Jangan Pandang Remeh Bengkak Susu,Ia Mengundang Abses Payudara Yang Bernanah

Abses payudara ini jika tidak dirawat akan menyebabkan pengumpulan nanah yang berkembang di dalam payudara anda.

Abses payudara adalah keadaan yang merujuk kepada pengumpulan nanah daripada jangkitan pada payudara anda. Keradangan tisu payudara (mastitis) juga boleh menyebabkan jangkitan. Keadaan ini terutamanya akan memberi kesan kepada wanita yang menyusu (breastfeeding).

Penyusuan ibu merupakan satu tanggungjawab wanita yang melahirkan anak dan hakikatnya, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Sebab itulah ibu yang menyusukan anak ini sememangnya sedang melakukan suatu perkara yang amat besar di dalam hidup mereka.

Mana tidaknya, meskipun anak tiada di depan mata, susu masih perlu dipam dan dikeluarkan sepenuhnya daripada payudara. Kesemua perkara ini memerlukan pengorbanan oleh seorang ibu. 

Abses Payudara: Nanah Yang Terkumpul

Seorang wanita berkongsi pengalamannya semasa merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada payudaranya semasa menyusukan bayi. Siapa sangka, ketulan di payudara semasa menyusu bukan sahaja disebabkan susu yang tersumbat yang boleh dipulihkan dengan tuaman sahaja, malah boleh menjadi sesuatu yang lebih serius!

Malah dalam kes wanita ini, dia terpaksa melakukan pembedahan dengan segera. Berikut perkongsian Chynta Eyma di laman Facebook:

Menurutnya, doktor mengesahkan yang bisul di payudaranya merupakan breast abscess, yang berlaku akibat jangkitan kuman disebabkan luka di payudara. Tambahnya lagi, ia bukan sahaja boleh berlaku kepada ibu yang menyusukan anak, malah berisiko terjadi kepada wanita lain juga.

Ye, breast abcess boleh terjadi kepada wanita lagi2 ibu2 yang menyusukan anak. Penyebab dia ialah dijangkiti kuman. Jgn cakap sy dan ibu2 yg terkena tu sbb x bagi anak menyusu da tidak perah susu yg tidak disusui. Ianya JANGKITAN KUMAN ok. Antibodi tak kuat mmg mudah ler kena. Tak kira awak menyusukan anak atau tidak, jika ada luka pada breast haruslah dijaga elok2, jaga kebersihan baju dalam,dan kalau yg buat implan tu awak terdedah juga dgn abcess ni.  Nampak simple tapi kita perempuan msti ambil kisah perubahan pada payudara kita.

Apa Yang Menyebabkan Abses Payudara?

Abses payudara sering dikaitkan dengan mastitis, keadaan yang menyebabkan sakit payudara dan keradangan, dan biasanya memberi kesan kepada wanita yang sedang menyusu.

Semasa menyusu, jangkitan boleh berlaku apabila bakteria memasuki tisu payudara, atau jika saluran susu (tiub kecil yang membawa susu) tersekat. Ini boleh menyebabkan mastitis yang yang tidak dirawat boleh menyebabkan pembentukan abses atau nanah.

Malahan, wanita tidak menyusu juga boleh terkena mastitis jika bakteria memasuki saluran susu melalui puting sakit atau retak, atau menerusi puting yang ditindik. Wanita yang merokok lebih berisiko mendapat mastitis walaupun tidak menyusukan bayi.

Abses payudara berupa benjolan yang menyakitkan dan juga boleh menyebabkan:

  • kemerahan
  • berasa panas
  • menyebabkan kulit di sekitarnya membengkak
  • menyebabkan suhu tinggi (demam)

Tanda Abses Payudara

Jika seseorang telah mengalami abses payudara, mereka mungkin merasakan atau melihat jisim dalam tisu payudara bersama-sama dengan gejala jangkitan pada payudara. Gejala ini mungkin termasuk:

  • pengeluaran susu rendah
  • kehangatan di kawasan itu
  • sakit pada payudara/payudara ada bintik bernanah
  • pelepasan dari puting
  • kulit memerah
  • suhu yang tinggi
  • sakit kepala
  • loya
  • muntah-muntah
  • simptom seperti selesema
  • keletihan

Golongan Berisiko Alami Abses Payudara

Bisul di payudara ini lebih biasa menyerang wanita yang sedang menyusu. Menurut ringkasan kesusasteraan saintifik 2020, mastitis laktasi berlaku dalam kalangan 2–3% wanita menyusu, 5–11% daripadanya mungkin mengalami satu atau lebih keadaan payudara ada bintik bernanah ini.

Walau bagaimanapun, bisul di payudara boleh terbentuk pada sesiapa sahaja. Menurut ulasan pada tahun 2018, abses yang tidak berkaitan dengan laktasi biasanya terbentuk pada golongan yang mengalami obesiti dan golongan yang merokok.

