Aktiviti menarik untuk kanak-kanak
Ketika cuti Hari Merdeka, kanak-kanaklah antara golongan yang pasti akan berasa gembira.
Yelah, mana tidaknya. Pada hari ini, mereka akan bercuti. Tapi, bila tidak perlu pergi sekolah pula, mulalah si kecil itu tidak senang duduk.
Dia pasti akan meminta ibu bapa membawanya berjalan-jalan atau membuat aktivit menarik sama ada di dalam mahupun di luar rumah.
Anda pula, tergaru-garu kepala memikirkan apa tempat atau aktiviti menarik untuk kanak-kanak ketika Hari Merdeka yang boleh mereka lakukan.
Ibu ayah sekalian, jangan bergundah gulana. Di sini, kami ada kongsikan dengan anda 12 aktiviti menarik untuk anak anda buat pada hari yang penuh bersejarah ini, 31 Ogos!
1. Menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan
Sumber: Astroawani.com
Sudah pasti, menyaksikan perbarisan di Dataran Merdeka merupakan antara aktiviti menarik untuk kanak-kanak ketika Hari Merdeka.
Pada hari ini, pelbagai pasukan beruniform serta badan kerajaan akan menyertai perarakan yang penuh gilang gemilang ini.
Pasti anak anda akan teruja dapat menyertai rakyat Malaysia lain dan menyaksikan aktiviti tahunan kemegahan negara kita ini bersama-sama. Kalau anda ingin membawanya, pastikan anda keluar awal ya. Kalau tidak, sesak nanti.
2. Membuat aktiviti seni di luar rumah
Aktiviti ini pula lebih santai dan ringkas. Kalau anda berasa penat kerana terlalu sibuk di tempat kerja, kami pasti anda ingin duduk berehat di rumah saja.
Tak mengapa, masih ada aktiviti menarik yang boleh anda cadangkan pada anak-anak untuk buat ketika cuti Hari Merdeka.
Antaranya, berikan mereka kapur, dan biarkan mereka melukis dan mengekspresikan kreativiti mereka di simen atau jalan tar di luar rumah. Mereka gembira, anda pun senang nak mencucinya!
3. Menonton filem bersejarah seperti Leftenan Adnan dan Sarjan Hassan
Sumber: Youtube
Lagi satu pilihan aktiviti yang anda boleh cadangkan kepada anak anda untuk buat semasa Hari Merdeka adalah menonton filem bersejarah.
Ia sesuai jika anak anda kini berada di tadika atau di sekolah rendah. Bolehlah mereka mengetahui serba sedikit tentang sejarah negara kita.
Cumanya, anda perlu sentiasa menarik perhatian mereka sepanjang menonton filem berkenaan untuk mengelakkan mereka daripada tertidur. Banyakkan bercerita dan berbincang semasa filem sedang ditayangkan ya!
4. Menghias rumah dengan bendera Jalur Gemilang
Ini lagi satu aktiviti menarik untuk kanak-kanak semasa hari cuti merdeka. Anda boleh membelikan beberapa bendera kecil dan berikan kepada mereka.
Minta mereka untuk menghias rumah dan bilik mereka dengan bendera-bendera ini. Pasti rumah anda akan kelihatan meriah dan tampil patriotik!
5. Berkelah di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson
Sumber: Picquery.com
Kalau anak anda meminta anda membawa mereka berjalan-jalan tapi anda tidak tahu hendak ke mana, apa kata anda bawa mereka berkelah di Port Dickson.
Ia tidaklah terletak terlalu jauh dari KL. Pantai Teluk Kemang juga penuh dengan pelbagai aktiviti sukan air, gerai makanan, dan kedai cenderahati. Pantai ini memang meriah sewaktu hari cuti.
Kalau hendak lebih bajet lagi, minta anak anda untuk menyediakan bekalan makanan bersama ibu di dapur untuk dijadikan bekalan piknik.
6. Bermandi-manda di Sunway Lagoon
Selain Port Dickson, anda juga boleh membawa anak-anak ke Sunway Lagoon ketika cuti Hari Kebangsaan.
Taman tema air ini sentiasa mengadakan pelbagai aktiviti menarik sempena Hari Kebangsaan.
Pasti anak-anak anda akan terhibur menonton tarian kebudayaan, perarakan kecil-kecilan, melukis batik dan bermain permainan tradisional seperti congkak dan gasing.
7. Beriadah di Taman Botani Negara di Shah Alam
Sumber: Ajlaarasid.blogspot.com
Kalau anda sekeluarga sejenis yang aktif dan gemarkan aktiviti hutan, anda juga boleh membawa anak-anak ke Taman Botani Negara di Shah Alam.
Banyak aktiviti ada disediakan. Anda boleh memilih untuk menyewa basikal, menjelajah jelapang padi mini, melawat rumah empat musim, memberi makan kepada rusa, atau bersukan seperti joging atau bermain badminton.
Dalam taman ini, ada restoran untuk anda makan tengah hari atau minum petang. Train mini pun ada untuk anda naiki bersama keluarga.
8. Melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan di Kuala Selangor
Kalau anda mahu membuat sesuatu yang rare tapi masih lagi boleh menjadikan kenangan manis buat anak-anak, bawa mereka ke Kuala Selangor.
Di Kampung Kuantan, anda boleh menaiki bot dan menelusuri sungai Selangor sambil menikmati keindahan malam di mana ia diterangi oleh cahaya si kelip-kelip.
Cumanya, anda perlu pergi di waktu petang menghampiri waktu senja dan mengingatkan anak anda awal-awal supaya tidak berbuat bising. Tidak bercahaya serangga itu nanti kalau terlalu bising!
9. Menonton persembahan kebudayaan di Pasar Seni, KL
Sumber: Kuala-lumpur.ws
Selain itu, bawa juga anak-anak ke Pasar Seni di KL. Khabarnya di sini, ada persembahan tarian istimewa sempena Hari Kebangsaan.
Malah, Pasar Seni juga selalu mengadakan acara tarian setiap hari Jumaat yang bermula pada pukul 8 malam.
Alang-alang cuti hujung, bawa sekali anak anda menonton persembahan seni mempertahankan diri setiap hari Sabtu (8 malam) dan persembahan muzik jalanan pada hari Ahad pukul 3 petang.
10. Bawa anak jalan-jalan naik MRT
Ini adalah antara trend terbaru di kalangan ibu ayah. Sejak siapnya laluan keretapi MRT di ibu kota, semakin ramai ibu bapa yang membawa anak mereka berjalan-jalan menaiki MRT.
Kenderaan transit aliran ringan ini semuanya masih baru, cantik dan selesa. Malah, keretapi ini masih belum sesak dengan orang ramai. Yang paling penting, MRT sangat menetapi waktu perjalanan.
Lebih kurang setiap 10 minit, pasti akan ada keretapi yang tiba. Takdelah mood anak terganggu jika terpaksa menunggu lama.
11. Melawat bandaraya bersejarah Melaka
Sumber: Casadelrio-melaka.com
Antara aktiviti menarik untuk kanak-kanak ketika cuti Hari Merdeka adalah melawat bandaraya bersejarah di Malaysia, iaitu Melaka.
Melaka sememangnya menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk anak dan juga ibu bapa. Anda boleh membawa mereka menaiki Menara Taming Sari, melawat pelbagai muzium di sekitar bandaraya Melaka dan berfoto di Kota A Famosa.
Selepas makan asam pedas dan minum air coconut shake Klebang, bawa mereka menaiki beca mengelilingi sekeliling bandar dan membeli-belah di Jonker Street pula! Pasti terisi masa cuti anak-anak!
12. Melawat Monumen Alaf Baru di Putrajaya
Pernah tak anak anda melawat Monumen Alaf Baru di Putrajaya? Elok sebenarnya jika si kecil itu didedahkan pada bangunan yang penuh dengan maklumat tentang Malaysia ini.
Anak anda boleh mempelajari pelbagai info dan sejarah menarik tentang pembangunan negara kita. Semua maklumat menarik ini ada dipamerkan pada dinding kaca yang mengelilingi monument ini.
Setelah selesai menjelajah sekeliling bangunan ini, bolehlah mereka bermain lari-lari di taman-taman yang ada di Putrajaya dan juga menikmati keindahan tasik yang ada di sini.
Penuhi masa terluang di Hari Merdeka dengan masa berkualiti bersama anak-anak
Haa…ibu ayah semua, jom cuba buat salah satu aktiviti menarik ini semasa cuti Hari Kebangsaan ya? Ia akan membina memori manis dan kenangan zaman kanak-kanak mereka.
Mari isi hari cuti dengan meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak. Mereka gembira, anda pun bahagia!
Sumber: Timeout, Tripfez dan Makchic.com.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
8 Aktiviti Bonding Ayah dan Anak Perempuan Yang Anda Boleh Cuba
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!