Pelik, Tapi Benar! Lelaki Miliki Zakar Di Tangan Kiri & Tekad Jalani Kehidupan Normal

Bahagian anu lelaki adalah anggota paling penting. Namun kisah ini agak pelik apabila penciptaan kemaluan baharu dapat kelihatan jelas oleh orang lain

Kehilangan kemaluan atau anu lelaki boleh menyebabkan diri kemurungan kerana dianggap manusia tidak sempurna dan cacat. Walau bagaimanapun kemajuan bidang kesihatan hari ini telah membawa pelbagai pembaharuan dalam merawat segala jenis masalah penyakit.

Tidak hanya pembedahan untuk tujuan kecantikan semata-mata, kisah terbaru yang menjadi tular kebelakangan ini adalah mengenai lelaki dengan kemaluan berada di tangannya.

Anu lelaki hilang diganti dengan yang baharu

Difahamkan, seorang bapa dari bandar Norfolk, England sebelum ini telah mengalami kemurungan selepas kemaluannya hilang akibat berlakunya jangkitan dalam darah.

Namun dia diibaratkan hidup kembali apabila doktor berjaya mencipta kemaluan baharu yang diletakkan pada bahagian tangan kirinya.

Lelaki berkenaan bernama Malcolm Macdonald berusia 45 tahun kehilangan kemaluannya sejak tahun 2014 akibat penyakit yang dialami.

Nasibnya agak baik setelah dua tahun kemudian, pakar perubatan tempatan, Professor David Ralph telah menawarkan diri membantu untuk menghasilkan anu lelaki baharu menggunakan tisu badan Malcolm.

Kemaluan berkenaan dihasilkan dengan mengambil bahagian kulit dan tisu tangan pesakit. Kemudian, ia dibentuk menjadi zakar dengan memilki salur darah serta sarafnya sendiri.

”Pada mulanya ia memang sangat pelik. Namun ini sahaja peluang untuk diri kembali menjalani kehidupan normal seperti lelaki yang lain,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, Malcolm turut meletakkan nama istimewa alat sulit baharunya iaitu ‘Jimmy.’

Tambahnya lagi, pemindahan kemaluan baharu di tangan kirinya ke tempat sepatutnya telah dijadualkan dua tahun yang lalu. Walau bagaimanapun selalu ada halangan yang menyebabkannya tertangguh termasuklah penularan pandemik Covid-19.

”Sebenarnya sudah banyak kali proses pembedahan ditangguhkan kerana masalah jadual. Bukan itu sahaja, saya pernah jatuh sakit pada hari pembedahan yang sepatutnya dilakukan. Semasa dunia dilanda penularan Covid-19, berlaku kekurangan staf hospital di Britain,”

”Jadi saya amat berharap pembedahan untuk memindahkan kemaluan ini ke tempat sepatutnya dapat dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini,” ujarnya.

Tidak hanya Malcom, sebelum ini seorang lelaki turut menjadi antara individu di dunia yang mendapat zakar ‘bionik’ pada tahun 2005.

Lelaki dilahirkan tanpa kemaluan dapat merasai kehidupan seks seperti orang lain

Seorang lelaki di London telah dilahirkan tanpa memiliki alat kelamin kini boleh menjalani kehidupan seksual apabila dia dipasang zakar ‘bionik’.

Andrew Wardle berasal dari Manchester, 45 tahun telah menjalani proses pembedahan memasang zakar tiruan yang diperbuat daripada kulit dan tisunya sendiri. 

Ia telah dilakukan di Hospital Kolej Universiti London (UCLH) dengan kos mencecah RM270,195.

Pasukan perubatan telah memasang pam mini dalam zakar tiruan berkenaan agar dapat berfungsi dengan mengaktifkan butang paha dan pam untuk menyalurkan cecair salina dan membolehkannya tegang.

Berdasarkan laporan Daily Mail, doktor menggunakan kulit dan tisu lengan kiri serta urat dari kaki kanannya bagi membentuk zakar tiruan tersebut sebelum mencantumkannya ke bahagian tubuh Wardle.

Lelaki berkenaan terpaksa menunggu sehingga enam minggu sebelum dia boleh bersama dengan teman wanitanya, Fedra Fabian buat pertama kali. Pasangan ini turut merancang untuk bercuti di Amsterdam.

Wardle yang juga pemilik salah sebuah syarikat penyediaan makanan dilahirkan tanpa kemaluan sebelum ini telah menjalani beberapa sesi pembedahan bagi membolehkannya membuang air dengan baik.

Disebabkan kecacatan ini dan dirinya tidak sempurna anggota seperti lelaki lain, dia telah mengalami kemurungan yang begitu teruk. Pada tahun 2012 lalu, dia pernah bertindak untuk membunuh diri sendiri dan menemui sinar harapan setelah bertemu pakar urologi, Dan Wood dari UCLH.

Pastinya sukar untuk meneruskan kehidupan seperti biasa apabila nasib diri anda kurang baik. Apa yang pasti berkat kesabaran dan sikap percaya akan berlakunya keajaiban, dua lelaki ini telah membuktikan bahawa mereka juga berpeluang merasai nikmat sebagai seorang lelaki yang sempurna.

Meskipun tidak  sama 100 peratus seperti normal, namun ia cukup memberikan kebahagiaan terhadap si pemilik kerana dapat merasai kembali kemaluan pada tubuh mereka sendiri.

Kesimpulannya, anggota intim sangat penting untuk diri sendiri dan kehidupan bersama pasangan.

Sumber: Harian Metro

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

https://my.theasianparent.comhisap-kemaluan