Setiap wanita hamil pastinya akan mengharapkan untuk melalui proses kelahiran secara normal. Walau bagaimanapun atas sebab-sebab tertentu, anda terpaksa memilih bersalin caesarean bagi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi. Setelah berjaya melahirkan, anda tentu berasa takut untuk bergerak dan bangun dari tidur.
Tidak dinafikan pembedahan czer ini adalah pembedahan major. Kesan kesakitan yang dirasai membuatkan kebanyakan ibu tidak mampu melakukan apa-apa dengan sendiri.
Baca juga: Pakar Kongsi Waktu Yang SELAMAT Untuk Hamil Lagi Setelah Caesar, Ibu Sila Take Note!
Cara bangun dari tidur dan katil dengan betul selepas bersalin caesar
Mana tidaknya, apabila bergerak sedikit sahaja untuk turun dari katil memerlukan anda lebih berhati-hati dan memegang sesuatu. Mana kala, part yang paling seksa sekali mungkin ketika batuk atau ketawa.
Ia boleh menyebabkan rasa sakit akibat kesan luka jahitan pada bahagian yang dibelah. Justeru, apakah yang perlu ibu lakukan ketika bangun dari tidur atau katil selepas bersalin secara pembedahan ini?
#1. Elakkan dari mengangkat kepala
Selepas 6 jam pembedahan, ibu tidak dibenarkan untuk mengangkat bahagian kepala. Hal ini disebabkan oleh ubat bius (sekiranya diberikan bius separuh) masih ada dalam tubuh.
Jika perlu angkat juga, ia boleh menyebabkan risiko sakit kepala. Ada sesetengah kes, gejala ini berlaku secara berkekalan. Justeru, kami mencadangkan anda untuk mengangkat kepala paling tinggi pun, hanyalah setinggi bantal sahaja.
#2. Jangan takut untuk bergerak
Ibu perlu memaksa diri untuk bangun dari katil dalam tempoh 24 jam selepas pembedahan. Hal ini kerana lagi cepat anda bangun dan boleh bergerak, lagi cepatlah petugas perubatan memberi kebenaran pulang serta tanggalkan tiub kencing.
#3. Makan selepas bersalin
Ibu boleh minum air kosong dengan menggunakan straw (bagi memastikan kepala tidak terangkat), kecuali bius penuh. Sekiranya gejala seperti mual dan muntah-muntah tidak berlaku, anda boleh minum air milo ataupun soya.
Jika perut berasa sangat lapar, anda boleh ambil dahulu makanan-makanan ringan memandangkan sudah hampir 1 hari berpuasa, kan?
#4. Kedudukan tubuh ketika ingin bangun
Apabila anda cuba untuk bangun, pastikan mengiring ke sisi kanan atau kiri dan gunakan lengan bagi menolak tubuh sehingga berada dalam posisi duduk. Pastikan anda memberi sokongan pada bahagian perut dengan menggunakan bantal kecil atau tuala.
Sekiranya mampu, dapatkan abdominal binder (sejenis bengkung) untuk keselesaan ibu dalam pantang, menyokong luka pembedahan dengan baik dan memudahkan anda bangun dari katil tanpa bergantung sepenuhnya pada kedua-dua tangan.
#5. Menjatuhkan kaki secara perlahan-lahan
Setelah melakukan perkara di atas, ibu perlu bersedia untuk menjatuhkan kaki ke bawah katil. Gunakan kekuatan tangan dengan perlahan-lahan dan bangun sehingga anda berada dalam posisi duduk.
Kemudian stabilkan diri dan cuba bernafas dengan baik. Tunggu sekejap dalam 3 hingga 5 minit, jika tiada gejala pening atau hendak pitam, bangunlah perlahan-lahan dan berdiri untuk memulakan langkah.
Jalan perlahan-lahan dengan badan ditegakkan. Pada mulanya memang berasa agak sakit, namun anda perlu lakukannya perlahan-lahan mengikut kemampuan diri.
Apabila sudah rasa yakin untuk ke tandas, ibu boleh minta jururawat yang bertugas untuk buang tiub kencing. Pastikan anda mencuci vagina menggunakan air suam, jika air sejuk mungkin boleh membuatkan bahagian luka bersalin bertambah ngilu.
Sekiranya ibu sudah boleh buang air sendiri, barulah doktor akan beri kebenaran untuk anda pulang ke rumah bersama bayi.
Kesimpulannya, bersalin secara pembedahan memerlukan tempoh berpantang yang agak lama berbanding kelahiran normal. Anda juga perlu mengelakkan dari mengangkat berat melebihi berat bayi, memanjat tangga atau terlalu lasak.
Pastikan anda menjaga pemakanan seharian agar luka bersalin segera sembuh secara luaran dan dalaman. Paling penting adalah melakukan senaman bagi meningkatkan proses peredaran darah dan penyembuhan.
Untuk beberapa minggu pertama selepas caesarean, jangan terlalu kerap bangun selepas berbaring. Minta bantuan suami atau keluarga sekiranya anda ingin melakukan sesuatu.
Selain itu, pastikan anda mendapatkan cara dan posisi tidur yang paling selesa agar memperoleh rehat mencukupi. Kesihatan emosi paling utama dalam proses memulihkan fizikal selepas bersalin.
Sumber: Syokcariduit
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia