Sebelum ini, ada nasihat orang tua yang melarang ibu bapa supaya tidak terlalu manjakan anak sebab takut si kecil itu nanti mengada-ngada, kuat menangis, tak boleh berenggang dan sebagainya.
Namun, berbeza pula dengan pendapat pakar kerana menurut mereka, bayi yang dimanjakan itu cenderung menjadi anak pintar dan baik hati. Betul ke?
Biasanya, ibu bapa manjakan anak ini bila si kecil menangis dan jalan penyelesaiannya adalah dengan memujuk agar bayi berhenti menangis dengan melakukan sesuatu lantas dapat menenangkan mereka.
Namun, semasa memujuk itu pasti ada suara-suara yang meminta kita supaya tidak melakukan sedemikian kepada si kecil kerana beranggapan mereka akan lebih mengada di kemudian hari sebab tahu bila menangis pasti ibu dan ayah akan memujuk.
Akan tetapi berdasarkan kajian, ibu bapa yang memanjakan bayi akan dapat banyak kelebihan yang luar biasa pada si kecil itu apabila mereka meningkat dewasa!
5 sebab anak pintar dan lebih baik hati bila ibu bapa terlalu manjakan bayi
Ibu ayah jangan rasa terkilan bila ada orang melarang anda manjakan bayi sedangkan ia membawa banyak manfaat seperti berikut:
#1. Bayi belajar berkomunikasi
Anda harus tahu menangis merupakan jalan terbaik untuk bayi berkomunikasi, sekaligus dapat membantu ibu bapa mengetahui si manja berasa tidak selesa atau ada perkara yang telah mengganggunya hingga membuatnya menangis.
Apatah lagi, jika anda meneliti tangisannya, pasti ibu dan ayah boleh mengenalpasti apa yang cuba disampaikan melalui tangisannya itu. Bahkan, bayi juga boleh membuat perkaitan di antara tangisan mereka dengan pujukan anda.
Dengan tindak balas daripada ibu bapanya, si kecil boleh belajar untuk saling memahami perasaan dengan lebih berkesan.
#2. Memberi respon terhadap sentuhan dan kasih sayang
Kajian yang diketuai oleh Profesor Psikologi dari Notre Dame, Darcia Narvaez mendapati sentuhan kasih sayang yang dicurahkan kepada bayi sejak lahir boleh membuatkan mereka membesar menjadi anak pintar, penyayang, pemurah dan baik hati berbanding bayi yang tidak mendapat layanan positif sedemikian.
Bahkan, proses respon dan sentuhan kasih sayang ini boleh meningkatkan kebolehan anak dalam memahami minda orang lain supaya lebih efektif.
#3. Menangis secara berterusan memberi impak negatif
Memang ada orang yang mengatakan apabila ibu bapa membiarkan saja si kecil menangis tanpa gangguan, ia boleh membuat mereka berhenti menangis dengan sendiri. Tapi pakar pula berpendapat lain, di mana tindakan tersebut adalah tidak relevan pada bayi.
Hal ini kerana, ia akan membuatkan saraf bayi mengalami stres sekiranya menangis secara berterusan tanpa dipujuk oleh sesiapa. Bahkan, tindakan tersebut tidak bagus untuk perkembangan bayi baru lahir sehingga berumur enam bulan.
#4. Meningkatkan rasa empati bila berkomunikasi dengan ibu ayah
Setelah dilahirkan, tentunya bayi memerlukan kasih sayang daripada orang sekeliling terutamanya daripada ibu bapa kerana anda adalah orang yang paling dekat dengan mereka.
Apatah lagi, otak manusia lebih mudah memberi respon terhadap kasih sayang yang diterima setiap hari dan akan praktiskan benda yang sama bila mereka besar kelak.
Jadi, bayi akan lebih mudah mengasihi orang lain kerana telah diasuh sedemikian rupa sejak kecil lagi.
Sebab itu bayi yang sentiasa mendapat respon baik dari ibu bapa terhadap tangisannya akan menunjukkan perkembangan emosi yang baik.
Anda boleh melihat sifat ini semasa mereka berada dalam keadaan kritikal di mana mereka cenderung lebih bijak menangani tekanan dengan sebaiknya.
#5. Bayi menangis bukan nak tunjuk kuasa
Menurut pakar, bayi bawah tiga bulan belum memiliki memori yang kuat dan tidak mempunyai kebolehan untuk membuat jangkaan apa yang bakal berlaku di kemudian hari. Tapi, semua perihal ini akan terjadi bila umur mereka mencecah enam bulan.
Sementara itu, bayi di bawah enam bulan sekadar memberi respon terhadap apa yang anda lakukan setiap kali mereka menangis.
Manakala bayi di atas enam bulan pula, anda boleh memberi galakan terlebih dahulu seperti berlengah angkat mereka semasa menangis, bercakap-cakap dahulu dengannya atau alihkan perhatian mereka dengan mainan muzik.
Dengan taktik ini dapat membina kepercayaan anak terhadap ibu bapa meskipun tidak terus mendukung mereka setiap kali menangis.
Kesimpulannya, setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri dalam mendidik dan membesarkan anak kerana anda lebih tahu apa yang si kecil suka dan tidak.
Malah jangan terlalu kecewa bila orang mengatakan anda terlalu memanjakan anak tiap kali dia menangis sedangkan tindakan anda itu memberi banyak manfaat kepada si kecil itu bila dewasa nanti.
Semoga artikel ini memberi informasi berguna untuk anda di masa hadapan.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber: Sirap Limau
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga
https://my.theasianparent.comkajian-berkaitan-bayi-suka-orang-cantik