Wanita malang yang dirogol pada hari perkahwinan
Siapa sangka, tarikh yang sepatutnya mengubah hidup wanita menjadi pengantin paling bahagia bertukar menjadi hari yang paling malang buatnya.
Terry Gobanga merupakan seorang pastor yang sepatutnya berkahwin dengan tunangnya.
Ketika beliau tak muncul di majlis perkahwinannya, tiada siapa menyangka yang beliau diculik, dirogol dan ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.
Pastor dari Nairobi ini mengongsikan kisahnya pada BBC.
Ia tentang bagaimana hari bahagianya bertukar menjadi tragedi hitam.
Ikuti perkongsian beliau tentang perincian tragedi hitam yang telah mengubah hidupnya itu.
Perkongsian penuh duka oleh wanita yang dirogol pada hari perkahwinannya
“Ia merupakan hari perkahwinan saya, saya seorang pastor, jadi semua kawan-kawan gereja akan datang. Begitu juga dengan semua saudara dan kami amat gembira.
Saya dan tunang saya, Harry akan berkahwin di Gereja All Saints di Nairobi dan saya sudah menyewa sebuah gaun yang cantik.
Malam sebelum itu, saya perasan Harry telah tertinggal pakaiannya di rumah saya. Mana mungkin kami berkahwin tanpa dia memakai tali lehernya.
Seorang sahabat telah menawarkan diri untuk menghantar baju itu padanya pagi esok. Keesokan harinya kami bangun lebih awal dan saya menghantar dia ke stesen bas.
Dalam perjalanan pulang, saya melintasi seorang lelaki yang sedang duduk atas bonet keretanya. Dia telah menarik saya dari belakang dan mencampakkan saya di tempat duduk belakang.
Terdapat dua lagi lelaki sedang tunggu dalam kereta dan mereka culik saya bawa pergi. Semuanya terlalu pantas.
Mulut saya disumbat dengan kain! Saya menendang, memukul, cuba menjerit dan ketika saya berjaya membuka mulut saya, saye menjerit “Ini hari perkahwinan saya!“.
Ketika saat saya mendapat pukulan pertama, dan salah seorang dari mereka menyuruh saya bekerjasama atau saya akan mati!
Mereka telah berganti-ganti merogol saya. Saya yakin yang saya akan mati, tapi saya tetap berjuang agar terus hidup.
Ketika salah seorang dari mereka membuka gumpalan kain dari mulut saya, saya telah menggigit kemaluannya.
Dia menjerit dan salah seorang dari mereka telah menikam perut saya kemudian saya ditendang keluar dari kenderaan yang sedang bergerak laju.
Saya berada di luar bandar Nairobi, ratusan kilometer dari rumah, akibat diculik lebih enam jam yang lalu.
Seorang kanak-kanak telah ternampak saya dan memanggil neneknya. Orang ramai berlari datang ke arah saya. Ketika pihak polis tiba, mereka cuba memeriksa nadi saya namun tidak berjaya.
Mereka menyangka saya sudah mati dan telah membalut tubuh saya untuk dibawa ke rumah mayat.
Namun dalam perjalanan, saya telah tersedak dan terbatuk. Mereka telah berpatah balik dan membawa saya ke hospital besar Kenya.
Saya tiba di hospital dalam keadaan terkejut sambil bercakap sesuatu yang tidak jelas.
Saya telah dibogelkan dan berlumuran darah, muka saya bengkak kerana ditumbuk. Tapi jururawat teringat sesuatu tentang saya: saya adalah bakal pengantin.
Jadi beliau mencadangkan untuk bertanya dari gereja ke gereja sekiranya ada sesiapa yang kehilangan pengantin perempuan.
Dan kebetulan, gereja All Saints Cathedral merupakan gereja pertama yang mereka hubungi.
Gereja memberitahu mereka ada perkahwinan pada jam 10 pagi namun pengantin perempuan tidak tiba.
Persoalan orang di gereja mengapa saya tidak muncul di gereja terjawab beberapa jam kemudian setelah mereka mendapat panggilan dari hospital itu.
Sejurus mereka mendengar keadaan saya, ibu bapa dan semua jemputan terus datang ke hospital.
Harry bawa gaun pengantin saya. Kisah ini telah didengari oleh pihak media, jadi wartawan memenuhi hospital.
Saya dipindahkan ke hospital lain agar mendapat lebih privasi. Di sana, doktor telah merawat dan menjahit luka-luka saya.
Dan ketika itulah saya mendapat perkhabaran buruk. Luka tikaman menembusi rahim dan saya tak boleh mengandung.
