurang terdedah kepada jangkitan saluran pernafasan.
Menurut pakar pediatrik, Vitamin D boleh didapati secara semulajadi melalui cahaya matahari dan juga dalam makanan seperti ikan berlemak dan susu yang diperkaya.
Sumber Vitamin D: Salmon, tuna, dan telur.
3. Zink
Zink adalah mineral yang menyokong pertumbuhan sel-sel imun dan membantu proses penyembuhan. Anak yang kekurangan zink mungkin mudah demam dan lambat sembuh dari luka atau selsema.
Sumber Zink: Daging merah tanpa lemak, ayam, kekacang dan bijirin penuh.
4. Vitamin A
Vitamin A penting untuk kesihatan mata dan kulit, tetapi ia juga berperanan dalam membentuk imun badan yang kuat.
Vitamin ini membantu mengekalkan lapisan sel yang melindungi tubuh dari jangkitan menjadikan anak anda lebih kebal daripada biasa.
Sumber Vitamin A: Lobak merah, bayam, ubi keledek dan hati ayam.
5. Probiotik
Probiotik bukanlah vitamin, tetapi bakteria baik yang membantu menjaga kesihatan usus. Kajian menunjukkan bahawa probiotik dapat menyokong sistem imun dengan mengimbangkan mikrobiota dalam usus.
Dengan sistem pencernaan yang baik, anak anda akan lebih jarang sakit dan mudah sembuh.
Sumber Probiotik: Yogurt, kefir, dan makanan yang diperam seperti tempeh.
Perbezaan Demam Berulang dan Demam Biasa
Demam Biasa: Demam biasa biasanya berlaku sekali-sekala dan akan berkurang dalam masa beberapa hari tanpa berulang dalam tempoh yang dekat. Ia selalunya disebabkan oleh jangkitan ringan yang pulih dengan sendirinya atau dengan sedikit rawatan.
Demam Berulang: Demam berulang berlaku apabila anak kerap mengalami suhu badan tinggi dalam tempoh singkat dan pulih hanya untuk kembali demam. Demam berulang biasanya menjadi petunjuk kepada jangkitan kronik atau masalah kesihatan lain yang perlu ditangani.
Langkah Meningkatkan Imuniti Tubuh Anak Dengan Berkesan Selain Vitamin
Selain daripada pemberian vitamin, terdapat pelbagai cara lain yang boleh diambil untuk memperkuat sistem imun anak secara semulajadi.
1. Pemakanan Seimbang
Pastikan anak mendapat makanan yang kaya dengan nutrisi, termasuk protein, karbohidrat, lemak sihat dan serat.
Sayuran berdaun hijau, buah-buahan, bijirin penuh, dan makanan berprotein tinggi seperti ikan, ayam dan telur penting untuk perkembangan dan ketahanan tubuh mereka.
2. Pengambilan Cecair Yang Mencukupi
Air adalah elemen penting dalam memastikan tubuh berfungsi dengan baik. Kekurangan air boleh melemahkan sistem imun, jadi pastikan anak minum air secukupnya setiap hari.
Selain air kosong, beri juga jus buah segar dan sup untuk menambah pengambilan cecair.
3. Tidur Yang Cukup Dan Berkualiti
Tidur yang mencukupi membantu badan anak untuk pulih dan menguatkan sistem imun. Kekurangan tidur boleh menyebabkan badan mereka lebih terdedah kepada jangkitan.
Pastikan anak mendapat tidur yang berkualiti antara 10 hingga 12 jam sehari mengikut umur mereka.
4. Riadah & Aktiviti Fizikal
Rangsangan melalui aktiviti fizikal membantu melancarkan peredaran darah dan meningkatkan sistem imun.
Beri peluang untuk anak bermain di luar atau melakukan aktiviti seperti berbasikal, berenang atau bermain bola sepak beberapa kali seminggu.
5. Amalan Kebersihan Yang Baik
Ajarkan anak untuk membasuh tangan dengan betul, terutamanya sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.
Ini penting untuk mencegah penyebaran kuman yang boleh menyebabkan jangkitan.
6. Hadkan Pengambilan Gula dan Makanan Proses
Pengambilan gula yang tinggi boleh menjejaskan sistem imun anak. Kurangkan makanan manis, minuman berkarbonat dan makanan yang diproses untuk mengelakkan kelemahan imun tubuh.
Vitamin dan mineral yang disebutkan di atas dapat memberikan sokongan tambahan yang penting untuk anak-anak yang kerap demam.
Walau bagaimanapun, sebaiknya dapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan sebelum memperkenalkan sebarang suplemen tambahan.
Pastikan anak anda juga mendapat diet seimbang dan gaya hidup yang sihat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 8 Vitamin Selera Makan Ibu-Ibu Wajib Cuba Untuk Anak Yang Kurang Selera Makan, Memang Berkesan!
Baca juga: 6 Sikap Ibu Yang Mengganggu Perkembangan Nutrisi Si Manja, Jangan Terlalu Tegas!
Baca juga: Buah Yang Baik Untuk Bayi 6-12 bulan, Kaya Pelbagai Vitamin Dapat Elak Masalah Sembelit