Hati ibu bapa mana yang tak hancur jika kejadian seperti ini berlaku pada anak kita? Malang memang tak berbau. Ibu bapa ini juga tak sangka akan menemui anak terjerut tali buaian adiknya di ruang tamu rumah mereka.
Anak terjerut tali buaian: Apa sebenarnya berlaku?
Satu whatsapp baru-baru ini tular memberi peringatan supaya ibu bapa tak memberikan anak-anak bermain permainan yang membahayakan diri kerana akibatnya boleh terjadi seperti kes ini, seorang budak mati terjerut tali buaian.
Bapa anak terjerut tali buaian ini kesal apabila orang sewenang-wenangnya menyebarkan berita palsu mengenai kematian anaknya Chris Danny Jeffery yang berusia 10 tahun ini. Ada pihak yang mengatakan anaknya mati gara-gara bermain “tali gantung”.
Dia yang masih bersedih ketika ini berkata, ketika kejadian berlaku, dia dan isterinya sedang tidur di dalam bilik selepas menjemput Danny dari sekolah.
Dia terjaga apabila abang Danny berlari ke ruang tamu dan melihat Danny tergantung pada tali buaian dengan muka pucat.
“Ketika itu, saya tidak sanggup mengejutkan isteri kerana bimbang dia akan pengsan jika melihat situasi itu. Saya kemudian terus memeluk Danny dan melepaskan ikatan tali pada leher Danny. Saya terus mengejutkan isteri sebelum bergegas ke Unit Kecemasan Hospital Tenom. Doktor kemudian mengesahkan Danny sudah meninggal dunia,” katanya kepada Berita harian. Danny hanya bermain di buaian berkenaan dan bukannya main-main gantung diri. Ketika Danny bermain di buaian itu, kemungkinan spring buaian itu rosak dan menyebabkan tali penahan spring menjerut lehernya. “ami sekeluarga sehingga kini masih bersedih dengan apa yang berlaku kerana Danny seorang anak yang baik dan ceria. Kehilangannya amat kami rasai,” katanya.
Jeffrey berkata, buaian itu jarang digunakan kerana adik mangsa yang menggunakannya sebelum ini sudah berusia tiga tahun.
“Saya tidak tahu Danny menggunakan buaian itu untuk bermain, jika tidak saya tentu membuangnya. Saya hanya mengetahuinya apabila abang Danny memaklumkan dia (Danny) beberapa kali bermain di buaian itu.”
Anak terjerut tali buaian: Ibu bapa perlu pastikan rumah tempat selamat untuk anak bermain
Ekoran dari kejadian ini, penting untuk ibu bapa memastikan rumah sentiasa dalam keadaan selamat. Berikut antara tips keselamatan yang wajib anda ketahui:
Tip:
- Pastikan peralatan elektrik di rumah diletakkan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh anak. Pastikan juga segala wayar dan suis ditutup.
- Letakkan penutup di setiap penjuru perabot untuk mengelak kecederaan.
- Sentiasa tutup pintu keluar dan pintu-pintu tandas di rumah.
- Sorok bahan-bahan yang mempunyai kimia dan racun dari anak anda.
- Pastikan mainan anak-anak jauh dari bahaya seperti skru kecil, span dan bahan-bahan lain yang boleh membuatkan anak-anak tercekik.
- Jauhkan plastik dari anak anda untuk mengelakkan mereka lemas.
- Jauhkan juga segala barang yang menyerupai tali untuk mengelakkan mereka terjerut diri sendiri.
Mungkin benda-benda ini nampak remeh, tapi ibu bapa perlu ingat yang malang tidak berbau. Jadi sebolehnya kita cuba elakkan dari berlaku kejadian-kejadian yang tak diingini.
Kami di theAsianparent mengucapkan takziah kepada keluarga Danny.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber rujukan: Berita Harian
Baca juga:
https://my.theasianparent.combayi-terjerut-tali-puting/