Kebanyakan manusia mengetahui akan bahaya petir dan yakin bahawa duduk di dalam rumah memberikan perlindungan yang benar-benar selamat. Sebab itulah ada yang melayan lagu ketika hujan, ada juga bercakap telefon dan melayari sosial media sementara menunggu hujan berhenti.
Sedar ataupun tidak, anda sebenarnya membahayakan diri sendiri dan anak apabila membiarkan sahaja mereka ‘khusyuk’ bermain telefon pintar ketika hujan turun dengan lebat.
Baca juga: Ada Hikmahnya Bila Kena Duduk Di Rumah, Inilah Masa Untuk Ibu Kenalpasti Potensi Anak
Bahaya petir sehingga boleh meragut nyawa
Semalam telah dilaporkan satu kes kematian melibatkan mangsa seorang remaja yang telah maut akibat disambar petir ketika dia leka melayan permainan secara atas talian bersama rakan-rakan di sebuah warung ketika hujan lebat di Jawa Tengah.
Difahamkan mangsa pada awalnya memaklumkan kepada ibu bapa yang dia mahu keluar bertemu rakan-rakannya di sebuah warung berdekatan kampung. Mereka meluangkan masa bermain permainan atas talian di telefon masing-masing ketika hujan lebat, namun telefon milik mangsa sedang dicaj.
Tiba-tiba terdengar satu panahan petir dan rakan-rakannya melihat mangsa terkena panahan tersebut sehingga terpelanting dari tempat duduknya. Mangsa dilaporkan maut dan terdapat luka terbakar pada tubuhnya.
Tips keselamatan di rumah ketika hujan lebat atau petir
Berdasarkan kajian MetMalaysia, terdapat kira-kira 16 juta ribut petir berlaku setiap tahun di seluruh dunia. Di Malaysia bagi tempoh 10 tahun ini iaitu 2008 hingga Ogos 2019, sebanyak 132 kes kematian telah direkodkan akibat panahan kilat ini.
Antara langkah keselamatan bagi mengelakkan diri akan bahaya petir ialah:
#1. Perhatikan pokok-pokok di sekitar rumah
Seperti yang dijelaskan oleh National Oceanic and Atmospheric Administration NOAA, pokok boleh menjadi penyebab utama serangan kilat ke dalam rumah. Kesan panahan ini boleh menyebabkan pokok tumbang secara terus dan menghempap bahagian kediaman anda.
Justeru, adalah lebih baik memotong pokok di sekitar rumah apabila ketinggiannya sudah melebihi rumah anda.
#2. Tutup semua peralatan elektronik
Ketika hujung tahun, negara kita mengalami peralihan angin monsun yang menyebabkan sering berlakunya hujan lebat terutamanya di kawasan pantai timur. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh NOAA, cara seterusnya untuk menangani rumah disambar petir ialah dengan mematikan peralatan elektronik di rumah sementara waktu.
Sekiranya anda melihat keadaan hujan semakin lebat dan tidak ada tanda-tanda untuk berhenti, segera mematikan peranti elektronik seperti televisyen, komputer riba, telefon yang sedang dicaj ataupun barangan lain.
Langkah ini sangat penting untuk dilakukan kerana alat elektrik dapat menarik kilat untuk menyerang rumah dan membahayakan penghuninya.
#3. Pastikan pemasangan elektrik yang selamat
Selain itu, hal yang perlu ibu ayah pertimbangkan ialah memastikan pemasangan elektrik di rumah tidak mempunyai sebarang masalah. Caranya adalah dengan membuat pemeriksaan sekiranya terdapat kabel yang sudah terbuka atau menggelupas, masalah litar pintas sehingga boleh menyebabkan berlakunya panahan kilat di rumah.
Adalah lebih baik sekiranya pemasangan elektrik ini sentiasa diperiksa secara berkala dan dibaiki agar ia tidak mendatangkan bahaya pada kemudian hari.
#4. Pasang pelindung kilat di rumah
Cara paling berkesan dan sering digalakkan ialah memasang sesuatu yang boleh menghalang serangan kilat. Kebiasaannya, sesetengah pemilik rumah akan memasang batang kilat di bahagian bumbung rumah.
Sebenarnya ini sangat wajib dilakukan terutamanya bagi mereka yang tinggal di kediaman kawasan tinggi atau rumah dua tingkat. Fungsi batang kilat dalaman atau luaran dapat mencegah bahaya petir dengan berkesan.
#5. Elak mandi menggunakan shower heater
Kebiasaannya ketika musim hujan, anda mungkin berasa sejuk dan memilih untuk mandi menggunakan air suam. Walau bagaimanapun alatan ini turut mempunyai risiko bahaya kerana baru-baru ini telah berlakunya kes terkena renjatan elektrik sehingga mengorbankan nyawa pengguna.
Selain itu jika rumah anda telah disambar kilat ketika anda sedang menikmati waktu mandi menggunakan shower heater ini, ia meletakkan diri anda atau anak dalam bahaya. Ini kerana voltan yang terhasil daripada ribut petir mampu mengalir melalui saluran paip air.
Rancangan Myhtbuster pernah melakukan eksperimen tentang perkara ini. Sebagai akibatnya, alatan shower heater yang digunakan telah meletup dan terbakar dengan cepat.
Sumber: Siakap keli, 99blog
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia