Memiliki bantal busuk bukanlah perkara pelik bagi kanak-kanak malah ada orang dewasa juga yang memilikinya. Tapi jangan tak tahu ya, jika bantal busuk anak kotor ia boleh mendatangkan masalah kepada anda.
Tetapi menurut ePsikologi, tabiat kanak-kanak yang tidak mahu berenggang dengan bantal busuk ini dipanggil clinging behavior atau tingkah laku yang bergantung kepada sesuatu benda dan tidak mahu berenggang dengannya.
Sebenarnya ia tidak terhad kepada bantal atau anak patung saja, sesetengah kanak-kanak menjadikan kain atau selimut tertentu, sapu tangan atau kain lampin sebagai objek selesa mereka.
Bantal busuk anak kotor jadi punca bakteria berkumpul
Jangan tak tahu ya ibu, bantal busuk anak ini adalah tempat berkumpulnya pelbagai bakteria yang boleh mengakibatkan anak sakit.
Menurut doktor kanak-kanak, Dr Redza Zainol dalam perkongsian di laman Facebooknya, bantal busuk kanak-kanak yang tidak dibasuh bakal memudaratkan kesihatan anak.
Berikut adalah perkongsian doktor berkenaan
“Pernah basuh bantal ni?” saya tunjuk pada bantal yang si kecil tengah peluk.
Maknya geleng saja.
Warna bantal tu coklat dan bercapuk. Boleh jadi dah bertahun tak dibasuh. Tak berani saya nak datang dekat, takut tak lalu nak makan malam pula.
Kalau macam ni gayanya, patutlah anaknya asyik masuk ke wad sebab demam dan batuk. Bantal tu dah jadi sarang bakteria.
Selalu juga saya nasihat mak ayah, tak salah nak ada bantal atau selimut busuk. Cuma kenalah basuh selalu.
Anak masuk wad selalu, demam, batuk
Doktor itu menjelaskan, tanpa ibu bapa sedar, bantal busuk ini mungkin punca anak selalu demam, masuk wad, selesema atau batuk.
Mana tidaknya, ia adalah punca bakteria berkumpul.
Beliau menjelaskan, bantal busuk selalunya mula ada sejak usia anak 8 hingga 12 bulan yang mana ia sepatutnya hanya bersifat sementara.
Kanak-kanak sepatutnya boleh mula berenggang dengan bantal busuk pada usia 2 hingga 5 tahun.
Anak yang rindu ibu bapa cenderung ada bantal busuk
Menurut Dr Redza, bila anak asyik berjauhan dengan ibu dan bapa, si kecil tu sebenarnya rasa tak selesa dan gelisah.
Bukan itu saja, dia juga akan rasa tertekan bila dijaga oleh penjaga baru selama beberapa jam setiap hari di tempat baru.
Ada satu kajian dibuat, si kecil usia tiga tahun yang diletakkan di rumah pengasuh selama seharian akan cenderung untuk ada bantal atau selimut atau patung busuk berbanding mereka yang cuma pergi selama separuh hari.
Katanya bantal busuk ni sebenarnya mereka gunakan untuk kurangkan rasa tak selamat bila asyik berjauhan dari mak dan ayah. Bila dapat peluk dan pegang bantal busuk, terus rasa tenang, selesa dan selamat.
5 cara pisahkan anak dengan bantal busuk
Menurut Dr Redza lagi, anak berumur lima tahun dan masih tak boleh berpisah dengan bantal atau patung atau selimut busuk, boleh cuba lima cara ni:
#1. Peluklah anak dan beri perhatian setiap hari
Ini supaya anak tak bergantung kepada bantal busuk sahaja untuk dapat ketenangan. Anak yang sunyi akan lebih cenderung bergantung kepada bantal busuknya yang mungkin sebagai penenang ketika rindu.
#2. Tetapkan had
Contoh:
“Harini kita tinggalkan Teddy kt rumah ye, kalau bawak keluar nanti Teddy kotor..”
#3. Minta anak tolong jaga bantal busuknya
Contoh:
“Teddy pon kena mandi barulah wangi macam adik..”
#4. Jangan melekehkan bantal busuk anak
Kadang-kala kita tak sedar selalu ‘mengata’ bantal busuk anak sedangkan ia adalah barang istimewa untuk anak. Jadi buang tabiat tu ya mungkin boleh buat anak sedih.
#5. Jangan paksa anak tinggalkan bantal busuknya jika dia belum bersedia
Jangan terburu-buru. Jika anak masih belum bersedia buat secara perlahan-lahan hingga anak tinggalkan bantal busuknya dengan rela hati.
Bantal busuk anak boleh jadi teman komunikasi
Ada juga sesetengah kanak-kanak berbual dengan bantal atau anak patung kesayangan mereka.
Ini merupakan satu cara untuk mereka berkomunikasi dan ia dipanggil teman imaginasi atau imaginary friends.
Sebenarnya mereka mahukan seseorang untuk meluahkan perasaan, namun disebabkan kesibukan ibu bapa atau pengasuh, luahan itu terpaksa disalurkan kepada teman imaginasinya itu.
Ibu bapa tidak perlu terlalu risau dengan tabiat mengendong bantal atau anak patung ini kerana ia bersifat sementara. Ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengelakkan tabiat ini daripada berterusan dengan cuba memisahkan anak dengan rakan karib mereka ini secara perlahan-lahan.
Masa yang terbaik untuk memisahkan kanak-kanak ini adalah ketika umur mereka mencecah 3 tahun. Sebaliknya jika dibiarkan, perlakuan ini mungkin akan berterusan sehingga mereka dewasa.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Sumber: Dr Redza Zainol, ePsikologi
Baca juga:
Bantal Busuk Lama Sangat Tak Basuh Sampai Naik Cendawan! Ini Cara Jaga Bantal Dengan Betul
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!