Tohmahan yang dilempar pada golongan wanita tak boleh hamil
Hati saya tersentak apabila membaca kiriman screenshot tweets yang dibaca ini. Seorang pengguna Twitter yang senang digelar sebagai “Ustazah Dr. Suraya” dengan sewenang-wenangnya (lagi selamba atau sengaja?) melemparkan tohmahan kepada wanita tak boleh hamil sebagai “golongan yang dilaknat Allah“.
Semuanya dikatakan berdasar firman Allah SWT sendiri, seperti rujukan di bawah.
Sampai hati seorang wanita menggelar wanita lain yang tak bernasib baik, kerana tidak berkemampuan untuk hamil sebagai seorang “yang dilaknat Tuhan”.
Sebelum anda dengan mudah melemparkan tuduhan dan tohmahan tak masuk dek akal pada wanita yang tak bernasib baik ini, lebih baik anda renung diri anda sendiri.
Hakikatnya, terdapat pelbagai masalah kesihatan yang boleh menerangkan kenapa wanita tak boleh hamil. Dan tahukah anda yang ada diantara golongan wanita tersebut menghidap sindrom MRKH?
Apa itu sindrom MRKH?
Mereka dilahirkan tanpa rahim atau faraj! Dan anda sewenang-wenangnya mengecop mereka sebagai “dilaknat Tuhan” hanya semata-mata kerana mereka tak boleh hamil???!! Betapa bodoh lagi bongkak manusia kini. Segala hukuman bukan lagi digalas oleh Allah. Sebaliknya ia diagih-agihkan di kalangan “individu” yang berlagak seakan Tuhan.
Berhenti mengecam mana-mana wanita yang tak boleh hamil. Anda tak tahu penderitaan yang mereka rasa. Anda tak tahu kesakitan yang mereka tanggung. Usah sewenang-wenangnya melampiaskan nafsu mulut longkang anda tanpa mengambil kisah perihal hati dan perasaan orang lain.
Realiti Sindrom MRKH: Wanita Tanpa Rahim
MRKH atau nama saintifiknya Mayer Rokitansky Kuster Hauser Syndrome adalah sejenis gangguan kongental yang memberi kesan pada saluran pembiakan wanita. Nama sindrom ini diperoleh daripada nama doktor pakar yang berjaya mengesan sindrom tersebut.
Hampir 1 daripada 5,000 bayi perempuan yang lahir menghidap sindrom MRKH. Kesan daripada sindrom ini adalah wanita terbabit tidak akan mempunyai faraj, rahim atau kedua-duanya sekali.
Biasanya, organ pembiakan wanita seperti rahim, cervis, faraj, tiub fallopian dan ovari akan berkembang ketika bayi perempuan masih dalam kandungan ibunya. Namun, pembentukan organ reproduktif ini tidak berlaku atau tidak berkembang dengan sepenuhnya bagi penghidap sindrom MRKH.
Sindrom ini tak dapat dikenalpasti puncanya. Malah, doktor pakar juga tidak berjaya mengesan sindrom ini, sehingga kanak-kanak perempuan terbabit mencecah usia akil baligh.
Mereka tidak akan mengalami pendarahan haid kerana ketiadaan organ rahim. Peratusan untuk hamil juga rendah. Akan tetapi, wanita dengan sindrom MRKH masih memiliki payudara, ovari dan tiub fallapion seperti sedia ada.
Mereka juga memiliki vaginal canal, namun biasanya ia lebih pendek dan lebih sempit daripada yang sepatutnya. Penghidap sindrom ini juga masih memiliki “alat kelamin luaran” yang normal. Maksudnya, bahagian luar faraj tidak terkesan.
Mari lihat apakah perbezaan ketara antara penghidap sindrom MRKH dan wanita biasa.
Wani Ardy: Wanita hebat yang tak lemah ditundukkan sindrom MRKH
Saya mula mengenal dan memahami tentang sindrom MRKH daripada pensyarah di universiti dulu, iaitu Puan Wani Ardy. Beliau seorang wanita hebat bagi saya. Beliau tak pernah tunduk dek kerana sindrom ini. Walaupun telah menanggung derita sejak berusia 13 tahun, apabila disahkan menghidap sindrom MRKH, tapi Wani Ardy bangun.
Wani Ardy adalah penggiat seni yang aktif mewarnai persada seni tanah air dengan nukilan puisi dan lirik lagunya. Beliau sekarang aktif bermain muzik dengan band tersendiri iaitu band Wani Ardy and The Guitar Polygamy.
Kini ketika berusia 33 tahun, Wani Ardy telah menjadi pengasas kepada kumpulan sokongan MRKH Malaysia dengan hampir 30 orang ahli. Beliau juga aktif membicarakan tentang sindrom ini di Instagram. Kumpulan sokongan MRKH Malaysia ditubuhkan untuk memberi sokongan malah membuka mata masyarakat tentang sindrom MRKH yang boleh terjadi kepada mana-mana anak perempuan.
Walaupun tidak berupaya untuk hamil, kebahagian Wani Ardy tak pernah hilang. Ditemani suaminya yang tercinta, Syafiq Zakaria – mereka kini memiliki anak yang dipanggil Ikhlas. Perjuangan Wani Ardy tak berakhir di sini.
Perjuangan penghidap sindrom MRKH tak berakhir dek kerana tohmahan. Perjuangan wanita yang tak boleh hamil tak berakhir dek kelaknatan yang diungkap.
Semoga kebahagian sentiasa menyelimutmu, wahai wanita yang kuat! Kalian bukan laknat Tuhan, apatah lagi insan yang harus dikeji. Kalian wanita hebat yang amat istimewa. Kalian telah dipilih oleh Allah untuk menggalas ujian ini. Bersabarlah.
Wahai wanita sekalian, berhenti menghentam wanita lain! Anda belum tahu nasib generasi anda yang akan datang! Semoga segala kecelakaan dijauhkan. Amin.
Sumber rujukan: Young Women’s Health, Wani Ardy dan Parents