Sebagai ibu ayah, pasti kita akan berasa bangga apabila orang-orang di sekeliling sentiasa memuji anak kita bijak. Namun, tahukah anda bahawa di belakang anak pandai, mereka juga tertekan kerana harapan dan tekanan oleh ibu ayah?
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Ibu ayah jangan terlalu beri tekanan untuk anak pandai, nanti prestasi anak lebih merudum
- Ibu ayah jangan terlalu beri tekanan untuk anak pandai, nanti prestasi anak lebih merudum
- Jangan hancurkan keyakinan anak, buruk padahnya buat mereka apabila dewasa
- Bantu anak untuk fahami apa yang dia belajar tanpa terlalu memaksa
- Lain individu, lain potensinya. Ibu ayah jangan resah jika anak lambat belajar
Anak-anak yang sering dilabel pandai sejak dari kecil sebenarnya membawa beban yang sangat berat dengan harapan orang sekeliling untuk melihat mereka berjaya. Apatah lagi apabila ditambah pula dengan tekanan ibu dan ayah untuk sentiasa mahu mereka berjaya.
Ibu ayah jangan terlalu beri tekanan untuk anak pandai, nanti prestasi anak lebih merudum
Bagi anak-anak yang telah dicap sebagai pintar dan bijak pada usia kecil, pasti orang sekeliling akan mengharapkan mereka sentiasa berjaya. Oleh sebab itu, ibu ayah akan kerap menekan anak untuk mencapai prestasi terbaik mereka.
Namun, ini akan membuatkan anak lebih tertekan dan prestasi mereka sebenarnya akan lebih merudum kerana mengalami stres dan kehilangan semangat akibat tekanan yang melampau.
Ibu ayah tidak sepatutnya terlalu menekan anak untuk berjaya kerana anak-anak terdedah kepada risiko untuk menghadapi beberapa masalah apabila mereka menginjak dewasa.
Jika anda berasa bahawa anda terlalu tegas dengan si manja supaya mereka sentiasa berjaya dan pandai, ketahuilah kesan-kesan yang bakal dihadapi anak anda kelak.
- Mengalami masalah kesihatan mental. Anak-anak yang sentiasa berada di bawah tekanan akan lebih cenderung untuk menghidapi masalah kebimbangan kerana risau jika mereka tidak menonjol dalam pelajaran, dan kemudian dimarahi ibu dan ayah. Mereka juga boleh menghidap kemurungan oleh sebab perasaan seperti tidak difahami.
- Lebih cenderung untuk meniru ketika peperiksaan. Disebabkan hendak berjaya dan tidak mahu menghampakan harapan ibu ayah dan orang sekeliling, anak-anak akan lebih cenderung untuk meniru dalam peperiksaan. Ini boleh menyebabkan si manja terdedah kepada risiko untuk tertangkap dengan pihak sekolah dan kemudian mendapat denda yang berat seperti digagalkan subjek atau digantung sekolah.
- Tidak mahu turut serta. Kanak-kanak yang berasa bahawa seseorang akan lebih menonjol dari mereka akan memilih untuk tidak turut serta dalam pertandingan atau aktiviti kerana mereka tidak mahu berasa seperti mereka sudah kalah, dikhuatiri akan membuat ibu ayah kecewa dengannya.
- Kurang keyakinan diri. Kerana sentiasa ditekan untuk menjadi lebih baik dari sebelum ini, anak akan mula mempercayai bahawa dirinya tidak cukup bagus dan lama-kelamaan mereka akan mula hilang keyakinan diri. Ia juga akan mengganggu anak-anak dalam mengembangkan identiti mereka sendiri.
Jangan hancurkan keyakinan anak, besar kesannya apabila dewasa
Keyakinan diri yang ada pada anak-anak memberi kesan kepada prestasi mereka dan perkara-perkara yang mereka lakukan. Baik dari cara mengendalikan masalah, serta berinteraksi dengan orang sekeliling.
Anak yang kurang berkeyakinan diri lebih cenderung untuk tidak minat belajar, dan mungkin akan mengalami masalah untuk fokus dalam pelajaran. Namun, ada juga anak-anak yang masih terus berjaya dalam pelajaran walaupun sedang menghadapi isu rendah keyakinan diri.
Kanak-kanak yang menghadapi masalah rendah keyakinan diri sejak dari kecil akan membawanya hingga ke alam dewasa dan ia boleh jadi sebuah masalah kepada mereka.
Mereka akan membesar dan mengalami masalah untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling serta menjadi seorang yang perfectionist, di mana mereka akan terus bekerja hinggalah apa yang dikerjakan menjadi sempurna.
Bantu anak fahami apa yang dia belajar tanpa terlalu memaksa
Sebenarnya, anak anda bukanlah tidak minat belajar dan sekiranya si manja anda agak lambat untuk memahami sesuatu pelajaran baharu, janganlah anda memarahinya atau memerlinya. Sebaliknya, andalah yang perlu membantu anda untuk faham apa yang dia pelajari namun janganlah terlalu memaksa dirinya!
- Jangan melenting jika anak tidak berjaya. Ada hari di mana anak anda mungkin tidak akan menonjol dalam pelajarannya, tetapi anda janganlah terlalu cepat melenting. Mungkin si manja anda penat kerana sentiasa belajar, belajar dan belajar.
- Beri mereka ruang. Kalau ada hari di mana anda dapati si manja tidak mengulang kaji, biarkan sahaja. Berikan mereka ruang untuk berehat dari menelaah pelajaran supaya mereka boleh menyegarkan minda untuk fokus dengan lebih baik pada sesi ulangkaji seterusnya.
- Percayakan anak. Anda lebih mengenali si manja anda, jadi anda juga sepatunya lebih mempercayainya dengan potensi yang ada pada diri si manja.
Lain individu, lain potensinya. Ibu ayah jangan resah jika anak lambat belajar
Jika anak anda agak lambat dalam pelajaran dan mempunyai masalah untuk fokus dengan baik dalam pelajarannya, tentu si manja mempunyai bakat dan potensi dalam hal lain seperti kerja-kerja seni, bertukang dan sebagainya.
Walaupun pelajaran itu penting, namun ia bukanlah segalanya ya ibu ayah! Ilmu itu luas, dan ia tidaklah terhad kepada akademik sahaja. Yang paling penting, pujilah usaha anak dan janganlah hanya fokus kepada keputusannya sahaja.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Belajar Dari Pertanyaan, Parents Jangan Malas Layan Soalan Anak
Baca juga: Kesihatan Anak Perlu Dijaga Dengan Baik Agar Lebih Pantas Belajar
Baca juga: Anak Bukan Bodoh @ Lembab Kalau Dia Ketinggalan, Mungkin Teknik Pembelajarannya Berbeza!