Ibu bapa biar bayi baru lahir mati kerana demam kuning
Sepasang ibu bapa dari Michigan, AS baru-baru ini telah didakwa atas kesalahan membunuh bayi baru lahir mereka dengan sengaja.
Kedua-dua pasangan itu, Rachel dan Joshua Piland – dikatakan enggan merawat anak perempuan mereka, Abigail walaupun selepas bidan mengesahkan anaknya itu menghidap demam kuning.
Menurut laporan pihak polis, Rachel dan Joshua menolak saranan bidan untuk membawa Abigail ke hospital kerana menganggap “Tuhan telah menentukan segala-galanya.”
Jadi, Rachel mengatakan “Tuhan tidak melakukan kesilapan” dengan memilih Abigail untuk terkena demam kuning.
Selepas maut di tangan ibu bapa sendiri, pihak polis mendedahkan maklumat lanjut tentang kes ini.
Abigail dilahirkan di rumah keluarganya pada 6 Februari lalu. Seorang bidan dan dua orang pembantu ditugaskan menjaga dan menguruskan proses bersalin Rachel.
Selepas selamat melahirkan anak, Abigail kelihatan sihat.
Namun, keesokan harinya, bidan tersebut mendapati Abigail dijangkiti demam kuning.
Demam kuning pada bayi baru lahir
Demam kuning tersebut menyebabkan kulit bayi baru lahir bertukar kekuning-kuningan.
Ia biasanya terjadi pada minggu pertama selepas seseorang bayi selamat dilahirkan.
Demam kuning berpunca kerana bayi menghasilkan bilirubin, sejenis pigmen dalam sel darah merah secara berlebihan.
Kebanyakan kes demam kuning memang memerlukan rawatan lanjut kerana ia boleh menyebabkan kerosakan otak.
Bidan yang mula risau dengan keadaan Abigail meminta Rachel segera membawa bayi tersebut ke hospital.
Namun menurut Detektif Peter Scaccia:
“Rachel menolak saranan tersebut kerana menganggap ini semua takdir, dan Tuhan telah memilih Abigail untuk terkena demam kuning.”
Yang lebih menyedihkan, bayi baru lahir itu tidak diberi makanan yang sewajarnya, malah mengalami batuk berdarah!
Sudahlah kesihatannya semakin tenat, Rachel juga umpama tidak tahu apa yang harus dilakukan.
Adakah patut dia meletakkan Abigail berhampiran tingkap, dengan hanya memakai lampin, untuk memastikan bayi itu “panas”!
Keadaan Abigail semakin parah
Polis menambah, keadaan Abigail semakin parah pada 9 Februari dan ibu Rachel merayu-rayu meminta anaknya membawa Abigail ke hospital.
Akan tetapi, Rachel dan suami masih dengan keputusan mereka. Mereka tidak mahu membawa Abigail mendapatkan rawatan.
Keesokan paginya, Abigail maut dijemput Ilahi.
Pihak polis dimaklumkan dengan kematian bayi baru lahir itu selepas abang Rachel menghubungi polis dari California.
Apabila pasukan polis selamat tiba di tempat kejadian, mereka melihat Abigail terbaring di atas katil tanpa sebarang tanda-tanda ingin dibawa ke hospital.
Pemeriksaan post-mortem mendapati Abigail maut kerana hiperbilirubinemia dan kernicterus yang berkaitan demam kuning.
Malah menurut pakar pemeriksaan, jika Abigail dibawa menerima rawatan, beliau boleh diselamatkan.
Ya Allah…
Kasihan nasib bayi baru lahir ini. Tenanglah kau di sana, sayang.
Pasangan ibu bapa terbabit telah ditahan dan didakwa dengan pertuduhan sengaja membunuh secara beramai-ramai.
Mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun jika disabitkan kesalahan.
Ya, memang ajal maut di tangan Tuhan, namun sewajarnya kedua-dua ibu bapa ini tidak patut membiarkan anak mereka maut tanpa menerima sebarang rawatan.
Semoga perkongsian ini memberi pengajaran kepada kita semua.
Sumber rujukan: Mirror dan The Independent
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Kredit gambar: Langsing Police Department
Baca juga:
https://my.theasianparent.comibu-cuba-rawatan-yang-belum-diuji/