Setelah sekian lama kita berkurung di rumah, pasti kita tidak sabar untuk pulang ke kampung mahupun bercuti bersama keluarga untuk melihat persekitaran baru. Jadi mesti anda akan mula mencari tempat menarik untuk family day bukan?
Ada sesetengah ibu bapa risau akan sesetengah tempat pelancong kerana ia tidak mesra bayi mahupun untuk kanak-kanak kecil. Ini tidak bermakna anda tidak boleh membawa keluarga bercuti! Anda cuma harus lebih pandai mencari tempat menarik untuk family day.
Jangan risau! Kami ada di sini untuk membantu anda. Ini antara tempat menarik untuk family day yang kami rasa anda dan anak-anak pasti suka!
10 Tempat Menarik Untuk Family Day di Dalam Malaysia
1# Taman Tema: Lost World of Tambun, Ipoh, Perak
Lost World of Tambun membawa kelainan berbanding taman tema lain di Malaysia. Taman airnya pelbagai, termasuk Adventure River, Cliff Racer serta Kids Exploratory untuk kanak-kanak. Kawasan berpasir pantai dan Wave Pool juga disediakan.
Bagi pencinta haiwan, lawati Petting Zoo untuk membelai haiwan-haiwan di dalamnya dan Tiger Valley. Cabar diri dengan Leap of Faith – terjunan 65 kaki dari paras laut, rock climbing, kayak dan pelbagai lagi aktiviti lasak.
Setelah penat, belai diri di Hot Spring & Spa atau rehat saja di bilik Hotel Lost World. Semua ini berada di Sunway City, Bandar Ipoh.
2# Tempat menarik untuk family day: Pulau Langkawi, Kedah
Dalam mana-mana senarai teratas tempat percutian di Malaysia, Pulau Langkawi sentiasa mendapat tempat.
Tumpuan pelancong termasuk Cable Car Langkawi, Langkawi Oriental Village, Kota Mahsuri, Galeria Perdana, Underwater World Langkawi, Langkawi Wildlife Park, Taman Buaya, Kilim Geoforest Park dan Laman Padi.
Bila ke Langkawi, ambil peluang membeli belah pada harga yang rendah kerana tiada cukai dikenakan jika anda menetap sekurang-kurangnya 4 hari.
3# Pantai: Pulau Perhentian, Terengganu
Jika lebih suka bersantai di pantai dan laut, Pulau Perhentian tempat terbaik. Ia terkenal dengan pantainya yang bersih berpasir putih dan air yang sangat jernih.
Perhentian Besar menempatkan penginapan yang lebih mahal berbanding Perhentian Kecil, namun keduanya sama cantik dan menarik. Pengunjung juga boleh bertukar-tukar tempat bersantai antara kedua pulau dengan teksi air.
Aktiviti popular di sini termasuk meredah hutan, melawat program pemeliharaan penyu, berkemah, berkayak dan menyelam.
4# Tempat menarik untuk family day: Cameron Highlands, Perak
Bagi mereka yang gemarkan kehijauan dan hasil ladang segar, pilihlah percutian tanah tinggi Cameron Highlands. Tenangkan fikiran dengan keindahan ladang teh sambil menikmati teh pelbagai perisa.
Tarikan lain termasuk ladang sayur-sayuran dan strawberi, ladang bunga, ladang lebah, muzium serta pasar sayur-sayuran dan buah-buahan segar di Kea Farm atau sepanjang jalan utama dari Ringlet ke Kampung Raja.
Kunjungi juga pasar malam Sabtu di Brinchang yang menjadi pusat jualan semua hasil ladang sambil menikmati makanan tempatan. Untuk aktiviti lasak, anda boleh meredah hutan, mendaki gunung dan juga berkemah.
5# Alam Sekitar: Taman Negara, Pahang-Kelantan-Terengganu
Terdapat lebih daripada 30 tempat untuk anda beraktiviti bersama flora dan fauna di sini, bermula dengan canopy walk sepanjang 510m dan 45m dari aras tanah, melawat serta bermalam di mana-mana gua pilihan bersama penghuninya, mencabar daya tahan diri dengan meredah hutan siang ataupun malam hingga kepada memancing atau bersantai dengan pelayaran bot di sungai.
Penginapan juga disediakan pada kadar yang berpatutan.
6# Tempat menarik untuk family day: Taiping, Perak
Tiga tarikan utama di sini. Zoo Taiping terkenal dengan penempatan dan penjagaan haiwan yang terbaik serta Night Safari. Muzium Perak pula merupakan muzium tertua di Malaysia. Koleksinya melangkaui bahan bersejarah dan merangkumi koleksi haiwan.
Taman Paya Bakau Matang yang berusia lebih 110 tahun pula menjadi tumpuan pencinta alam kerana kepelbagaian spesis tumbuhannya. Taiping juga terkenal dengan senibina lama serta menempatkan Lake Garden seluas 62 hektar, legasi yang di tinggalkan oleh penjajah British.
Sebelum pulang, nikmati cendol Bismillah yang popular kerana lawatan ke Taiping tidak akan sempurna tanpanya.
7# Bandar Bersejarah: Georgetown, Pulau Pinang
Ia merupakan bandar pelancongan yang pesat membangun tetapi masih mengekalkan bangunan lama. Tarikan disini termasuk Muzium Perang, Masjid Kapitan Keling, Tokong Ular, Fort Cornwallis, Pasar Chowrasta, Street Art, Pantai Batu Ferenggi, Padang Kota Lama dan Rumah P. Ramlee.
Namun, aktiviti paling menarik adalah bersantai di tengah Bandar Georgetown sambil menikmati makanan yang pelbagai dan suasana persekitaran yang berbeza, seolah-olah berada dalam ruang masa yang lain.
Singgahlah di Restoran Line Clear yang sangat popular apabila berada di sana.
8# Bandar Alam Semulajadi: Kota Kinabalu, Sabah
Terlalu banyak tempat menarik di Sabah, namun Kota Kinabalu sendiri sudah cukup tarikan dan aktiviti yang boleh dilakukan.
Antaranya Taman Marin Tunku Abdul Rahman untuk aktiviti pantai serta menyelam dan Taman Kinabalu yang menempatkan kolam air panas dan canopy walk, pelbagai spesis flora dan fauna yang pelik lagi menarik dan sayur-sayuran serta buah-buahan sergar dari ladang.
Singgahlah di Pasar Filipina untuk pelbagai hasil laut, sama ada yang kering atau yang dimasak.
9# Tempat menarik untuk family day: Miri, Sarawak
Jika berminat dengan sejarah dan arkeologi, Miri sedia untuk diterokai. Taman Negara Gunung Mulu diiktiraf sebagai ‘Warisan Dunia’ oleh UNESCO manakala Taman Negara Niah pula merupakan kawasan penempatan manusia lebih 40,000 tahun dahulu.
Aktiviti lain termasuk menyelam di Miri-Sibuti Coral Reef National Park, merasai lumpur gunung berapi di Kampung Meritam, berkenalan dengan pelbagai suku kaum Sarawak di pekan bazaar Marudi, bersantai di pusat rekereasi tertua Miri – Pantai Tanjung Lobang dan menikmati hidangan laut segar di pusat juadah Taman Selera.
10# Bandaraya: Kuala Lumpur dan Putrajaya
Banyak tempat yang boleh dilawati di Bandaraya Kuala Lumpur dan Putrajaya. Antara lain Petrosains, Aquaria, Taman Tema Cosmo, KL Tower, Pusat Sains Nasional, Taman Burung, Taman Tasik, Planetarium dan Muzium TUDM di Kuala Lumpur.
Lanskap bandaraya Putrajaya pula cukup mengagumkan ditambah dengan tarikan seperti Taman Wetland, Tasik Putrajaya berserta pelayaran, Taman Warisan Pertanian, Taman Equestrian, Challenge Park dan pusat membeli belah Alamanda.
Sekiranya anda dan keluarga bercadang untuk bercuti, jangan lupa untuk ikut SOP yang ditetapkan. Jaga jarak dan jangan lupa memakai topeng dan hand sanitizer.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 6 Sebab Saintifik Kenapa Anda Perlu Bawa Anak Anda Pergi Bercuti
Baca juga: Senarai Tempat Bercuti Di Malaysia Yang Menarik & Menyeronokkan Untuk Seisi Keluarga
Baca juga: Tips Penting Ibu Bapa WAJIB Tahu Sebelum Pulang Ke Kampung Bersama Bayi