Atuk nenek masuk campur ketika ibu bapa ajar anak
Bukan nak salahkan siapa, lagipun mereka juga pernah menjaga, mengajar anak dan sangat sayang cucu mereka.
Tapi, hampir setiap kali selepas balik dari rumah atuk nenek, pasti anak lebih manja dan kadang-kala kurang berdisiplin.
Masalah ini timbul apabila atuk nenek tidak mengikut atau menyokong cara kita mengajar anak.
Lebih-lebih lagi kalau mereka suka menyampuk atau “menyelamatkan” cucu yang sedang didisiplinkan.
Ini adalah antara 10 perkara yang selalu dilakukan atuk nenek sehingga memberi cabaran kepada kita sebagai ibu bapa.
1. Langgar peraturan “jangan beri gula-gula”
Mereka memang suka manjakan cucu, setiap kali jumpa pasti belikan gula-gula, coklat, aiskrim, keropok.
Saya pasti kita juga mempunyai kenangan manis atuk nenek selitkan gula-gula apabila ibu bapa tidak tahu.
Terlalu banyak gula-gula tidak baik untuk kesihatan dan hanya akan menyebabkan anak terlampau aktif apabila balik ke rumah sendiri.
Artikel berkaitan: 6 Makanan yang Menyebabkan Anak Bodoh dan Menyekat Perkembangan
2. Anak tak perlu tidur tengahari
Setiap ibu bapa tahu betapa susahnya untuk menjaga anak apabila mereka tidak cukup tidur.
Mereka akan merengek dan membuat perangai!
Tetapi mertua atau mak dan ayah kita mungkin jarang berjumpa dengan cucu, dan senang lupa cucu mereka perlu tidur tengahari supaya tidak terlalu letih nanti.
3. Mereka rasa lucu anak kita menjawab balik
Saya paling tidak suka kalau atuk nenek ketawa selepas anak mengatakan sesuatu yang menyindir atau kurang hormat.
Mereka sepatutnya mengajar cucu untuk menghormati orang.
Mungkin sekarang mereka rasa ia kelakar dan mencuit hati … tapi jangan lupa kalau besar nanti, tak cute lagi namanya.
4. Selalu beli hadiah
Apabila atuk nenek belikan hadiah sekali-sekala ia semestinya dihargai!
Tetapi jika mereka belikan mainan setiap kali apabila ke kedai, ini bukan hanya mengajar anak untuk meminta apa sahaja pada bila-bila masa.
Ini juga tidak mengajar anak untuk bersederhana dan menghargai apa yang mereka sudah ada.
5. Apabila mereka mahu melakukan SEGALANYA
Bukannya kita tidak menghargai pertolongan mereka untuk menjaga anak.
Saya faham mereka sangat teruja mendapat cucu, terutamanya mereka yang baru naik pangkat jadi datuk dan nenek.
Tapi apabila mereka terlampau memberi pertolongan sehingga berkeras untuk melakukan segala-galanya boleh menimbulkan perasaan tidak suka.
6. Tidak menghormati jadual anda
Apabila anda meminta mereka bawa anak anda pulang ke rumah untuk makan malam, tapi mereka buat rancangan sendiri dan tidak telefon untuk memberitahu anda.
7. Berhenti tolong anda untuk menjaga anak
Merekalah penjaga yang paling boleh dipercayai dan terbaik untuk anak.
Kita harus menghargai pertolongan mereka. Tetapi jangan lupa, mereka boleh kecil hati dan berhenti menjaga anak apabila kita cuba menasihatkan mereka cara didikan yang betul.
8. Mempersoalkan cara anda mengajar anak
Anda harus bersikap terbuka untuk menerima nasihat daripada ibu bapa dan mertua tentang keibubapaan.
Tetapi apabila mereka menyampuk di depan cucu mereka, ini boleh menimbulkan masalah disiplin antara ibu bapa dengan anak.
Kalau satu melarang, tetapi yang satu lagi kata boleh, ini akan menunjukkan pada anak yang mereka tidak “sepakat”.
Jelaskan pada mereka jika ada yang tidak mengena, mereka boleh bincang dengan anda nanti.
9. Mereka menyebelahi anak anda
“Tak apa, mereka masih kanak-kanak lagi.”
Pening. Tolonglah jangan sampuk lagi. Memang ada masanya untuk menyebelahi anak, tetapi kita juga perlu mengajar mereka ada peraturan dan undang-undang yang sudah ditetapkan.
10. Biar cucu mereka buat apa sahaja
Pembentukan disiplin bermula di rumah dan dari kecil.
Adalah tanggungjawab setiap ibu bapa untuk membentuk akhlak dan disiplin anak mereka.
Atuk nenek perlu sentiasa ingat, tanpa peraturan dan struktur, anak tidak akan belajar cara kelakuan yang betul dan menguasai disiplin diri.
Sumber: WeWoman
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Berhenti Melihat Sahaja Anak-Anak Membuat Kacau – Disiplinkan Mereka!