Ibu Terkejut, Jumpa Banyak Lukisan Lucah Dalam Beg Sekolah Anak Yang Berusia 7 Tahun!

Siapa sangka baru berusia 7 tahun, wanita ini menghadapi detik cemas apabila melihat beberapa keping kertas dilukis aksi lucah dalam beg sekolah anaknya

Dalam membesarkan anak-anak, ibu ayah pastinya berusaha sehabis mungkin memberikan didikan yang sempurna buat mereka agar tidak terjebak dalam gejala kurang sihat. Namun siapa sangka usia 7 tahun ada segelintir kanak-kanak sudah pandai berkongsi lukisan memaparkan aksi lucah!

Sepatutnya dalam usia sebegini mereka memiliki otak yang masih bersih dan terhindar dari sebarang tontonan tidak senonoh. Ikuti perkongsian salah seorang ibu ini yang trauma menjumpai sesuatu dalam beg sekolah anaknya.

Lukisan berunsurkan aksi lucah pada beberapa keping kertas

Menurut perkongsian seorang pengguna Facebook, Syed Azmi, ibu bapa kepada anak berusia 7 tahun berdepan detik mencemaskan apabila melakukan pemeriksaan dalam beg sekolahnya.

Syed Azmi mengatakan bahawa dia telah menerima beberapa kiriman gambar daripada pasangan berkenaan. Lukisan pada kertas tersebut terpapar dengan sangat jelas wanita berbogel, pasangan sedang bercium dan berada di atas katil. 

Menurut pengirim, setelah sesi soal siasat anaknya, dia mengatakan bahawa lukisan berunsur aksi lucah berkenaan adalah pemberian rakan sekelas dan mereka berkawan baik.

Justeru, bagi mana-mana ibu ayah pun mesti akan dihimpit rasa serba salah memandangkan anak baru melangkah masuk alam persekolahan dan timbul persoalan bagaimana cara terbaik untuk menghadapinya.

Memandangkan ia adalah kes yang sangat ‘rare’, Syed Azmi memberikan beberapa saranan iaitu:

#1. Bertenang dan mulakan komunikasi yang baik

Sekiranya ibu ayah berdepan masalah ini, perkara pertama adalah jangan kalut atau cepat naik angin. Anda perlu duduk bertenang dan tanyakan kepada anak tentang aktiviti yang dilakukan di sekolah.

Masalah sudah pun terjadi dan nasib baik Allah nak tunjukkannya cepat kepada anda. Kemudian, tunjukkan kertas lukisan berkenaan dan tanya ”apakah makna gambar ini, ibu ayah tak faham. Cuba cerita sedikit.”

Dalam mendapatkan kisah sebenar, elak membuatkan anak berasa takut seperti melakukan kesilapan. Nanti dia mungkin akan menutup mulut, bahkan mungkin berbohong.

Pastikan anda mendapat beberapa maklumat penting seperti bila dapat bahan tersebut, siapa yang bagi, kenapa lukis aksi lucah, siapa kawan yang terlibat, siapa lagi kawan lain yang tahu.

#2. Lakukan perbincangan dengan guru kelas

Jangan menggunakan Whatsapp kerana ia mungkin akan menjadi viral. Sekiranya guru tidak mempunyai masa untuk berjumpa, pastikan anda crop gambar yang penting sahaja untuk tunjuk bahawa ia adalah masalah serius.

Apabila dah jumpa, anda kena fokus dengan dua kanak-kanak yang terlibat kerana mereka tidak salah. Usia 7 tahun ini tak faham apa pun. Mungkin banyak tertengok adegan bercium di telefon pintar atau televisyen, tetapi yang penting jangan buat anak dilanda rasa bersalah.

Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa kanak-kanak lain yang terlibat juga perlu dimaklumkan dan jadikan guru sebagai orang tengah.

#3. Terangkan mengapa gambar berkenaan tidak elok

Sementara menunggu, ibu ayah kena didik dan bimbing anak tentang maksud gambar dan kenapa ia tidak sesuai kepada mereka. Pastikan dia merasakan berada dalam kawasan selamat untuk membuka mulut mengatakan sesuatu.

Jangan marah anak sekiranya dia mengatakan bahawa orang lain yang buat. Hanya fokus pada anak sendiri.

Terangkan mengenai lelaki dan perempuan, batas aurat dan contoh-contoh malu. Sekiranya dia nampak perkara tidak baik, ajar mereka untuk berani mengatakan tidak dan jangan menyimpan rahsia dari pengetahuan ibu ayah.

#4. Berusaha selamatkan keadaan

Jika guru tidak mampu untuk melakukan apa-apa, anda boleh melakukan follow up dengan ibu bapa terus. Walaupun pada mulanya agak kurang selesa, namun sebenarnya tujuan untuk menyelamatkan kedua-dua pihak.

Jangan panik, terima dugaan ini dan berusaha bimbing sebaiknya anak-anak. Elakkan dengan cara kekerasan seperti memarahi atau merotan kerana mereka mungkin akan merahsiakan perkara yang sebenar.

Adalah lebih bahaya jika mereka mula meminta nasihat daripada orang yang salah, terpesong ataupun mempunyai niat tidak baik. Ada juga kes kanak-kanak menggunakan bahasa kod dan vocabulary lain untuk mengelirukan ibu ayah.

Justeru, anda adalah penentu untuk anak-anak menjadi sumber rujukan terbaik. Bukankah anda yang paling menyayanginya di dunia ini?

Sumber: Syed Azmi

Kredit foto: Berita mediaCorp

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

https://my.theasianparent.comyoutube-kanak-kanak