Ayah sebagai Superhero Anak-Anak

Share this article with other mums

Kepentingan seorang ayah dalam hidup anak-anak tidak patut dipandang remeh. Ianya adalah sepenting watak seorang ibu dalam melahir dan mendewasakan anak menjadi insan yang gembira, berjaya dan berperibadi sempurna. Jom kita tengok kepentingan bapa dalam hidup manusia – ayah sebagai superhero anak-anak!

Peranan seorang ayah dalam membentuk kehidupan dan personaliti anak lelaki dan anak perempuannya adalah sangat besar. Bagi si kecil ini, ayah merupakan salah satu watak paling penting dalam hidup mereka, selain ibu.

Namun, sejauh manakah pengaruh si ayah dalam membentuk anak-anak yang membesar dengan sihat dan sempurna? Jom kita singkap peranan ayah sebagai superhero anak-anak!

Watak Ayah Adalah Sama Penting seperti Watak Ibu Dalam Hidup Anak-Anak

Kita selalu mendengar bahawa hubungan antara seorang ibu dan anaknya adalah antara yang terawal terbentuk dalam perkembangan hidup bayi dan kanak-kanak.

Namun, ia tidak sama sekali bermakna yang ayah itu tidak penting dalam melahirkan insan yang gembira dan berjaya dalam hidup.

Sejak kebelakangan ini, sains banyak mengkaji tentang hubung kait antara sifat kebapaan dengan cara hidup anak yang sedang membesar.

Kajian ini telah menunjukkan bahawa hubungan bapa dan anak yang erat dan kukuh banyak memberi kesan yang positif dalam hidup mereka!

1.    Ayah Menjadi Penggalak Untuk Anak-Anak Berjaya dalam Bidang Akademik

Kalau anda hendak tahu, seorang ayah yang banyak berkomunikasi dengan anak-anak serta mengambil tahu tentang hal sekolah, pembelajaran dan aktiviti sehari-hari mereka akan melahirkan seorang anak yang berjaya dari segi akademik.

Kajian ada menyelidik tahap pencapaian pembelajaran kanak-kanak yang mesra dengan bapa mereka dan membandingkannya dengan mereka yang tidak mendapat perhatian bapa (akibat perceraian, bapa terlalu sibuk dan sebagainya), ternyata anak yang mendapat sokongan penuh dari bapa mencapai tahap akademik yang lebih berjaya!

Source: Sgmoneymatters.com

Malah, anak perempuan yang diberi tunjuk ajar secara rapat dan menerima penglibatan aktif dari bapa mereka adalah lebih cenderung untuk menghabiskan pelajaran di kolej atau universiti dan berjaya dalam karier mereka.

Ada juga kajian yang menunjukkan anak perempuan yang rapat dengan ayah adalah lebih mahir dalam subjek matematik berbanding mereka yang tidak mempunyai hubungan mesra dengan bapa mereka.

2.    Watak Ayah Sangat Berkesan Dalam Melahirkan Anak yang Berperibadi Tinggi

Jika dibandingkan antara ibu dan ayah, si bapa lebih banyak mempengaruhi sikap dan sifat disiplin dalam diri anak mereka (lelaki mahupun perempuan).

Menurut Dr. Kyle Pruett dan Marsha Kline Pruett dalam bukunya Partnership Parenting, seorang bapa itu adalah lebih tegas dan tidak ragu-ragu untuk berdepan dengan anak mereka dan menunjukkan kuasa sebagai seorang ketua keluarga.

Ibu pula lebih lembut dan gemar menggunakan pendekatan yang lebih halus dalam menegur anak-anak, yang kadang-kala kurang berkesan untuk melahirkan rasa bersalah dan hormat dalam diri mereka.

Maka, watak seorang ayah sangat diperlukan dalam hidup anak-anak bagi melahirkan insan yang berdisiplin tinggi dan berperibadi sempurna.

Pengkaji juga menyatakan bahawa watak seorang ayah itu tidak semestinya harus dimainkan oleh bapa kandung, kadangkala ia juga boleh diterima dari seorang datuk, abang, ayah angkat atau pun ayah tiri.

3.    Ayah Sebagai Superhero Anak-Anak, Terutama Anak Perempuan

Selain daripada menghasilkan anak yang berjaya dari segi akademik dan sempurna akhlak peribadi, kehadiran seorang ayah yang rapat dengan anak-anak juga akan menghasilkan seorang anak yang berasa selamat dan dilindungi.

Bagi mereka, ayah adalah superhero dalam kehidupan mereka. Bapa menjadi tempat untuk anak bergantung dalam pelbagai aspek.

Dengan adanya kehadiran seorang ayah yang rapat, mesra dan mendidik dalam hidup mereka, anak akan membesar dengan keyakinan diri yang tinggi.

Jom kita tonton video ‘Superhero Daddy’ ini yang menunjukkan penglibatan aktif seorang ayah dalam hidup anak mereka!

https://www.facebook.com/AmazingVideosOfficial/videos/1865285107016492/

Kajian psikologi ada menunjukkan bahawa si bapa yang menunjukkan kasih sayang kepada seorang anak, terutamanya anak perempuan, akan membentuk jati diri yang positif dalam hidup mereka.

Bapa yang tidak menghiraukan anak pula akan membentuk anak perempuan yang menghadapi tekanan perasaan, bermasalah moral dan menghadapi komplikasi psikologi.

Ia turut memberi kesan kepada anak lelaki yang menjadikan mereka suka melawan dan memberontak.

4.    Kehadiran Seorang Ayah Dapat Mengajar Anak Tentang Hubungan Romantik Apabila Dewasa

Dengan adanya seorang ayah di dalam rumah di mana anak-anak membesar, mereka dapat melihat dengan sendiri hubungan antara lelaki dan wanita.

Anak lelaki akan membesar dan mencontohi bagaimana ayah mereka melayani ibunya dengan baik. Ia akan turut melahirkan lelaki dewasa yang tahu menghormati wanita dan lebih berkomitmen dalam hubungan rumah tangga.

Begitu jugalah kesan seorang ayah dalam hidup seorang anak perempuan. Mereka akan membesar dan menginginkan seorang pasangan hidup yang menyerupai sikap dan perangai ayah mereka.

Mari Jadi Seorang Ayah yang Berperanan Penting dalam Hidup Anak-Anak Kita!

Sememangnya, anak-anak sangat memerlukan kehadiran seseorang yang bersifat maskulin (baca: bapa) yang dapat menyayangi, mendidik, dan mendisiplinkan diri mereka.

Seorang ayah itu bukanlah sekadar menjadi pencari rezeki keluarga yang membiarkan 100% tanggungjawab membesarkan anak-anak di bahu ibu sahaja. Ia tidak cukup bagi melahirkan anak-anak yang gembira, berjaya dan berperibadi mulia.

Source: Parentsplace.com.mx

Anda perlu memainkan peranan yang lebih aktif dengan menghabiskan masa berkualiti dengan anak-anak (tidak kira anak lelaki mahupun anak perempuan).

Aktivit mesra seperti berjalan-jalan, bermain, bergurau, makan, dan duduk berbual bersama akan memastikan si manja anda membesar dengan baik.

Mereka dapat merasai kasih sayang yang mencukupi, bukan sahaja dari ibunya, malah dari seorang lagi watak penting, iaitu ayah – superhero dalam hidup mereka!

Bahasa Melayu Keibubapaan Parenting tips Untuk Ayah