Bagaimana Rasa Kontraksi Yang Sebenar Dengan Palsu? Ibu WAJIB Tahu Sebelum Bersalin!

Pertama kali bergelar ibu, anda mungkin terfikir bagaimana rasa kontraksi yang sebenar dengan palsu. Pelajari ilmu ini supaya mudah proses bersalin nanti!

Kebanyakan isteri dan bakal ibu yang baru pertama kali mengandung pasti akan keliru dan memikirkan bagaimana rasa kontraksi?

Memandangkan ia adalah pengalaman tidak pernah dilalui, mungkin agak sukar memahaminya dan ada segelintir ibu sanggup menahan sakit perut kerana menyangka ia hanyalah sekadar melepaskan hajat.

Di dalam artikel ini akan menceritakan tentang:

  • Bagaimana rasa kontraksi yang sebenar?
  • Cara mengesan kontraksi palsu
  • Sakit sebelum kandungan cukup bulan
  • Bila kontraksi bersalin sebenar akan berlaku

Bagaimana rasa kontraksi bersalin yang sebenar?

Ramai ibu mungkin tidak tahu bahawa bagaimana rasa kontraksi sebenar. Secara umumnya, ia terbahagi kepada beberapa jenis dan bukan semuanya berlaku pada saat anda ingin melahirkan bayi.

Berbeza dengan jenis kontraksi lain, ibu mungkin berdepan dengan kontraksi Braxton-Hicks, iaitu kontraksi palsu yang sering terjadi pada tahap awal kehamilan.

Ia merupakan salah satu bentuk latihan bagi memberikan persediaan otot rahim setelah janin mencapai tempoh matang dan seterusnya proses bersalin.

Cara mengesan kontraksi palsu

Walaupun kebanyakan wanita tidak dilanda rasa sakit yang teruk, ia mungkin menyebabkan kurang selesa dan segelintirnya mengalami gejala seperti kontraksi bersalin.

Dalam hal ini, kontraksi palsu lebih tertumpu pada bahagian abdomen. Manakala, sakit melahirkan anak sebelum due date seperti:

  • Menyerang bahagian belakang tubuh.
  • Jarang berlaku
  • Boleh berubah sekiranya berlaku perubahan kedudukan
  • Struktur serviks kekal tanpa perubahan.

Sekiranya anda mengalami masalah kontraksi palsu, ia sebenarnya disebabkan oleh faktor keletihan dan sebagainya. Justeru ibu dinasihkan melakukan beberapa langkah bagi membantu melegakan kesakitan:

  • Berehat secukupnya.
  • Tidak melakukan tugasan berat
  • Menjaga pemakanan sihat
  • Mengubah posisi semasa seperti jika anda sedang duduk, cubalah untuk berdiri atau membaringkan tubuh badan.

Dilanda kesakitan sebelum kandungan matang

Rasa sakit yang dialami akan memberikan petunjuk bahawa badan bersedia melahirkan anak dengan cara tertentu. 

Dalam hal ini, ia akan berlaku secara kerap iaitu setiap 10 hingga 12 minit bagi tempoh masa satu jam sebelum tibanya detik kelahiran bayi.

Jika sekiranya kesakitan ini terjadi sebelum kandungan cukup tempoh iaitu sebelum 37 minggu, anda mungkin berdepan kontraksi prakelahiran. Antara tandanya ialah rasa abdomen atau bahagian pinggul ditekan, sakit belakang tubuh dan kekejangan perut.

Seterusnya, 3 tanda ini terjadi berserta dengan air ketuban pecah atau pendarahan pada vagina, tanda-tanda bersalin menjadi lebih objektif. Kesannya anda mungkin berdepan risiko melahirkan bayi pramatang.

Antara faktor menyebabkan keadaan ini terjadi ialah:

  • Fizikal dan mental mengalami tekanan.
  • Berlaku jangkitan kuman
  • Kehamilan kembar
  • Tidak memperoleh pemeriksaan perubatan
  • Mempunyai pengalaman bersalin bayi pramatang.

Bila kontraksi bersalin yang sebenar?

Dalam menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga, ibu akan melalui dua proses kelahiran iaitu tahap awal dan tahap aktif. Pada mulanya, anda akan rasa kontraksi ‘manja’ dan berlaku antara 30 hingga 90 saat.

Seterusnya, ibu akan mendapati lendiran mula keluar kerana bahagian serviks sudah mula terbuka untuk memberikan laluan kepada bayi keluar melihat dunia.

Dalam hal ini, boleh dikatakan jarak antara dua kontraksi adalah agak jauh. Apabila tibanya fasa pengakhiran, sakit kontraksi boleh berlaku 5 minit sekali. Manakala pasukan perubatan akan melakukan pemeriksaan agar proses kelahiran ini berjalan dengan selamat tanpa sebarang komplikasi.

Kemudian, sakit boleh dirasai bermula belakang tubuh sehinggalah bahagian abdomen. Pada ketika ini, tahap kesakitan menjadi meningkat dan berlaku 45 hinggalah 60 saat dan jarak antara kontraksi pula adalah sekitar 3-5 minit.

Setelah bukaan faraj hampir 7 sentimeter, kekerapan merasai sakit bersalin sebenar menjadi semakin meningkat. Justeru, anda perlu mengelakkan dari menangis atau menjerit kerana perbuatan ini hanyalah sia-sia dan menghabiskan tenaga.

Sebaiknya bertenang dan mengucapkan selawat. Paling penting adalah mendengar arahan daripada doktor serta menggunakan keseluruhan tenaga untuk meneran bayi keluar dari rahim.

Setiap perjalanan kehamilan sehingga proses bersalin yang dirasai adalah berlainan setiap anak. Usahlah membandingkannya kerana ketika berada dalam labour room, anda hanya memerlukan pertolongan daripada Allah S.W.T sahaja untuk memudahkan segala proses.

Meskipun ia adalah medan pertarungan nyawa, sakit bersalin ini adalah untuk membersihkan diri wanita dari setiap dosa yang pernah dilakukan. Manakala, ibu meninggal dunia ketika proses kelahiran dianggap sebagai syahid.

Apa anda patut lakukan jika mengalami kontraksi?

Kontraksi yang hanya muncul dari semasa ke semasa kemungkinan besar adalah Braxton-Hicks. Tetapi jika ia mula datang dengan kerap, makin kuat dan berlaku selama kira-kira sejam, anda berkemungkinan akan mengalami kelahiran yang sebenar.

Apabila jaraknya kira-kira lima atau enam minit, mungkin sudah tiba masanya untuk mengambil beg anda dan menuju ke hospital.

Jika anda tidak pasti sama ada anda benar-benar sudah tiba masa untuk bersalin, hubungi doktor anda atau pergi ke hospital bersalin anda. Lebih baik mendapatkan bantuan perubatan, walaupun ia ternyata kontraksi palsu. Better safe than sorry kan?

Sangat penting untuk pergi ke hospital jika kehamilan anda kurang daripada 37 minggu, kontraksi sangat menyakitkan, atau air ketuban anda telah pecah. 

Jika air ketuban sudah pecah, dan dibiarkan terlalu lama, ia boleh menyebabkan jangkitan pada kandungan anda! Jadi jangan berlengah ya ibu-ibu.

Semoga artikel ini bermanfaat.

Kredit foto: Google

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Keliru Dengan Sakit Bersalin, Bila Sepatutnya Anda Perlu Meneran Bayi Keluar?