Pernahkah anda tersedar di waktu malam oleh sebab bayi batuk kronik yang mana ia terlalu kuat dan teruk? Apabila berdepan dengan situasi sebegitu, ibu bapa mana yang tidak akan risau. Lagi pula apabila anak kelihatan berada di dalam kesakitan apabila dia batuk. Tentu si ibu tidak dapat lagi melelapkan mata pada malam itu.
Jika si manja anda batuk dengan kuat dan berterusan, si manja mungkin menghidapi pneumonia atau penyakit lain yang berkaitan. Tetapi, di dalam artikel ini, kami akan kongsikan tentang penyakit pneumonia di dalam bayi; definisi, tanda-tanda serta langkah rawatan.
Apakah Itu Pneumonia?
Pertama sekali, ibu bapa perlulah tahu apakah itu pneumonia, penyakit yang mungkin si manja anda sedang hidapi.
Pneumonia (nu-mo-nia), atau juga dikenali sebagai radang paru-paru, ialah sebuah jangkitan yang menyerang dan meradangkan alveoli (beg udara) di paru-paru. Kebiasaannya, alveoli pada paru-paru dipenuhi oleh nanah atau cecair-cecair lain yang menyebabkan oksigen sukar untuk tiba ke saluran darah.
Pneumonia ialah penyakit yang juga boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit ini lebih banyak membunuh kanak-kanak dari penyakit lain, termasuklah demam campak.
Penyakit radang paru-paru ini juga bukan hanya boleh dijangkiti oleh bayi dan kanak-kanak, tetapi orang dewasa juga dan mereka juga tidak tahu bahawa mereka telah menghidap pneumonia walaupun mempunyai tanda-tanda yang ketara!
Oleh sebab itu, ibu bapa harus mengambil serius jika si manja terdapat tanda-tanda bahawa mereka mungkin menghidapi pneumonia.
Tanda-tanda Anak Menghidapi Pneumonia
Apabila anak menunjukkan tanda-tanda bayi batuk kronik atau tanda-tanda pneumonia, anda mungkin fikir bahawa ia tidak seserius yang disangka. Tetapi, jika anda berhadapan dengan tanda-tanda ini, segeralah dapatkan nasihat pakar kanak-kanak yang anda percayai.
- Pernafasan yang terlalu laju
- Bunyi seakan-akan desahan dan rungutan apabila bernafas
- Anak kelihatan berusaha untuk bernafas
- Demam
- Batuk
- Hidung tersumbat
- Menggigil
- Muntah
- Sakit dada
- Sakit pada perut (kerana batuk yang teruk dan usaha untuk bernafas)
- Hilang selera makan, boleh menyebabkan dehidrasi
- Kurang bermain
- Bibir dan kuku kelihatan kebiru-biruan
Walaupun terdapat banyak tanda bahawa si manja mungkin menghidap pneumonia, kebanyakan ibu bapa akan hanya menganggap bahawa ia bukanlah satu perkara yang serius hanya boleh diubati oleh sebotol antibiotik.
Tetapi, kami faham mengapa sesetengah ibu bapa mungkin tidak akan dapat mengagak bahawa si manja menghidapi penyakit yang lebih serius. Ini kerana kesemua tanda di atas tidak muncul pada waktu yang sama.
Sesetengah kanak-kanak mungkin akan hanya mengalami demam dan batuk, sama seperti penyakit biasa. Tentulah ini akan menyebabkan ibu dan ayah memejam sebelah mata sahaja.
Bagaimana Untuk Merawat Pneumonia?
Dalam kebanyakan kes yang melibatkan pneumonia, si manja yang menghidapi pneumonia tidak perlu mengambil antibiotik pun.
Tetapi, ada juga kes yang perlu diubati menggunakan antibiotik, contohnya jika pneumonia tersebut berpunca dari bakteria. Maka, doktor anda pasti akan menyediakan antibiotik yang dapat membunuh bakteria tersebut.
Jika anda rasakan bahawa anak anda menghidapi pneumonia, berilah dia ruang untuk berehat secukupnya sambil memberi dia minum banyak air putih sementara sistem imunisasi anak sedang berusaha untuk membunuh kuman jahat di paru-paru si manja.
Seeloknya, anda bawalah anak anda ke hospital sejurus sahaja anda mendapati anak mempunyai tanda-tanda pneumonia seperti yang telah disenaraikan di atas.
Sekiranya doktor telah memberi antibiotik, ikutlah arahan doktor dalam cara pengambilan ubat. Sesetengah doktor juga mungkin akan memberi nebulizer atau inhaler supaya anak dapat bernafas dengan lebih mudah.
Dengan rawatan yang betul dan rapi, penyakit pneumonia di dalam badan bayi anda akan mula hilang selepas 1 hingga 2 minggu, manakala ada juga jenis pneumonia yang dapat bertahan sehingga 4 ke 6 minggu.
Tetapi, cara terbaik untuk elak mendapatkan pneumonia adalah dengan menerima vaksin. Kini, bayi yang mendapat vaksin akan secara automatik mendapat vaksin melawan Haemophilus influenzae pneumococcus (virus pneumonia).
Kami harap si manja anda sentiasa sihat lagi-lagi di musim pandemik ini. Kekal sihat dengan duduk di rumah dan #KitaJagaKita!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Harian Metro, Kids Health
Baca juga: Risau Batuk Anak Makin Teruk, Ini 7 Jenama Ubat Batuk TERBAIK Untuk Mereka