Ibu bapa mesti tertanya-tanya bila waktu yang sesuai untuk bayi anda menggunakan bantal atau selimut untuk tidur. Sekiranya anda baru sahaja mendapat bayi comel, kami pasti anda sedang mencari-cari jawapan apa bantal yang bagus untuk bayi.
Salah satu perkara yang mungkin bermain di fikiran anda adalah adakah selimut ataupun bantal ini selamat untuk anak anda? Ini kerana para ibu dan bapa pasti telah didedahkan tentang bahaya yang akan menimpa kepada bayi anda dengan penggunaan selimut atau bantal.
Sekiranya anda mempunyai bayi yang baru sahaja dilahirkan atau bayi berumur kurang daripada dua tahun, kami akan membantu anda menjawab persoalan-persoalan ini.
Bila waktu sesuai untuk bayi menggunakan bantal ataupun selimut? Dan apa bantal yang bagus untuk bayi?
Sebagai orang dewasa, kita pasti tidak berasa selesa sekiranya kita tidur tanpa beralaskan bantal ataupun selimut untuk menyelimuti kita dikala kedinginan.
Tetapi berlainan dengan bayi kecil.
Walaupun anda lihat anak anda kelihatan seperti tidak selesa sewaktu tidur di atas tilam tetapi anak anda tidak sebenarnya memerlukan bantal atau selimut langsung. Cukuplah kalau anak anda menggunakan tilam sahaja dengan alas ketat yang selesa untuk tidur.
Anda boleh beri bantal atau selimut kepada anak anda tetapi anda harus tunggu sehingga anak anda berusia dua tahun ya ibu bapa! Ataupun apabila anak anda sudah membesar sedikit dan tidak lagi tidur di dalam crib. Pada masa inilah anak anda akan mula ada bantal busuk. Dan ketika ini anda boleh cari bantal yang bagus untuk bayi.
Begitu juga dengan penggunaan selimut bayi. Walaupun selimut merupakan salah satu hadiah yang anda diterima untuk bayi, tetapi anda tidak boleh menggunakannya lagi sehinggalah anak anda besar sedikit.
Mengapa bantal dan selimut tidak boleh digunakan oleh bayi?
Terdapat risiko bahaya yang wujud apabila ibu memberi bantal dan selimut kepada bayi.
Bantal, selimut ataupun yang seumpama dengannya adalah tidak selamat untuk digunakan oleh bayi. Ini kerana penggunaan barangan tersebut boleh menyebabkan bayi anda berkemungkinan lemas dan tercekik.
SIDs ataupun Sudden Infant Death Syndrome dalam kalangan bayi boleh berpunca daripada penggunaan bantal dan selimut akibat lemas.
Sebagai contoh, penggunaan bantal. Tangan anak anda mungkin cukup kuat untuk bermain-main dengan bantal tersebut tetapi sekiranya anda terlepas pandang, bayi anda mungkin lemas apabila bantal tersebut terjatuh di atas muka mereka. Puncanya adalah anak anda tidak mampu untuk mengangkat bantal tersebut menggunakan tangan mereka.
Walaupun bantal dan selimut kelihatan seperti tidak bahaya tetapi awas, ibu bapa!
Anda harus sentiasa mengawasi anak anda dan ianya lebih baik sekiranya anda tidak menggunakan langsung bantal dan selimut.
“Bagaimana kalau saya berkongsi selimut dengan anak saya atau tidur sebelah bayi saya?”
Alahai, seronoknya bila anak tidur di sebelah bersama-sama anda di atas katil lagi-lagi apabila si kecil selesai mendapat susu badan.
Walaupun seronok tetapi anda juga kena ingat ya ibu kerana bayi anda masih lagi kecil dan berisiko untuk lemas atau tercekik sewaktu anda berkongsi selimut dengannya. Sekiranya anda tersilap langkah atau tidak berjaga-jaga sewaktu tidur, boleh lemas anak anda dibuatnya.
Sesuatu yang cukup ditakuti sekiranya terjadi ialah jika bayi anda lemas disebabkan anda terhempapnya atau apabila berat badan anda menghalangnya untuk mendapat udara. Lebih baik janganlah ya, ibu bapa!
Bantal yang bagus untuk bayi apabila membesar
Setelah anak anda berumur 2 tahun dan ke atas, anda bolehlah memilih jenis bantal yang selesa untuk anak anda.
- Jangan beri bantal anda. Sebaiknya belilah bantal baru yang sesuai untuk anak anda.
- Pastikan bantal tersebut bersaiz kecil, rata, keras dan tidak terlalu tinggi untuk mengurangkan risiko SIDs. Jangan ambil yang lembut.
- Pilih bantal yang menggunakan 100% poliester polyfil untuk mengelakkan risiko alahan kepada bayi anda.
Anak kesejukan di waktu malam tanpa selimut? Guna cara ini!
Risaukan anak kesejukan sewaktu tidur malam? Anda tidak perlu pun menggunakan selimut sebenarnya. Sebaliknya anda boleh memakaikan bayi anda dengan blanket sleeper yang boleh dipakai. Atau pilihan lain yang anda boleh gunakan adalah penggunaan sleep sack.
Jangan pula anda pakaikan lagi anak anda selimut selepas memakaikan anak anda dengan blanket sleeper. Dikhuatiri anak anda akan lemas disebabkan suhu yang terlampau panas. Dengan cuaca Malaysia yang lembab dan panas tidak menentu ini, lebih baiklah anda tidak menggunakan selimut atau yang seumpama dengannya.
Suhu yang terlampau panas juga boleh menjadi satu punca berlakunya SIDs dalam kalangan bayi. Malah, sewaktu anak anda tidur, pastikan anda tidak meletakkan apa-apa barang yang dikhuatiri akan mengganggu tidur bayi anda.
Penggunaan bantal dan selimut adalah sangat tidak digalakkan dalam kalangan bayi. Walaupun terdapat bantal serta selimut khas yang dicipta untuk bayi khususnya bagi mengelakkan bayi lemas tetapi keburukan penggunaannya lebih banyak berbanding daripada kelebihan.
Ibu bapa disarankan agar sentiasa membaca info-info penting mengenai perkara ini dan sentiasa mencari ilmu untuk memudahkan anda mengetahui kesan dan risiko yang akan berlaku.
Sumber: Eratuku
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca lagi: 4 BAHAYA Yang Boleh Terjadi Jika Bayi Anda Tidur Tanpa Bantal