Siapa sangka aplikasi Facebook mampu menyemarakkan panas baran seorang suami sehingga berlaku pertengkaran serius dan bertindak di luar kawalan.
Semenjak ia wujud, kebanyakan pengguna mengatakan media sosial ini mampu memberikan pelbagai kebaikan seperti menghubungkan interaksi dengan jarak jauh, melakukan perniagaan online dan tempat luahan perasaan. Namun, adakah ia benar-benar bermanfaat dalam kehidupan berumah tangga?
Padah isteri padam aplikasi Facebook
Seorang wanita ditumbuk dan digigit suaminya sendiri hanya kerana dia bertindak memadamkan aplikasi Facebook di telefon bimbit lelaki itu di Kampung Bakau Tinggi pada Sabtu yang lalu.
Difahamkan kejadian berkenaan berlaku pada jam 6 petang yang melibatkan mangsa berusia 20 tahun. Pada mulanya dia dimarahi suspek atas tindakan melulu tersebut.
Menurut salah seorang sumber, suspek pada ketika itu gagal mengawal api kemarahannya turut bertindak menggigit leher dan dada mangsa sehingga berdarah. Dia juga menumbuk kepala mangsa sebelum meninggalkan isterinya yang mengerang kesakitan.
“Mangsa tidak tahan dengan sikap panas baran suaminya itu datang membuat laporan di Balai Polis Chukai selain mendakwa kejadian seumpama itu sememangnya kerap berlaku,” katanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian. Kes masih berada dalam siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012.
Aplikasi media sosial merisikokan hubungan suami isteri
Sedar atau tidak, penggunaan media sosial tanpa batasan boleh menyebabkan kecurangan terhadap pasangan. Antaranya aplikasi Facebook dan WhatsApp dikatakan antara faktor penyumbang kepada kadar perceraian dan kerosakan rumahtangga.
Menurut Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, penggunaan sosial media itu boleh menimbulkan keraguan pasangan yang akhirnya menjerumus kepada kes perceraian.
Ia juga dikenalpasti antara penyebab berlakunya hubungan biasa kepada hubungan ”lebih mesra” dan seterusnya menjemput orang ketiga dengan mudah sekali.
“Saya terpaksa akui aplikasi Facebook dan WhatsApp ini mampu menyebabkan berlaku salah faham suami isteri yang boleh membawa kes berlanjutan sehingga ke mahkamah. Dan ia berpotensi besar menyumbang desakan untuk pasangan berpisah,”
“Teknologi komunikasi yang dicapai hari ini jika tidak digunakan dengan cara baik, ia akan memberikan kesan sampingan terhadap para pengguna. Lebih-lebih lagi jika individu berkahwin sanggup menipu statusnya di media sosial sebagai orang bujang,” jelasnya.
Tambahnya lagi di Terengganu sahaja lebih 10 kes permohonan perceraian direkodkan sehari atas beberapa alasan dan faktor yang dikemukakan oleh setiap pasangan. Ia termasuk kes membabitkan hubungan sulit pasangan dan kegagalan dalam persefahaman.
Tips mengekalkan keharmonian rumah tangga
Pegawai Psikologi Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM), Rafidah Sadarudin berkata, meskipun tidak dinafikan impak positif penggunaan media sosial jika digunakan secara berhemah, kesan buruk terhadap hubungan suami isteri juga tidak kurang hebatnya.
Impak negatif pula muncul apabila pasangan menggunakan media sosial untuk berlaku curang atau khianat terhadap pasangan, berhasrat mencari kekasih lama mahupun berfoya-foya dengan orang ketiga.
“Ia terpulang kepada niat masing-masing dan itulah sebabnya anda perlu bijak menggunakan media sosial supaya dapat menjaga hati pasangan, tidak berlebih-lebih dengan orang lain atau terlalu obses dengan gajet yang dimiliki,” katanya.
Antara cara mengekalkan kebahagian hubungan suami isteri adalah:
#1. Sentiasa bersyukur
Dalam media sosial, semua perkongsian gambar, makanan dan gaya hidup kelihatan indah sehingga ada segelintir pengguna sanggup membandingkan kemampuan pasangannya dengan orang lain. Justeru, hentikan sikap suka membandingkan ini kerana hidup hanyalah sementara.
#2. Bertindak segera
Jika anda mula terhidu bahawa media sosial ini menjadi asbab kerenggangan hubungan bersama pasangan, buatlah sesuatu. Berbincang secara harmoni, cari jalan dan usah tunding jari.
Sekiranya berpunca daripada orang ketiga, dia bukanlah watak utama. Sebaliknya anda dan pasangan adalah hero dan heroin sebenar, usah jadikan pelakon tambahan ini sebagai watak utama pula.
Namun jika tidak berjaya, berjumpalah dengan mana-mana kaunselor atau sahabat baik yang dipercayai untuk membantu menyelesaikan kemelut rumah tangga ini.
#3. Hidup ini bukan hanya anda dan media sosial
Suami isteri disaran untuk kembali semula apa yang Allah suka dan Rasulullah sayang. Percayalah kalau anda ikut dan buat apa yang al-Quran sarankan dalam hubungan suami isteri, insya-Allah akan rumah tangga akan harmoni.
Banyak perkara yang Nabi beri contoh dalam hubungan rumah tangga misalnya cara menjaga hati pasangan supaya institusi kekeluargaan terjaga. Letakkan sepenuhnya kepercayaan pada al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup lengkap untuk diamalkan.
Sumber: Harian Metro, Astro Awani
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: