Ini Rupanya 5 Makanan Yang Bagus Untuk Menjaga Kesihatan Faraj Anda!

Adakah anda menjaga kesihatan faraj anda dengan betul? Jom ketahui 5 jenis makanan yang boleh membantu anda menjaga kesihatan faraj agar ia lebih sihat dan umppp!

Semua wanita perlu mengambil berat tentang menjaga kesihatan faraj mereka. Faraj yang sihat sebenarnya bersifat asid dan mengandungi bakteria baik yang membantu mencegah jangkitan dan mengekalkan paras pH yang normal.

Faraj yang sihat juga akan mengeluarkan sejumlah kecil keputihan/lelehan yang penting untuk membersihkan diri. Sebarang gangguan kepada kesimbangan ini, boleh menyebabkan kerengsaan atau jangkitan faraj.

Tapi tahukah anda yang ada sesetengah makanan dan minuman juga boleh menolong menjaga faraj yang sihat, melegakan ketidakselesaan, mencegah infeksi, dan menjanjikan aksi hangat dalam bilik? 

Tak percaya? Jom semak apa yang telah kami kumpulkan untuk anda!

5 Makanan Yang Boleh Menjaga Kesihatan Faraj Wanita

#1 Teh hijau untuk kencing kotor

Sumber gambar: Healthy Women

Biasanya, kita dengar orang mengesyorkan minum jus kranberi untuk memulihkan UTI ataupun masalah kencing kotor. 

Jus kranberi mengandungi sebatian yang boleh membantu menghalang bakteria yang menyebabkan jangkitan daripada melekat pada tisu dinding pundi kencing anda. Tapi, jus ini juga mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Sebaliknya cuba minum teh hijau. 

Penemuan baru menunjukkan catechin (sejenis flavonoid yang memerangi penyakit), dalam minuman ini mempunyai kesan antimikroba yang kuat. Ia  boleh membantu melawan kencing kotor.

“Dengan minum teh hijau, catechin akan melalui saluran kencing, mengurangkan bakteria dan risiko jangkitan,” kata Carolyn DeLucia, FACOG, MD, pakar wanita di VSPOT Medi Spa di New York.

Dia mengesyorkan minum 2-3 cawan sehari untuk mengelakkan kencing kotor.

#2 Ikan tinggi asid lemak omega-3 untuk senggugut

Sumber gambar : ScienceDaily

Sekiranya anda selalu mengalami senggugut apabila datang bulan, cuba makan ikan yang kaya dengan asid lemak omega-3 untuk meredakan kesakitan.

Kekejangan ini disebabkan oleh pelepasan prostaglandin ,yang membantu otot-otot rahim untuk mengecut dan lapisan dinding uterus untuk tertanggal.

Asid lemak omega-3 dalam ikan salmon dan tuna boleh mengurangkan keradangan. Kajian juga menunjukkan ia dapat membantu melegakan kesakitan.

#3 Probiotik untuk mencegah jangkitan yis

Sumber gambar: Mother Nature Network

Secara semulajadi, faraj kita penuh dengan lactobacillus, sejenis bakteria baik yang membantu faraj mengekalkan paras pH yang sihat.  

Ia juga mempunyai yis yang bernama candida. Biasanya, keadaan berasid dari lactobacillus akan menghalang yis daripada berkembang.

Tapi, bakteria baik ini boleh terjejas dan anda berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yis apabila anda memakan ubat antibiotik, putus haid, mempunyai kencing manis yang tidak dikawal, menggunakan ubat perancangan keluarga ataupun terapi hormon. 

Makanan yang ditapai dan kaya dengan probiotik seperti yoghurt biasa, sauerkraut, kimchi, tempe, dan miso boleh membantu. Ia mengekalkan keseimbangan bakteria yang sihat untuk menggalakkan paras pH yang baik agar menggalakkan pertumbuhan lactobacillus yang sihat.

#4  Soya untuk faraj yang kering

Sumber gambar: The Healthy Tart

Kekeringan faraj berlaku apabila badan anda kekurangan estrogen yang menjaga ketegangan tisu dan pelinciran yang baik. 

Bagi mereka yang menyusu, putus haid, melahirkan anak, dan juga menggunakan ubat alahan dan ubat selesema, paras estrogen boleh berkurang.

Amalkan memakan produk soya yang tidak diproses seperti edamame organik, tauhu, ataupun tempe. 

Produk soya mengandungi sebatian tumbuhan estrogen yang meniru isoflavin. Ia juga bersifat hidrofilik dan boleh menarik air ke tisu anda.

#5 Epal untuk aksi hangat di bilik tidur

Sumber: Wikipedia

Kajian yang diterbitkan dalam Arkib Ginekologi dan Obstetrik menunjukkan wanita yang memakan lebih dari satu biji epal sehari lebih senang terangsang dan mempunyai fungsi seksual yang lebih tinggi berbanding mereka yang kurang memakannya.

Buah epal mengandungi phloridzin, sebatian yang meniru hormon seks wanita estradiol.

Ia juga penuh dengan polifenol yang membantu meningkatkan aliran darah ke faraj, dan menyebabkan wanita lebih senang untuk mencapai klimaks!

Ha… macam mana? Jom cuba semua makanan ini untuk menjaga kesihatan faraj anda, okay? Faraj yang sihat kunci perkahwinan yang bahagia!

Sumber rujukan: Your Tango

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Masih Mencari Doktor Untuk Masalah Kewanitaan Anda? Pilih Saja Antara 8 Pakar Sakit Puan Berdaftar Sekitar Lembah Kelang Ini

Penulis

Rosanna Chio