Faktor Risiko Mastitis

  • Serangan mastitis semasa menyusu.
  • Puting sakit atau merekah — walaupun mastitis boleh berkembang tanpa kulit pecah.
  • Memakai bra yang ketat atau memberi tekanan pada payudara anda apabila menggunakan tali pinggang keledar atau membawa beg berat, yang mungkin menyekat aliran susu.
  • Teknik menyusu yang tidak betul.
  • Menjadi terlalu letih atau tertekan.
  • Pemakanan yang kurang baik.
  • Merokok.

Komplikasi

Mastitis yang tidak dirawat dengan secukupnya atau disebabkan oleh saluran tersumbat boleh menyebabkan pengumpulan nanah (abses) berkembang di dalam payudara anda. Abses biasanya memerlukan saliran pembedahan.

Untuk mengelakkan komplikasi ini, berbincang dengan doktor anda sebaik sahaja anda mengalami tanda atau gejala mastitis untuk mengetahui cara menghilangkan benjolan mastitis dengan betul.

Pencegahan

Untuk memulakan sesi penyusuan susu ibu dengan bayi pada permulaan yang terbaik dan untuk mengelakkan komplikasi seperti mastitis pertimbangkan untuk berjumpa dengan perunding laktasi. Perunding laktasi boleh memberi anda petua dan memberikan nasihat yang tidak ternilai untuk teknik penyusuan yang betul dan juga cara menghilangkan benjolan mastitis.

Kurangkan peluang anda mendapat mastitis dengan mengikuti petua ini:

  • Perah sepenuhnya susu dari payudara anda semasa menyusu.
  • Benarkan bayi anda mengosongkan sepenuhnya satu payudara sebelum beralih ke payudara yang satu lagi semasa penyusuan.
  • Tukar kedudukan yang anda gunakan untuk menyusu daripada satu penyusuan kepada yang seterusnya.
  • Pastikan bayi anda melekap dengan betul semasa penyusuan.
  • Jika anda merokok, tanya doktor anda tentang berhenti merokok.

Selain itu, anda juga boleh praktik untuk sapukan pelembap pada puting boleh membantu mengelakkannya daripada merekah dan menyediakan cara untuk bakteria memasuki badan dan menyebabkan mastitis.

Jenis Perubatan Untuk Abses Payudara

Doktor mungkin perlu mengalirkan cecair dari ketulan dan mengeluarkan cecair dengan jarum atau mengalirkannya dengan membuat luka kecil pada kulit. Kebiasaannya, pakar akan menggunakan jarum jika orang itu menyusu atau jika jisimnya lebih kecil daripada 3 sentimeter.

Bagi orang yang mengalami bisul di payudara dan tidak menyusu, terdapat kadar yang lebih tinggi untuk abses payudara ini berulang, jadi seseorang mungkin perlu melakukan lebih daripada satu pengekstrakan atau saliran.

Jika abses yang dikeringkan meninggalkan rongga yang besar, seorang profesional penjagaan kesihatan perlu menutupnya, untuk membantu pengaliran dan penyembuhan. Doktor juga mungkin akan menetapkan antibiotik selama 4-7 hari.

Ubat-ubatan yang dijual bebas, seperti acetaminophen atau ibuprofen, boleh membantu melegakan kesakitan. Seseorang juga boleh menggunakan kompres hangat untuk meredakan keradangan.

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Segera berjumpa doktor sekiranya payudara kelihatan merah dan sakit. Jika anda mempunyai mastitis, anda mungkin diberi antibiotik untuk merawat jangkitan. Jika simptom-simptom anda berterusan selepas mengambil antibiotik, doktor mungkin akan melakukan imbasan ultrasound yang akan mengesahkan sama ada anda mempunyai abses payudara. 

Sekiranya anda mempunyai abses payudara, cecair atau nanah di payudara akan disedut keluar hanya dengan menggunakan syringe dan jarum suntikan. Untuk abses yang lebih besar, potongan kecil mungkin diperlukan untuk mengeluarkan nanah.

Semoga bermanfaat.

  1. MedicalNewsToday (July 23, 2020) What To Know About A Breast Abscess. www.medicalnewstoday.com/articles/breast-abscess
  2. MayoClinic (July 22, 2020) Mastitis. www.mayoclinic.org/diseases-conditions/mastitis/symptoms-causes/syc-20374829

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:  Kanak-Kanak 3 Tahun Ini Menjadi Antara Pesakit Kanser Payudara Termuda Di Asia!

Baca juga:  Ujian Dari Allah Taala, Ibu Derita Kanser Payudara & 2 Anaknya Lagi Hidap Sakit Kronik

Baca juga: Bayi Suka Gigit Puting Payudara Ketika Menyusu, Jangan Pukul Atau Jerit, Bayi Boleh Trauma!

Penulis

Beto Rahman