Ketika berbadan dua, banyak perkara yang perlu ibu berhati-hati kerana ada pantang larangnya sendiri. Selain tidak boleh menyimpul tuala di atas kepala dan memukul binatang, ada juga mengatakan bahawa bahaya mandi malam bagi ibu mengandung boleh menyebabkan tumpah darah.
Namun begitu, adakah ia benar? Pantang larang sewaktu mengandung dalam masyarakat Melayu sebenarnya sangat banyak sehingga membuatkan ramai ibu keliru dan risau untuk menempuhi kehidupan seharian.
Bahaya mandi malam bagi ibu hamil
Menerusi perkongsian oleh doktor sakit puan, Muhammad Izzat di akaun Facebooknya, beliau menerangkan tentang mitos ibu hamil tidak boleh mandi malam kerana boleh menyebabkan air ketuban banyak.
Ia sebenarnya adalah salah dari segi perubatan. Mitos sebegini secara tidak langsungnya telah diwarisi kepada generasi-generasi akan datang tanpa merujuk sendiri kepada sumber yang sahih.
Air ketuban/ mentuban yang banyak dipanggil sebagai polyhydramnios. Air ketuban sikit dipanggil sebagai oligohydramnios. Jika tiada langsung air ketuban, ia dipanggil sebagai anhydramnios.
Air ketuban ini datangnya dari air kencing bayi dan dari placenta (uri) serta sedikit komponen datang dari kulit bayi sendiri. Air ketuban/mentuban sentiasa dalam keadaan seimbang iaitu ia akan diminum oleh bayi dalam kandungan.
Ibaratnya bayi menghasilkan air mentuban sendiri dan akan meminum air tersebut.
Tak susah pun nak faham konsepnya. Apa jua keadaan yang menyebabkan bayi ini kencing banyak atau apa juga keadaan yang menyebabkan bayi tidak boleh menelan air ketuban ini semula akan menyebabkan ia menjadi lebih banyak dari biasa.
Berikut antara punca air ketuban/ mentuban boleh menjadi banyak sewaktu anda mengandung:
#1. Ibu ada masalah kencing manis
Apabila disahkan ada kencing manis, paras gula dalam badan ibu menjadi tinggi. Gula tinggi ini dipindahkan kepada bayi melalui tali pusat. Selain itu, ia boleh menyebabkan bayi terkencing dengan banyak dan sekaligus air ketuban jadi bertambah.
#2. Bayi mengalami kecacatan
Bukan itu sahaja, sekiranya bayi ada kecacatan pada bahagian saraf, kepala atau salur pencernaan, ia menyebabkan air ketuban tidak boleh ditelan dan menjadi banyak.
#3. Bayi ada masalah genetik
Bayi yang ada masalah genetik seperti sindrom down atau sindrom edward ada kaitan dengan ketidaknormalan pada sistem pencernaan. Air ketuban tidak boleh ditelan dan menyebabkan ia menjadi banyak.
Justeru, semua perkara yang berlaku ini adalah melibatkan bayi itu sendiri dan keadaan di dalam rahim. Ia langsung tiada kaitan dengan apa yang ibu makan, apa ibu minum atau disebabkan oleh bahaya mandi malam.
Air mandian tidak boleh meresap dari kulit ataupun ada laluan rahsia untuk sampai terus ke rahim sehingga menyebabkan air ketuban menjadi banyak secara tiba-tiba.
Waktu yang dilarang mandi dalam agama Islam
Islam amat menitikberatkan tentang kebersihan dan ia merupakan sebahagian daripada iman. Mandi adalah salah satu cara untuk membersihkan diri daripada sebarang kekotoran atau najis.
Sebenarnya kita boleh mandi pada bila-bila masa sahaja yang kita mahu. Namun terdapat beberapa pendapat dalam kalangan ahli ilmu tentang makruh mandi ketika matahari hampir terbenam dan antara dua isyak (antara maghrib dan Isyak).
Perkara ini dinyatakan dalam kitab Mughni al-Muhtaj:
”Dan adalah makruh memasukinya (tandas) ketika matahari hampir terbenam dan di antara dua isyak (antara maghrib dan isyak) kerana pada waktu ini syaitan berkeliaran.”
Sekalipun tiada larangan berkenaan, jangan sesekali kita mengabikan nukilan ilmuan seperti yang dinyatakan di atas.
Bagi ibu mengandung, perubahan hormon yang berlaku menyebabkan anda berasa cepat panas dan berpeluh. Dengan mandi malam ini sebenarnya memudahkan anda untuk tidur lebih lena dan mengurangkan rasa tertekan.
Menurut penelitian, mandi air suam berupaya melancarkan peredaran darah dalam tubuh. Suhu yang sesuai untuk anda mandi adalah tidak melebihi 40 darjah celsius.
Sumber: Muhammad Izzat, Sinar Harian
Kredit foto: google images
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 7 Tips Memilih Baju Untuk Ibu Mengandung, Yang Penting Selesa & Nampak Cantik!