Selain obesiti, isu anak terlalu kurus juga sering menjadi isu ibu bapa. Ada anak yang sudah diberi makan ikut sepatutnya pun masih juga memiliki berat underweight.
Risau juga ibu bapa dibuatnya bila anak terlalu kurus. Malah jika di bawak untuk membuat pemeriksaan kesihatan, semuanya baik-baik saja tetapi anak tetap juga terlalu kurus.
Adakah ia berbahaya sebenarnya? Dalam keadaan bagaimana ibu bapa seharusnya risau jika anak terlalu kurus? Apakah tahap yang boleh dianggap sebagai bahaya dan perlu dibawa untuk rujukan pemeriksaan oleh doktor?
Baca juga: Anak Kurus Dengan Cepat Tanda Tidak Normal, Ibu Sila Waspada 7 Masalah Penyakit Ini!
Anak terlalu kurus, parents perlu risau!
Di peringkat global, walaupun prevalens obesiti di kalangan kanak-kanak meningkat secara mendadak tetapi kekurangan pemakanan masih menjadi satu masalah termasuk di Malaysia.
Kekurangan pemakanan dalam kalangan kanak-kanak terbahagi kepada empat jenis iaitu pembantutan; kekurangan berat badan dan kekurusan; penyusutan badan dan kekurangan vitamin dan mineral.
Bagaimanapun, kurus biasanya dirujuk sebagai kekurusan (BMI rendah mengikut umur), kekurangan berat badan (berat badan rendah mengikut umur) dan penyusutan badan (berat badan rendah mengikut ketinggian).
Patut bimbang jika…
Di Malaysia, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 mendapati, bagi kanak-kanak bawah 18 tahun, terdapat lebih kurang 8% prevalens bagi kekurusan dan penyusutan badan dan prevalens lebih tinggi bagi kekurangan berat badan iaitu pada 13%.
Dalam tinjauan sama, kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak lebih kecil (5-9 tahun) didapati mencatat prevalens paling tinggi bagi kekurusan dan kekurangan berat badan.
Ibu bapa disyorkan untuk mengawasi tumbesaran dan perkembangan anak anda secara teratur dengan mengukur berat dan tinggi mereka bagi mengira indeks jisim badan (BMI).
Kemudian, guna carta rujukan tumbesaran yang sewajarnya (carta BMI mengikut umur) untuk mengetahui sama ada BMI anak anda termasuk dalam kategori normal, kurang berat badan, atau lebih berat badan.
Dapatkan nasihat pakar kesihatan jika BMI mengikut umur anak anda tidak normal, atau jika terdapat tanda-tanda lain yang membimbangkan seperti kehilangan selera makan secara tiba-tiba atau kehilangan berat badan yang mendadak.
Lakukan ini jika anak anda terlalu kurus
#1. Sediakan makanan yang menarik
Makanan yang menarik secara visual biasanya lebih menyelerakan. Anda boleh mencuba secara kreatif dengan pelbagai bentuk dan warna makanan.
#2. Sedikit tapi kerap
Sediakan makanan secara kerap sepanjang hari tetapi dalam jumlah yang kecil. Ini menggalakkan anak anda makan lebih banyak dan meningkatkan pengambilan makanan secara keseluruhan. Ingat, sediakan makanan yang seimbang, sederhana dan pelbagai.
#3. Makan bersama-sama
Jadikan amalan makan bersama-sama satu kebiasaan. Walaupun anak anda kurang berselera, anda boleh berbual dengannya agar dia kekal di meja makan. Kanak-kanak biasanya akan melihat ibu bapa sebagai teladan, jadi janganlah menonton televisyen atau menggunakan gajet semasa waktu makan.
#4. Beli bahan dan masak bersama-sama
Bawa anak anda membeli-belah bersama anda dan minta dia pilih satu buah atau sayur untuk dihidangkan dalam hidangan keluarga. Kanak-kanak akan lebih tertarik dengan makanan apabila mereka terlibat dalam proses penyediaan dan hidangan makanan.
Jadi galakkan mereka untuk membantu di dapur, seperti membasuh sayur atau menyusun pinggan dan alatan di meja makan.
#5. Galakkan senaman
Seimbangkan pengambilan makanan dengan aktiviti fizikal yang kerap. Selain daripada menambah seleranya, senaman dapat menguatkan tulang, membina otot, dan meningkatkan kesihatan jantung.
#6. Pengawasan dan bimbingan
Awasi tumbesaran anak anda (tinggi dan berat) setiap 6 bulan, serta ikuti jadual perkembangannya. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan dengan tumbesarannya, dapatkan nasihat doktor segera.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Sumber: mypositiveparenting
Baca juga: Kenapa berat badan anak saya tak naik dan dia makin kurus?