Pelik Tapi Benar, Bayi 2 Bulan Ini Didapati Mengandung! Apa Yang Terjadi?

Pernahkah anda terfikir, bagaimana bayi yang baru lahir boleh mengandung? Baca dengan selanjutnya bagaimana kejadian ini boleh berlaku dan apakah masalah yang boleh mendatang darinya.

Dalam kehidupan kita di muka bumi ini, tahukah anda terdapat 1001 kejadian pelik dan aneh berlaku disekeliling kita. Kemungkinan inilah tanda ingatan dari pencipta yang maha kuasa kepada manusia yang alpa sentiasa. Tiada yang mustahil bagiNya untuk sesuatu itu berlaku.

Benar atau tidak?

Bagi anda, fakta ini idealistik atau realistik?

Pelik tapi benar, itulah yang berlaku. Berdasarkan laporan terdapat beberapa kes di mana bayi mengandungkan bayi lain seawal usianya 2 bulan. Kejadian pelik ini telah mengundang misteri dalam kehidupan kita. Namun, tidak dalam dunia perubatan kerana ia sebenarnya berpunca daripada anomali perubatan. Kejadian pelik ini berkait rapat dengan biologikal perkembangan bayi kembar di dalam rahim. Kembar seiras terbentuk apabila telur membahagi dua sejurus selepas persenyawaan.

BERKAIT : Pregnancy stress can increase stillbirth risk?

Bagaimana kejadian ini boleh berlaku?

Jika telur itu tidak membahagi lengkap maka kembar siam akan terbentuk dan menyebabkan mereka berkongsi beberapa bahagian badan. Sehubungan dengan itu, hasil daripada penyelidikan yang telah dijalankan mendapati bahawa kejadian pelik ini adalah fetus in fetu yang disebabkan oleh kehadiran kembar parasit. Perspektif dunia perubatan menerangkan bahawa kejadian bayi mengandungkan bayi lain terjadi apabila ibu bayi ini hamil kembar dan mempunyai 2 janin di dalam rahimnya. Janin yang dominan akan bertumbuh dan membesar (autositik) sedangkan janin yang resesif akan terbantut pertumbuhannya lalu terperangkap sekaligus bergantung hidup dalam janin dominan(parasitik).

Kejadian ini sangat jarang berlaku, hanya 1 dalam 500000 kelahiran hidup. Lebih kurang 90 kes telah dilaporkan dari seluruh dunia. Dalam kebanyakan kes, fenotip kembar parasit adalah satu individu yang berfungsi dengan normal, lengkap dengan organ-organ dan anggota badan. Para penyelidik berpendapat bahawa kembar parasit adalah hasil daripada mekanisme Vanishing Sindrom Twin. Ini kerana, janin yang resesif akan lenyap dan bertumbuh dalam janin kembar dominan. Pelbagai masalah kesihatan berpotensi dihidapi oleh kembar autositik akibat daripada pergantungan hidup bagi memenuhi keperluan kembar parasit.

Masalah yang ditempuhi bayi-bayi dengan parasitic twin

Salah satu masalah yang mungkin timbul daripada pergantungan kembar parasit adalah penyerapan arteri berbalik atau TRAP. Keadaan ini memberi kesan kepada individu-individu yang mempunyai anggota badan tambahan. Masalah utama yang berkaitan dengan TRAP adalah penyakit jantung atau kegagalan jantung berfungsi sempurna. Ini kerana jantung kembar autositik membantu membekalkan darah kepada dirinya sendiri dan juga kepada kembar parasitik. Pembahagian telur yang tidak sempurna merupakan mekanisma yang mendorong bagaimana kembar parasit terjadi. Telur yang disenyawakan akan membahagi kepada dua telur yang kemudian membentuk dua janin. Penyelidik juga telah melakukan kajian terhadap peranan protein Sonic Hedgehog (SHH) dalam mewujudkan garis tengah badan semasa pertumbuhan. Kekurangan SHH semasa pertumbuhan membawa kepada pertumbuhan terbantut dan masalah lain seperti bermata satu (cyclopia), otak kurang pemisahan hemisfera (holoprosencephaly), dan perlekatan antara 2 kaki (sirenomelia). Sebaliknya, peningkatan dalam SHH semasa pertumbuhan membawa kepada kesempurnaan dalam pertumbuhan fizikal.

BERKAIT : Keguguran dan kehamilan berisiko tinggi

Bagaimana untuk mengesan fetus in fetu ini?

Doktor dapat mengesan fetus in fetu ini melalui tanda-tanda fizikal bayi berkenaan. Keadaan perut bayi yang membusung sekaligus menyukarkan pernafasan bayi telah mendorong doktor untuk melakukan pemeriksaan dengan lebih lanjut melalui x-ray dan ultrasound kepada bayi. Sekiranya pemeriksaan positif, pembedahan akan dijalankan bagi mengeluarkan janin kembar parasit yang menumpang di dalam perut bayi. Kesimpulannya, tiada yang mustahil dalam dunia ini. Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya dan setiap kejadian pasti ada sebabnya. Bayi mengandungkan bayi pasti tidak masuk akal. Sesunggahnya itulah kuasa pencipta yang berkuasa.

 

Rujukan

kisahbest.my/2012/11/subhanallah-bayi-mengandungkan-bayi-lain-dalam-perut/

Penulis

Ziana Nasir