Boleh Meroyan Sebab Basuh Rambut Masa Pantang? Ada Yang Sampai Tak Cuci Sebulan!

Betul ke kalau basuh rambut ketika berpantang, anda boleh sakit urat dan meroyan? Ada yang sampai tak basuh rambut selama sebulan kerana takut!

Menjadi seorang ibu banyak pantang larangnya, kan? Bukan sahaja semasa hamil, malah semasa haid dan selepas bersalin pun masih ada banyak perkara yang terbatas contohnya jangan makan makanan tertentu, jalan duduk cara tertentu dan pastinya jangan basuh rambut ketika berpantang!

Malah di komuniti theAsianparent juga ramai yang bertanyakan berkenaan perkara ini.

Kami pasti ramai ibu yang teragak-agak dengan pantang-larang berkenaan basuh rambut ini, sebab ada risiko meroyan. Malah, ada yang tidak membolehkan ibu selepas bersalin untuk mandi sebab takut nanti sakit urat atau badan boleh jadi semakin lemah!

Tak Boleh Basuh Rambut Selepas Berpantang

Anggapan pertama si ibu bila dengar pantang larang ini pastinya terkejut dan tertanya-tanya kenapa pula tak boleh basuh rambut? Bukankah selepas bersalin, ibu pasti berpeluh dan perlu bersihkan diri dari bau darah, apatah lagi untuk melakukannya sepanjang tempoh berpantang?

Sanggup ke?

Jangan risau ya ibu. Kalau ibu rasa rimas dan tidak selesa dengan rambut yang pastinya berminyak setelah berhari-hari tidak basuh, ibu boleh saja cuci rambut semasa berpantang!

Lagipun kita wajib menjaga kebersihan diri dan bukannya membiarkan diri tidak terurus hanya kerana pantang yang tidak diketahui penjelasannya.

Hakikatnya, kebanyakan pantang-larang ini hanya pendapat orang lama sahaja. Kalau nak diikutkan, tiada pendapat saintifik pun yang menyokong penyataan basuh rambut ketika berpantang boleh menyebabkan meroyan.

Basuh Rambut Semasa Berpantang Bukan Sebab Meroyan

Ada beberapa sebab royan boleh berlaku, ada kalanya, perkara-perkara harian biasa sahaja boleh terasa terlalu membebankan atau masalah hormon yang masih belum stabil. Berikut merupakan beberapa sebab berlakunya gila meroyan:

  • Kemurungan atau masalah sakit mental terdahulu, atau kemurungan semasa kehamilan.
  • Bayi yang kerap menangis.
  • Ibu yang mengalami masalah untuk menyusu badan.
  • Suami yang kurang menyokong, atau tidak mempunyai keluarga atau rakan-rakan yang tinggal berdekatan.
  • Masalah kewangan, perumahan, kerja atau perhubungan keluarga.
  • Pengalaman bersalin dan masalah kesihatan yang menyusul selepas itu.
  • Bayi yang dilahirkan pramatang atau tidak sihat misalnya demam kuning.
  • Sakit akibat jahitan episiotomi.
  • Ingatan atau terfikir perkara sedih seperti kematian salah seorang daripada ibubapa atau suami yang menimbulkan masalah.

Kalau diikutkan, perkara-perkara di atas lebih memungkin berlakunya meroyan selepas bersalin. Jadi alasan basuh rambut selepas berpantang boleh menyebabkan royan sebenarnya tidak logik dan hanya membuatkan proses berpantang ibu tidak selesa dan rambut pun boleh kusut!

Mandi Wiladah Selepas Bersalin

Dalam agama Islam, mandi selepas melahirkan anak juga digalakkan terutamanya mandi wiladah yang dilakukan selepas habis darah nifas. Ia mampu memberikan kesegaran pada badan ibu yang penat selepas bersalin apatah lagi jika dilakukan dengan air suam.

Zaman sekarang juga lebih mudah untuk para ibu dapatkan barangan untuk mandi herba yang menggunakan daun yang bagus untuk tubuh kan? Tambahan lagi disediakan perawatan untuk berlulur, pasti ibu rasa dimanjakan!

Mandi selepas bersalin menurut Islam ada caranya ya. Menurut perkongsian Mufti Wilayah Persekutuan, ada 2 cara berniat untuk mereka yang mengalami wiladah serta nifas. Berikut antara caranya:

  • Menggabungkan dua niat dalam satu mandian. Contohnya: “Sahaja aku mengangkat hadas wiladah dan nifas.” Kemudian dia mandi.
  • Mandi dengan satu niat sahaja. Contohnya: “Sahaja aku mengangkat hadas besar.” Kemudian dia mandi.

Bagaimanakah cara mandi nifas selepas bersalin yang betul? Sebenarnya, ia mudah sahaja. Ia hampir sama dengan mandi wajib selepas haid atau junub (selepas bersama suami).

  • Berniat (seperti yang dijelaskan di atas)
  • Membaca bismillah
  • Membasuh tangan
  • Membasuh kemaluan
  • Mengambil wudhu’
  • Menyiram kepala 3 kali dimulai dengan bahagian kanan
  • Menyiram air ke seluruh badan dan air kena pada setiap bahagian badan
  • Membasuh kaki

Selepas selesai mandi wajib, maka para ibu yang baru lepas bersalin pun sudah boleh melakukan amal ibadah seperti solat dan berpuasa seperti biasa.

Semoga bermanfaat! :)

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: pamapedia

Baca juga:

Penulis

Beto Rahman