Ramai tidak menyedari bahawa seorang lelaki mudah sahaja. Cuma bekalkan sahaja keperluan asas seorang suami kepada mereka, mereka sudahpun akan rasa lebih gembira dan dihargai. Apabila si dia gembira, hubungan juga menjadi lebih matang dan sihat.
Ini tidak bermakna anda perlu merendahkan diri anda sebagai seorang wanita mahupun isteri. Menurut Becky Squire daripada Family Share, “keinginan untuk memenuhi keperluan suami bukan bermaksud anda merendahkan tugas seorang isteri. Sebaliknya, jika anda benar-benar menyayangi pasangan, anda pasti mahu membuatnya gembira. 5 perkara asas ini memang mampu buat seorang lelaki gembira. Mudah saja!”
Hierarki keperluan Maslow pula menyatakan – manusia memiliki beberapa keperluan asas yang perlu dipenuhi untuk menjadi seorang manusia yang matang. Keperluan tersebut adalah keperluan fisiologi, keperluan keselamatan, keperluan kasih sayang dan keperluan penghargaan.
Prinsip ini turut diguna pakai dalam sesebuah perkahwinan.
Bagi mewujudkan sebuah gabungan yang sihat dan matang antara kalian berdua, keperluan asas kalian harus dipenuhi oleh pasangan masing-masing. Suami anda memiliki 5 keperluan asas yang perlu anda sedar.
5 Keperluan Asas Seorang Suami Inginkan
1# Persahabatan/peneman
“Saya dan suami adalah satu contoh pasangan klasik yang tidak memiliki sebarang persamaan. Terutamanya hobi,” Becky mengakui. “Kami seronok buat kerja masing-masing; sebenarnya bagus juga dalam perkahwinan.”
Walau bagaimanapun, ia tak bermaksud anda tidak perlu menghiraukan langsung apa minat suami tercinta anda itu. Sekali-sekala, cuba tunjukkan minat anda dalam hobi mereka.
“Dia mungkin akan terkesan dan ingin membalas budi. Lalu, dia akan menghabiskan masa meneman anda pula!”
2# Memenuhi keperluan seksual
“Satu perkara yang telah dipelajari oleh saya dan suami ialah – jangan anggap hubungan intim satu permainan. Maksudnya, jangan anggap hubungan intim itu satu hukuman,” kata Becky.
“Jika anda sering enggan melakukan hubungan intim kerana ingin menghukum, ia akan menghasilkan rasa negatif dan benci. Hubungan intim harus merapatkan kasih sayang antara kalian berdua. Jika ia penting untuk suami anda, ia juga turut penting untuk anda!”
3# Penghargaan
“Suami saya bekerja selama 8-10 jam sehari. Kemudian, dia akan ke sekolah atau buat kerja rumah,” ujar Becky lagi.
“Anda mungkin tidak nampak secara fizikal berapa banyak perkara yang telah mereka (suami anda) lakukan untuk keluarga setiap hari. Sebab itu usahanya lebih mudah tidak kelihatan atau tidak terlintas di fikiran.”
Jangan hanya beritahu dia yang anda amat menghargai dan mengasihi apa dia telah lakukan untuk anda dan keluarga! Cuba tunjukkan penghargaan itu – walau dalam perkara kecil. Seperti… sediakan sedikit masa untuk kalian berdua saja (ehem!), bancuh kopi segar pagi itu, atau sediakan pakaian kerja buat mereka untuk esok!
4# Sokongan domestik
Ini melibatkan hubungan kalian berdua – sihat dan aman dalam keadaan rumah yang diuruskan dengan baik.
“Anda dan pasangan mungkin melakukan kerja dan tanggungjawab dalam rumah bersama-sama. Atau suami anda mungkin perlukan anda untuk mengendalikan tanggungjawab ini, kerana dia sibuk dengan tugasan lain.
“Dalam hubungan yang sihat, suami harus menjalankan tugasnya. Jika suami sibuk dengan tugasan lain, apa kata anda cuba memasak makanan, membasuh pinggan mangkuk, membersih dan menjaga rumah, dll.”
5# Pasangan yang menarik
Ramai yang mengatakan kecantikan itu subjektif – beauty is in the eye of the beholder. Dan penampilan fizikal seseorang bukanlah tumpuan utama dalam sesebuah hubungan.
Memang benar prinsip ini. Namun, tak salah bukan jika anda memanjakan diri anda sekali-sekala? Dalam masa yang sama, anda mencantikkan diri untuk pasangan anda juga!
“Sebagai seorang ibu kepada empat orang anak, saya tahu memang mudah untuk sentiasa pakai baju tidur sepanjang hari. Atau seronoknya mandi bila saya ada hanya lima minit privasi. Anda boleh buat begini – sekali-sekala. Namun, jangan jadikan ia satu kebiasaan,” ketawa Becky.
Sumber: theAsianparent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sekali-Sekala Suami Ajaklah Isteri Dating Berdua, Banyak Manfaatnya Untuk Hubungan