Besarkan anak bukan perkara mudah. Sebagai ibu bapa, anda perlu rajin mencari ilmu keibubapaan bagi memastikan anda mendidik dengan ilmu penuh di dada. Semua ibu bapa impikan anak ceria dan gembira, tetapi bagaimana?
Kadangkala kita sebagai ibu bapa mungkin buntu atau keliru, adakah betul cara kita besarkan anak-anak, kadangkala bila tiba hari ‘sedih’, berguguran juga air mata bila terpaksa marah anak yang menguji kesabaran setiap hari.
Tiada siapa mahu suasana yang tegang dalam mendidik anak-anak, di mana silapnya hingga anak tidak gembira dan ceria bila bersama kita. Sebab itu, rajin-rajinlah membaca dan bertanya kepada yang pakar, pasti anda akan temui jawapannya.
Anak ceria, gembira ibu bapa bahagia
Apabila anak anda membesar, dia akan dapat menyampaikan perasaannya dengan lebih mudah dengan kata-kata dan bahasa gerak-geri badan.
7 rahsia kanak-kanak yang sangat gembira
Kata orang mood anak ini jika boleh jangan diusik, jika moodnya baik di pagi hari, layan saja dia. Tapi sampai bila, mahu ikud mood saja kan. Mungkin ada terkurang di mana-mana yang boleh menganggu mood si kecil ini. Jadi ahli psikologi ini, Dr Alizi Alias kongsikan.
#1. Mereka makan tepat pada masanya
Mungkin anda fikir strategi keibubapaan itu penting. Cuba fikirkan sekali lagi.
Pernahkah anda berasa lapar hingga anda rasa mahu menjerit? Itulah perasaan kanak-kanak apabila mereka terlepas snek atau perlu menunggu dua jam melepasi waktu makan biasa.
#2. Mereka mendapat tidur yang konsisten
Jadikan tidur (dan waktu tidur yang konsisten) satu keutamaan. Setiap kanak-kanak memang berbeza ada yang jenis cepat tidur ada yang lambat. Malah kadar lena mereka pun berbeza.
Walaupun itulah hakikatnya, tetapi ia bukan alasan untuk tabiat tidur yang buruk. Kanak-kanak perlu belajar tidur. Terpulang kepada kita untuk mengajar mereka.
#3. Mereka bermain tanpa arahan
Kadangkala anak-anak hari ini terlalu ‘diset’ apa yang mereka patut dan tidak patut buat. Malah bermain pun perlu ikut tatacara. Cuba biarkan mereka explore dan selagi tidak mendatangkan bahaya atau kemudaratan biarkan saja mereka bermain mengikut kreativiti mereka
#4. Mereka dibenarkan untuk meluahkan emosi
Kanak-kanak menjerit apabila mereka marah. Mereka menangis apabila mereka sedih. Mereka mungkin akan menghentak kaki mereka dan berlari-lari dalam bulatan apabila mereka tidak tahu apa yang hendak dirasai.
Mereka juga boleh menunjukkan emosi ini di mana-mana dan tidak tentu tempatnya. Biarkan mereka. Kanak-kanak perlu meluahkan emosi mereka.
Jika orang dewasa meluahkan apa yang terbuku di hati kepada rakan, kanak-kanak ada cara mereka melepaskan emosi contohnya menangis di tengah-tengah orang ramai. Biarkan mereka lepaskan perasaan mereka dulu, apabila keadaan reda, tawarkanlah bantuan anda.
#5. Mereka dapat membuat pilihan
Kanak-kanak mempunyai kawalan yang sangat kecil terhadap kehidupan mereka. Mereka sentiasa diberitahu ke mana hendak pergi, apa yang hendak dilakukan dan apa yang hendak dimakan.
Biarkan anak-anak memilih baju mereka, kasut yang mereka ingin pakai. Atau jika di kedai makan, biarkan mereka pilih menu.
Beri mereka peluang untuk membuat keputusan dan lihatlah senyuman mereka selepas itu.
#6. Mereka rasa didengar
Bersikap terbukalah dengan anak. Dengar apa yang ingin mereka perkatakan. Mereka perlu sentiasa rasa anda ada untuk mendengar apa yang mereka rasa.
Hari-hari kanak-kanak di sekolah tidaklah selalunya indah. Mereka juga ada rasa tidak selesa ada kala mereka juga mungkin rasa serabut. Jadi, dengarlah ceriata mereka. Disamping buat mereka gembira, rasa didengari ini juga akan meningkat keyakinan diri anak untuk berhadapan dengan orang lain.
#7. Mereka disayangi tanpa syarat
Apabila anak-anak tahu bahawa ibu bapa mereka menyayangi dan menyokong mereka walau apa pun yang berlaku keyakinan diri mereka akan tinggi dan cenderung mengambil risiko yang sihat.
Mereka yakin dan selamat dalam keputusan mereka. Mereka belajar bahawa kadang-kadang orang melakukan kesilapan, tetapi sentiasa ada peluang untuk membetulkan kesilapan.
Apabila anak-anak tahu bahawa ibu bapa mereka akan sentiasa ada untuk mereka, sama ada dalam baik atau buruk mereka akan sentiasa gembira.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Sumber: Dr Alizi Alias
Baca juga:
https://my.theasianparent.comibu-pemarah