7 Bahasa Tubuh Bayi Setiap Ibu Perlu Tahu, Dia Cuba Ujarkan Sesuatu Tau!

Siapa sangka, di sebalik 7 bahasa tubuh bayi ini, ada benda yang ingin dicakap oleh si manja anda itu. Jom lihat apa yang bayi nak cakap sebenarnya ini...

Ibu bapa mana yang tak excited mempelajari bahasa tubuh bayi bila sudah ada anak, kan? Sambil kita lihat anak membesar, kadang-kadang kita pun tertanya-tanya, apa yang difikirkan si comel kita ini.

Apa yang dia rasa setiap kali dia menangis, ketawa mahupun terdiam, kan? Sebenarnya, ibu bapa boleh tahu apa yang diingini ataupun dirasai oleh bayi hanya melalui bahasa tubuh bayi.

Menurut Psychology Today, melalui bahasa tubuh bayi ini, anak anda dalam “diam” ingin mencakapkan sesuatu pada anda.

Jadi ibu bapa — jom kita semak dan fahami apa yang mereka nak cakap pada kita!

7 bahasa tubuh bayi – apa yang dia nak sebenarnya?

#1 Mengalihkan pandangannya

Pernah tak ibu cuba nak tarik perhatian anak, tapi dia tak mahu lihat apa yang anda buat? 

Malah kalau dia lihat pun, sekejap saja. Selepas itu, dia akan mengalihkan pandangannya. Kenapa ya? 

Maksud bahasa tubuh bayi ini: Sebenarnya, si manja anda itu nak cakap yang dia tidak tertarik untuk melakukan aktiviti yang ibu mahu dia buat itu. Malah, mungkin aktiviti itu tidak selesa untuk dirinya!

Apa yang ibu boleh buat ialah dengan memberi anak anda masa. Biar dia fokus pada benda yang menarik perhatiannya dulu. 

#2 Menutup mata

Ibu bapa mesti selalu tengok anak asyik menutup mata dan kadang-kala menguap, kan?

Maksud bahasa tubuh bayi ini: Ya, ia memang bermaksud bayi mengantuk. Tapi ia juga mungkin bermaksud bayi kebosanan dan memilih untuk tidur. 

Lagipun, ibu-ibu kena faham yang anak kecil memang memerlukan waktu tidur yang banyak. Jadi sebab itu dia asyik mengantuk dan nak berehat.

#3 Menarik telinga

Bayi menarik-narik telinganya mungkin sangat jarang dilihat ibu, tapi ia memang dilakukan si comel anda itu.

Maksud bahasa tubuh bayi ini: Menariknya, bahasa tubuh bayi ini melambangkan bayi ingin bercakap dia risau, keliru atau marah akan sesuatu. 

Contohnya jika anda bagi bayi minum dalam botol susu, tiba-tiba dia menarik-narik telinganya. Itu petanda bayi anda keliru kenapa air minumannya terlampau panas, sejuk atau mengapa ia rasa lain.

Comel saja, kan?

#4 Menarik-narik rambut

Tahukah anda yang si manja anda itu sekarang sudah pandai melihat persekitarannya malah dia sedar tentang keadaan dirinya?

Sebab itu dia suka meraba-raba bahagian tubuh badannya. Contoh seperti rambut. Suka sangat dia pegang rambutnya kan!

Tapi sebenarnya ada maksud di sebalik bahasa tubuh bayi itu. Sebenarnya, bayi menarik-narik rambutnya kerana dia ingin mengatakan yang dia resah. 

Maksud bahasa tubuh bayi ini: Gerakan itu melambangkan bayi ingin “melarikan diri” dari rasa resah yang dia sedang rasa.

Apa yang ibu boleh buat? Cuba tenangkan bayi dengan sentuhan fizikal seperti membelai rambutnya, memeluk si manja atau menyanyi dengan lembut untuknya.

#5 Bayi genggam tapak tangan

Selain menyentuh bahagian badannya sendiri, anda pasti pernah lihat bayi menggenggam tapak tangannya, kan? 

Lebih-lebih lagi selepas mandi. Apa maksud bahasa tubuh bayi ini?

Maksud bahasa tubuh bayi ini: Bayi anda itu kesejukan. Sebab itu dia menggenggam erat tapak tangannya. Ibu dinasihatkan untuk beri sedikit kehangatan pada anak.

Balut tubuh anak dengan tuala, selimut atau pakaikan baju yang lebih panas.

#6 Menggerakkan kaki seakan nak menendang

Si manja anda itu juga sekarang sudah pandai memanfaatkan anggota badannya dengan aktif. Contohnya dia sering menggerakkan kakinya seakan nak menendang, kan?

Maksud bahasa tubuh bayi ini: Ini bermaksud bayi anda ingin meluahkan perasaannya yang meluap. Sama ada dia gembira atau marah. 

#7 Mendepakan tangan mereka

Salah satu bahasa tubuh bayi yang selalu dilakukan mereka ialah dengan mendepakan tangan mereka seolah-olah mahu didukung.

Sebenarnya, bahasa tubuh ini memang bermaksud mereka ingin didukung pun! Mereka mahu dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain. 

Malah, ia juga mungkin bermaksud bayi anda terlampau gembira. Jadi, ibu kenalah melayan dia lagi 😛

Ha…. sekarang anda sudah tahu apa yang anak anda mahukan dari bahasa tubuhnya, bolehlah anda berkomunikasi dengan lebih berkesan bersama si manja. 

Semoga perkongsian ini bermanfaat! Jom share dengan husband penemuan anda ini 🙂 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 5 Kesilapan Dalam Mengatur Waktu Bayi Yang Ibu Ayah Selalu Buat, Patutlah Anda Tak Cukup Tidur

Baca juga: Anak Suka Menjerit? Jangan Terus Melenting Ya Ibu Ayah, Ini Penjelasannya

Baca juga: Bonding Dengan Anak Penting Untuk Perkembangan Mereka, Ini Perbezaan Bonding Dengan Ibu & Ayah

Penulis

Ayu Idris