Menurut kaji selidik tahunan T. Rowe Price, hampir 83% ibu bapa percaya bahawa anak mereka perlu melakukan kerja rumah untuk mendapat wang saku.
Tetapi penulis buku, “The Opposite of Spoiled” – Ron Lieber pula berpendapat kita (ibu bapa) tidak harus menjadikan wang saku sebagai galakan supaya anak akan melakukan kerja rumah.
Kalau satu hari nanti mereka tidak memerlukan wang, mereka pasti enggan melakukan tugas mereka.
“Wang saku sepatutnya diberi, bukan sebagai gaji, tapi sebagai ‘alat pengajaran'”
Jadi, kanak-kanak tak perlu tolong kemas rumah?
Sudah tentunya tidak.
Mereka masih perlu menolong ibu bapa untuk mengemas, tapi mereka tidak patut menerima ganjaran untuk kerja rumah kerana itu adalah tugas sekeluarga.
Pakar keibubapaan juga menyokong amalan ini dan menegaskan anak-anak sepatutnya menolong di rumah kerana ia adalah perkara yang patut dilakukan setiap hari.
Tapi kaji selidik juga mendapati hampir 34% ibu bapa langsung tidak beri wang saku pada anak mereka.
Pakar berpendapat ini juga adalah satu kesalahan, kerana jika ibu bapa ingin mendidik anak dengan cara yang betul untuk mengendali duit, anak perlu diberi duit terlebih dahulu.
Biarpun serba kekurangan, sesetengah keluarga masih akan memberi sedikit wang saku kepada anak supaya mereka boleh belajar untuk berjimat.
Tapi bilakah anak patut diberi wang saku? Berapa banyak dan berapa kerap? Mari kita pelajari ia bersama-sama.
Bila anak boleh diajar cara menguruskan wang?
Sebanyak 20% daripada ibu bapa dalam kaji selidik yang sama telah mula memberi wang saku apabila anak berumur 6 tahun.
19% yang lain telah memberi apabila anak mencapai usia yang lebih tua, berumur antara 7 dan 8 tahun.
Jadi, apakah umur yang sesuai untuk mula mengajar anak cara menguruskan wang?
Sebenarnya, anak boleh diajar pada bila-bila masa, tetapi pakar menggalakkan ibu bapa mula mengajar tentang duit apabila anak mula menunjukkan minat.
Berapa kerap wang saku patut diberi?
Kebanyakkan ibu bapa memberi anak mereka wang setiap minggu dan pakar juga menyokong amalan ini untuk kanak-kanak kecil.
Tetapi untuk kanak-kanak yang lebih tua atau remaja, ibu bapa boleh cuba memberi wang saku secara bulanan.
Tujuan ini supaya anak boleh belajar bagaimana untuk menguruskan duit itu agar cukup hingga ke akhir bulan dan berjimat cermat.
Bagaimana cara memberi wang pada anak?
Cara ibu bapa memberi wang juga boleh mengikut umur anak dan ia boleh berubah apabila anak semakin besar.
Contohnya, ibu bapa boleh memberi duit kertas dan duit syling apabila kanak-kanak mula belajar tentang wang.
Duit kertas dan syling boleh mengajar anak cara untuk menghitung duit serta memberi stimulasi visual dan sentuhan.
Apabila anak lebih faham tentang konsep duit, barulah anda boleh ajar anak cara berjimat pula.
Sesetengah ibu bapa akan mengajar anak untuk mengasingkan duit mereka dengan meletakkan ia ke dalam balang atau tabung berasingan.
Ini mengajar anak untuk membuat peruntukkan wang untuk “perbelanjaan”, “wang simpanan” dan “wang untuk diderma.”
Berapa banyak wang saku yang mencukupi?
Apabila ibu bapa kurang pasti, cuba tanya ibu bapa lain yang sudah mula memberi wang saku.
Selalunya ibu bapa mula memberi wang saku supaya anak boleh membeli makanan di sekolah.
Ibu bapa mungkin lebih senang membuat anggaran jumlah wang yang sesuai jika mereka sendiri tahu harga barangan.
Ada yang lebih suka memberi wang mengikut formula yang berasaskan umur apabila anak-anak anda masih muda.
Misalnya jika anak anda berumur 6 tahun, dia akan mendapat setengah daripada usianya iaitu RM 3.
Ini cara yang senang dan adil supaya anak-anak tidak mempertikaikan jumlah wang yang berbeza-beza.
Jumlah wang saku yang ibu bapa berikan bergantung kepada keadaan kewangan mereka.
Tetapi pakar bersetuju wang yang diberi sepatutnya cukup supaya anak-anak anda boleh membeli barang-barang kecil dan berjimat serta simpan duit untuk membuat membeli barang yang lebih besar/mahal.
Ini boleh menyediakan mereka untuk kehidupan sebenar nanti.
Berapa banyak duit saku yang anda beri pada anak-anak anda?
Sumber: Spokesman
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: