Tidak dinafikan banyak perkara dalam proses komunikasi bersama anak terpaksa dicampur dengan unsur-unsur penipuan bagi membolehkan mereka lebih mudah dengar kata. Namun sedarkah anda tindakan ini boleh melahirkan sikap anak berbohong suatu hari nanti?
Mungkin bagi segelintir ibu bapa hanya menganggap ia adalah perkara kecil dan tidak perlu dikhuatirkan. Kajian mendapati tindakan ibu ayah suka berbohong kerana bagi menenangkan keadaan cenderung membuatkan mereka lebih ‘panjang akal’ untuk berbohong terhadap sesuatu masalah setelah mereka dewasa kelak.
Anak berbohong berpunca dari sikap ambil mudah ibu ayah
Contoh yang paling mudah kesalahan ibu ayah sering lakukan ialah ”Jika kamu tidak duduk diam, ibu akan telefon polis.”
Meskipun kata-kata ini mampu membuatkan si manja lebih behave kerana mereka takut bakal ditangkap pihak berkuasa, namun menurut satu kajian baru yang dilakukan oleh Nanyang Technological University (NTU) menunjukkan pembohongan bagi mengawal tingkah laku anak-anak mampu memberikan kesan berkekalan terhadap pemikiran mereka.
Di samping itu hasil kajian turut mendapati berbohong sejak kanak-kanak cenderung membawa sikap ini sehingga mereka menjadi orang dewasa. Seramai 379 responden terdiri golongan dewasa di Singapura secara atas talian menunjukkan mereka berisiko melakukan pencerobohan, suka melanggar undang-undang dan gangguan terhadap tingkah laku.
”Ketika ibu bapa mengatakan kepada anak-anak bahawa kejujuran adalah kebijakkan terbaik. Namun anda sendiri menunjukkan ketidakjujuran dengan berbohong, tingkah laku berkenaan dapat menghantar mesej bertentangan kepada anak-anak.” jelas pengarang utama Penolong Profesor Setoh Peipei dari Sekolah Sains Sosial NTU, Singapura.
Penyelidikan ini diterbitkan dalam Journal of Experimental Child Psychology dengan kerjasama University of Toronto, University of California dan San Diego.
Soal selidik pertama meminta para peserta untuk mengingati kembali adakah ibu bapa mereka pernah mengatakan sesuatu secara berbohong berkaitan wang atau meninggalkan anak bersendirian.
Antara contoh pembohongan tersebut ialah ”Jika awak tidak datang dekat ibu sekarang, ibu akan tinggalkan awak sendirian di sini” atau mengatakan ”Ibu tidak bawa duit hari ini, nanti kita datang semula ke kedai ini pada hari lain.”
Soal selidik yang kedua pula ialah meminta para peserta menunjukkan seberapa kerap mereka berbohong kepada ibu bapa setelah dewasa. Ini meliputi kesalahan keluar rumah tanpa meminta izin, bersikap keterlaluan dan anak berbohong untuk beri manfaat kepada orang lain.
Kesan anak kecil yang terbiasa dibohongi oleh ibu ayah
Responden dalam kajian tersebut mengatakan bahawa mereka menghadapi masalah penyesuaian yang begitu besar seperti selalu rasa bersalah, memiliki perwatakan egois dan masalah tingkah laku.
”Dalam hal ini ibu ayah hendaklah menyedari kesan akibat berbohong ini seperti mengambil kira perasaan anak-anak, memberi maklumat sehingga mereka tahu apa yang diperlukan dan menawarkan pilihan untuk menyelesaikan masalah bersama-sama,” jelas Prof. Setoh.
Tambahnya lagi, ada kemungkinan tindakan berbohong ini menjadi kekuatan bagi segelintir ibu ayah dalam mengawal kelakuan anak-anak agar tidak berlebihan.
”Acap kali ibu ayah menggunakan ayat-ayat ugutan bagi tujuan menakut-nakutkan anak kecil yang aktif meneroka dunia sekeliling mereka. Akibatnya mereka mungkin berdepan kesulitan bagi menyesuaikan diri apabila dewasa nanti.”
”Ini amat berbeza jika dibandingkan dengan pembohongan yang menyasarkan pematuhan kanak-kanak seperti tidak akan ada lagi gula-gula di rumah.”
Kajian masa hadapan dapat meneliti perkara ini secara lebih dekat lagi sehingga mereka dapat menyarankan pembohongan apa yang harus dielakkan dan jenis kebenaran perlu ibu ayah katakan pada anak-anak.
Kesimpulannya, ibu ayah akan sedar bahawa anak mula pandai berbohong sekitar usia tiga hingga 6 tahun. Hal ini kerana mereka melalui fasa berangan-angan dan tidak tahu membezakan perkara yang betul atau salah.
”Tidak dinafikan ada kanak-kanak cepat matang dan pandai berbohong pada usia ini. Ia kerap berlaku akibat pengaruh didikan yang diberikan oleh ibu ayah, terlalu mudah menghukum atau melenting dengan kesilapan anak. Ada juga yang sengaja mendera psikologi anak dengan menakutkan atau mengugut mereka.” jelas Pakar Keluarga dan Kasih Sayang, Prof. Dr. Rozieta Shaary.
Sumber: ChannelNewsAsia, Harian Metro
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comanak-belajar