“Ya, sebenarnya ini anak ke-4 saya. Anak yang ke-3 lahir mati.”
Kita sering melihat kesedihan yang dialami oleh ibu bapa kepada anak syurga, dan dapat membayangkan betapa perihnya perjalanan yang nyata terasa panjang dan cukup lama untuk dilalui.
Bagi yang tidak pernah melalui rasa ini, kita pasti mendengar pengalaman hidup mereka di saat mula kejadian anak itu, proses penyembuhan yang sukar dan akhirnya melihat ibu bapa tersebut berjaya mengharungi kesedihan tersebut… atau sekurang-kurangnya lebih tenang berbanding sebelumnya.
Mungkin kali ini, kita boleh bercakap tentang keseimbangan antara cuba melalui pengalaman trauma tersebut, tetapi masih menyambut kehidupan anak syurga itu, walaupun sementara sahaja.
Anak Syurga: Perkongsian Seorang Wanita
Seorang ibu yang membawa kandungannya sehingga matang dan kehilangan anaknya kerana ‘stillbirth‘ akhirnya meluahkan rasa yang disimpan selama ini.
Ibu ini percaya, setiap ibu bapa yang mengalami pengalaman sama harus meneruskan kehidupan selepas kematian anak, dan mencapai keseimbangan antara menerima kehilangan dan teruskan menghargai anak syurga tersebut setiap hari, dalam apa jua cara sekalipun.
Ikuti perkongsiannya yang menyedihkan ini.
***
Tidak lama dulu, saya menghadiri sebuah majlis bersama 3 orang anak saya. Rakan yang sudah lama tidak berjumpa terkejut apabila mendapati saya mempunyai 3 anak. Mereka tanya, apa perasaannya?
Soalan tersebut membuatkan anak sulung saya mula menyampuk.
“Tapi dia bukan anak ke-3, baby ni anak ke-4. Saya ada adik lain yang dah ke syurga.”
Tiba-tiba mood sekeliling terus berubah! Semua mula terdiam dan keadaan menjadi kekok. Ahli keluarga yang lain mula menjeling anak lelaki saya, ada yang menyuruhnya diam sahaja.
Malah dia dianggap kurang sopan di majlis.
Itulah anak saya yang berusia 5 tahun yang bila disuruh melukis tentang perasaannya, dia melukis gambaran seorang budak perempuan yang sesat dengan tajuk, saya sedih bila adik perempuan saya tidak jumpa jalan pulang.
Kematian anak sememangnya suatu perkara yang sukar digambarkan.
Malah bukan kehilangan itu sahaja yang sukar, tetapi sebenarnya perkara paling sukar sekali adalah mencari keseimbangan antara betapa anda mahukan anak itu dalam hidup anda.
Ia makin mencabar bila anda perlu menjelaskan kepada anak-anak yang lain tentang anak syurga itu.
Anak Syurga: ‘Menangis Tidak Akan Membuatnya Kembali’
Ketika anak saya meninggal dunia, saya tidak diberikan masa dan ruang untuk meratap dan bertenang.
Saya dikelilingi orang-orang yang merasakan saya perlu lupakan hal tersebut dan teruskan kehidupan saya, untuk terus kuat demi anak yang lebih tua, dan menangis tidak akan dapat membantu apa pun!
Saya rasa, jika saya diberikan masa untuk bersedih, mungkin selepas itu saya perlu berlakon seolah-olah ia tidak pernah berlaku.
Saya tidak boleh bercakap tentang anak syurga saya, malah bila saya membuat keputusan untuk memberitahu anak sulung saya pun ada yang tidak bersetuju.
Hanya Yang Mengalami Akan Faham Perasaan Kehilangan Ini
Tapi pada satu tahap, saya rasa saya perlu lebih kuat dengan perasaan saya sendiri. Saya buat keputusan yang tiada siapa yang boleh menyuruh saya rasa apa yang saya perlu rasa, dan apa jua cara untuk saya bersedih!
Tiada seorang pun yang boleh membayangkan perasaan seorang ibu yang mengandungkan anak, hanya untuk kehilangan si comel itu.
Apabila anak syurga saya meninggalkan kami, tiada siapa yang membuat memori atau berkongsi ikatan istimewa dengannya, hanyalah saya.
Saya merasakan tendangan dan gerakannya, malah dia berkomunikasi dengan ibunya dari dalam rahim dan itu sebenarnya yang memberi saya hak untuk melakukan apa sahaja bagi mengingatinya.
Saya tidak mahu sekadar mengingati anak syurga saya. Saya mahu meraikan kehidupannya yang sementara semasa jantungnya masih berdegup.
Saya bercakap dengan anak-anak lain tentangnya, menerangkan apa yang terjadi. Malah sekiranya ada yang bertanya saya ada berapa anak, saya sering menjawab 4 anak, walaupun kepada orang yang tidak dikenali.
Pada saya, ini adalah keseimbangan.
Kematian anak sangat menyakitkan, tetapi walau bagaimanapun anda perlu meneruskan hidup. Tetapi ini bermakna anda terima yang si kecil itu hanya berada jauh dari anda, di tempat yang lebih baik.
Ia juga tidak bermakna anda tidak boleh menjadikan anak itu sebahagian dari kehidupan anda. Jangan biarkan sesiapa memberitahu anda sebaliknya.
***
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus ke Facebook page kami.
Umur berapakah kehamilan boleh berisiko?
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Artikel ini asalnya ditulis oleh Nasreen Majid dan mendapat keizinan theAsianparent Singapore untuk diterjemah.