Wanita berani yang ingin memperjuangkan nasib para ibu/wanita
Seorang wanita, malah senator besar dalam Parlimen Australia, Larissa Waters telah mencipta satu sejarah penting. Beliau dengan berani menjadi ahli politik wanita pertama yang menyusukan anaknya dalam Dewan Parlimen!
Semua ibu tahu betapa mencabar untuk menjaga anak sambil bekerja. Ahli politik wanita ini juga tak terkecuali. Waters dipetik mengatakan
“Jika dia lapar, apa yang harus anda lakukan? Anda perlu beri dia susu.“
Alia Joy, anak perempuan beliau berusia 2 bulan. Senator Waters baru kembali ke tempat kerja selepas diberi cuti bersalin selama 10 minggu.
Jadi, apabila Alia meraung kelaparan, Waters tiada pilihan lain!
Beliau dengan lantang juga dipetik menulis dalam Facebook dan Twitter mengatakan –
Saya berbangga Alia menjadi bayi pertama yang menyusu dalam Parlimen Persekutuan! Kita memerlukan lebih banyak tempat kerja yang mesra keluarga dan fleksibel.
Senator Waters kini sibuk ingin menguji dan menggunapakai peraturan penyusuan badan yang telah dipanjangkan beliau dalam Senat tahun lepas.
Penyusuan badan dalam dewan telah dibenarkan sejak tahun 2003. Ia adalah sebuah perubahan yang menakjubkan dalam polisi Parlimen Australia.
Walaubagaimanapun, 8 tahun lepas, situasinya tidak begini! Anak salah seorang ahli Parlimen, Sarah Hanson-Young yang masuk ke dalam dewan telah dihalau dan diasingkan dari ibunya.
Ceritanya begini, Young telah membawa anaknya, Kora ke Dewan Parlimen. Pada mulanya, kanak-kanak itu leka bermain dan bijak menyesuaikan diri. Namun akibat kelaparan, dia mula menangis. Akhirnya, bayi tersebut diminta untuk dibawa keluar dan diasingkan dari Dewan.
Oleh sebab itu, Alia menjadi bayi pertama yang diberi susu badan dalam Dewan Parlimen!
Waters juga ingin berjuang untuk membela nasib semua ibu bapa yang bekerja dan memiliki keluarga. Beliau ingin ibu bapa berupaya untuk menjaga bayi, walaupun ketika tengah bermesyuarat di Parlimen.
Sebenarnya, perbuatan Waters memberi susu badan dalam Parlimen telah diutarakan beliau dalam laporan The Courier Mail. Beliau ingin “menggunakan sepenuhnya” peraturan baru Australia tersebut.
Tapi mengapa isu penyusuan badan sering menjadi topik hangat? Sedangkan semua orang tahu malah sudah biasa dengan susu badan!
Pemberian susu badan di tempat awam
Di Malaysia, pemberian susu badan di tempat awam masih menjadi topik hebat. Hal ini kerana budaya di sini sudah mengajar masyarakat untuk menghormati orang lain.
Akan tetapi, kekangan ini tidak menyelesaikan masalah. Malaysia masih tidak membuka bilik khas di tempat awam untuk para ibu memberi susu badan. Jadi, bagaimana mereka ingin beri susu? Dalam tandas?
Dek kebijaksanaan wanita dan para ibu di Malaysia, mereka akan berpakaian tidak menjolok mata dan akan memberi susu badan secara “diam-diam”, maka tak ada sesiapa perasan.
Tapi, masih ada banyak kes di mana para ibu akan dihalau jika mereka ditangkap memberi susu badan. Walaupun dalam surau!
Apa ini??!! Mana hak kebebasan kami?
Tak pernah tenang untuk beri susu badan di Malaysia
Ikuti sedutan post Facebook yang sempat dikongsi oleh Cili Sos berkenaan layanan untuk para ibu yang beri susu badan di Malaysia.
Bagaimana? Kejam. bukan?
Pada tanggal 7 Ogos 2011, sekumpulan ibu-ibu telah menjalankan protes atau tunjuk perasaan di hadapan KLCC di atas layanan buruk ini.
Penganjur tunjuk perasaan tersebut, Nor Kamariah Mohamad Alwi, dipetik mengatakan –
“Tujuan ia dijalankan untuk membela nasib para ibu yang ditindas. Dua orang ibu yang mengepam susu di surau telah dihalau oleh pegawai keselamatan. Salah seorang ibu lagi telah mengambil keputusan untuk mengepam susu di tandas. Beliau kemudiannya diminta untuk berhenti. Mana keadilan? Mana hak mereka?“
Tiada apa yang kontroversi dan sensitif pun tentang proses pemberian susu badan. Jika anda nak tahu apa seorang lelaki sejati fikir tentang susu badan ini, baca di sini.
Jika permbuatan memberi susu badan dianggap sensitif bagi sesetengah individu, maka sediakan satu penyelesaian yang bernas. Seperti membuka bilik yang memberi fasiliti untuk beri susu badan.
Dan fasiliti itu bukan tempat untuk melepak, ya!
Kredit gambar: Reuters
Sumber rujukan: Today, Independent, Courier Mail, dan Cili Sos