Saya telah diberikan ubat kontrasepsi, serta ubat antiretroviral untuk melindungi diri dari HIV dan AIDS.
Fikiran saya tertutup, saya tak boleh terima apa yang terjadi.
Harry asyik berkata yang dia masih ingin mengahwini saya. Dia ingin saya kembali sihat dalam pelukannya di rumah.
Tapi saya tak boleh jawab “ya” atau “tak”. Fikiran saya masih dipenuhi dengan wajah ketiga-tiga lelaki itu dan setiap perkara yang terjadi.
Selepas beberapa hari, kesan ubat penenang semakin berkurang, saya menatap mata Harry. Saya meminta maaf. Saya rasa saya telah mengecewakannya.
Saya disalahkan kerana diculik dan dirogol
Ramai yang mengatakan ini semua salah saya. Kerana saya telah keluar rumah di awal pagi.
Ia sungguh menyakitkan, namun Harry dan keluarga telah menyokong saya.
Polis tak dapat menangkap perogol-perogol tersebut. Saya menunggu dan menunggu, tapi saya tak kenal seorang pun perogol tersebut dan itu sungguh menyakitkan.
Akhirnya saya ke balai polis dan berkata “Saya sudah selesai, saya hanya ingin menamatkannya!”
Tiga bulan selepas serangan tersebut, saya diberitahu yang saya negatif HIV dan saya sangat teruja.
Tapi mereka mengatakan yang saya mesti menunggu tiga bulan lagi untuk kepastian, namun saya dan Harry telah merancang perkahwinan kami.
Walaupun saya marah dengan gangguan media, seseorang telah membaca kisah saya dan ingin menemui saya.
Nama beliau ialah Vip Ogolla dan dia juga merupakan mangsa rogol yang terselamat. Kami bersembang dan dia memberitahu saya yang dia ingin menaja perkahwinan saya – percuma. Ambillah apa saya mahu.
Saya sangat teruja. Saya boleh memilih apa sahaja yang lebih mahal! Selain menyewa gaun, saya boleh memiliki baju pengantin.
Mangsa rogol ini selamat berkahwin dengan tunang tercinta
Tujuh bulan selepas perkahwinan pertama yang kami rancang, pada Julai 2005, saya dan Harry berkahwin. Dan kami telah pergi berbulan madu.
Foto ehsan BBC
Selepas 29 hari, pada malam yang dingin, kami di rumah dan Harry menyalakan arang dan membawanya ke bilik tidur.
Selepas makan makan malam, Harry telah memindahkannya kerana terlalu panas. Saya berselimut ketika Harry mengunci rumah.
Harry mengatakan yang dia pening, namun kami fikir ianya bukan apa-apa.
Malam itu terlalu sejuk hingga saya meminta Harry membawa selimut lagi. Namun Harry berkata yang dia tak berdaya, pelik kerana saya juga tak boleh bergerak.
Kami rasa seperti ada yang tidak kena. Saya terus pengsan begitu juga Harry. Saya ingat saya memanggil dia. Pada awalnya Harry memberi respon kemudian tidak lagi.
Saya memaksa diri saya untuk bangun dari tempat tidur dan muntah. Saya merangkak ke telefon.
Saya merangkak ke telefon. Saya menelefon jiran tetangga dan memberitahu ada sesuatu yang tidak kena, Harry tidak sedarkan diri.
Jiran telah datang dengan segera namun saya mengambil masa yang lama untuk merangkak ke pintu kerana asyik pengsan.
Saya terlihat ramai orang masuk sambil menjerit. Dan saya pengsan semula.
Saya tersedar di hospital dan bertanya di mana suami saya. Mereka memberitahu yang pihak medikal sedang berusaha di bilik sebelah.
Saya memberitahu yang saya seorang pastor dan saya telah melihat banyak benda serta saya mahu mereka jujur dengan saya. Doktor memberitahu saya yang suami saya tidak berjaya diselamatkan.
Saya tak dapat mempercayainya.
Beliau hilang segala-galanya
Kembali ke gereja untuk menguruskan pengebumian adalah sungguh mengerikan.
Baru sebulan yang lalu saya di sana dengan gaun putih berdiri di hadapan Harry yang tampan di dalam suitnya.
Kini sya dengan pakaian serba hitam melihat suami saya dimasukkan ke dalam keranda.
Ramai yang menganggap saya telah disumpah. Hingga mereka menjauhkan anak-anak mereka dari saya. Hingga satu ketika, saya mempercayainya.
Sementara ada orang lain menuduh saya membunuh suami saya. Itu membuatkan saya sangat sedih kerana saya sedang berduka.
Hasil bedah siasat menunjukkan apa yang sebenarnya terjadi.
Suami saya meninggal akibat keracunan karbon monoksida yang memenuhi paru-parunya. Dia tidak dapat bernafas.
Hati saya hancur. Saya rasa telah dikecewakan Tuhan, dikecewakan semua orang. Saya tidak tahu bagaimana orang boleh ketawa dan menjalani hidup seperti biasa. Saya hancur.
Suatu hari, sedang saya melihat burung-burung berkicau, saya bertanya “Tuhan, mengapa Kau boleh menjaga burung-burung ini tetapi bukan aku?”
Dan ketika itu saya tiba-tiba sedar yang saya ada 24 jam sehari. Tanpa sedar, seminggu, sebulan, setahun masa terbuang begitu sahaja, kenyataan yang sukar diterima.
Saya memberitahu semua orang yang saya tidak akan berkahwin lagi. Tuhan telah mengambil suami saya dan rasa kehilangan itu terlalu besar.
Sesuatu yang saya harap tidak terjadi kepada sesiapa, sakitnya sungguh tak terungkap.
Sinar baru yang menyinari wanita mangsa rogol ini
Namun ada seseorang – Tonny Gobanga – yang sentiasa mengunjungi saya. Mendorong saya untuk terus bercerita tentang suami saya dan bercakap tentang memori indah.
Hingga satu masa dia tidak menelefon selama tiga hari dan saya rasa sangat marah. Ketika itulah saya sedar yang saya telah jatuh cinta padanya.
Tonny ingin mengahwini saya.
Saya memintanya membeli majalah dan membaca kisah saya dan beritahu saya jika dia masih mencintai saya.
Dia kembali dan mengatakan yang dia masih mahu mengahwini saya.
Foto ehsan BBC
Tapi saya memberitahunya, saya tak boleh mempunyai zuriat jadi saya tidak boleh berkahwin dengannya.
Namun dia menjawab ‘anak-anak adalah anugerah Tuhan. Jika ada, amin. Jika tidak, saya akan ada lebih banyak masa untuk mencintaimu.’
Saya terpegun lalu menerimanya dan Tonny pulang untuk memaklumkan ibu bapanya.
Mereka sangat gembira. Tapi, itu sehinggalah mereka mendengar tentang kisah saya. Mereka melarang kerana merasakan saya sudah disumpah.
Ayah mertua saya enggan hadir ke majlis perkahwinan kami, namun kami masih meneruskannya dan 800 orang tetamu telah hadir kerana perasaan ingin tahu.
Semasa upacara di gereja, saya berkata dalam hati, ‘saya di sini lagi, jangan biarkan dia mati’. Semasa mereka mendoakan kami, saya menangis.
Selepas setahun berkahwin, saya rasa seperti tidak sedap badan dan telah pergi berjumpa doktor. Yang mengejutkan ialah doktor telah memberitahu saya hamil!
Cahaya mata yang dianugerahkan Tuhan
Bulan berganti bulan dan saya lebih banyak berehat kerana kesan luka di rahim.
Semuanya berjalan lancar dan kami dikurniakan anak perempuan yang telah diberi nama Tehille.
Empat tahun kemudian, kami dikurniakan seorang lahir anak perempuan yang diberi nama Towdah.
Foto ehsan BBC
Kini, saya dan bapa mertua saya adalah sahabat baik.
Saya menulis sebuah buku yang bertajuk Crawling Out of Darkness (Merangkak Keluar Dari Kegelapan) yang berkisar tentang dugaan berat yang saya alami.
Diharapkan ia dapat memberi harapan kepada orang lain supaya kembali bangkit.
Saya juga menubuhkan sebuah organisasi, Kara Olmurani.
Kami bekerja dengan mereka yang terselamat dari perogol. Kami menawarkan kaunseling dan sokongan.
Kami ingin membina sebuah rumah agar mereka boleh datang dan menemui diri mereka semula sebelum kembali berdepan dengan dunia.
Saya telahpun memaafkan perogol-perogol saya.
Ianya memang bukan mudah tetapi saya sedar tiada guna kekal marah pada orang yang tak sedikit pun ambil tahu.
Agama saya mengajar untuk memaafkan dan tidak membalas kejahatan dengan kejahatan tetapi membalas dengan kebaikan.
Apa yang penting ialah berduka, melaluinya.
Marahlah sampai anda bersedia melakukan sesuatu.
Anda harus maju, merangkak jika perlu. Tetapi terus maju ke arah takdir anda kerana ia sedang menunggu dan anda perlu perjalanan serta dapatkannya.”
Sumber: bbc
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comanak-maut-di-jepun-ibu-luahan/
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!