Seperti ibu bapa baru lain, mereka telah menghadiri kelas persediaan dan membaca buku-buku untuk mendapatkan tips terbaik untuk menjaga anak mereka. Tapi mereka tidak menyangka si manja mereka itu akan mengalami masalah bayi dehidrasi.
Jill, ibu kepada bayi yang telah meninggal, kini telah tampil untuk berkongsi tentang kisahnya dengan harapan pengalaman yang perit ini tidak akan berulang.
Bayi Dehidrasi Hingga Maut Kerana Masalah Laktasi Ibu
Tidak lama selepas melahirkan Landon, Jill telah memberitahu pakar laktasi dan doktor tentang rasa bimbangnya; kerana bekalan susunya seolah-olah tidak mencukupi.
“Landon akan selalu menghisap di payudara saya – hampir setiap masa. Pakar laktasi akan datang untuk memastikan dia menghisap dengan betul dan dalam keadaan yang sihat. Tetapi cuma seorang sahaja yang telah mengatakan saya mungkin mengalamai masalah laktasi, kerana saya menghidap PCOS (sindrom ovari polisistik). Wanita yang disahkan menghidap PCOS, biasanya mempunyai hormon yang tidak seimbang dan sukar untuk menghasilkan susu. Pakar laktasi itu telah mencadangkan beberapa herba apabila saya keluar dari hospital.”
Walaupun demikian, mereka masih menggalakkan Jill untuk menyusu secara eksklusif.
Tanda dehidrasi pada bayi baru lahir
Sepanjang penginapan mereka di hospital, Landon sentiasa menghisap payudara ibunya dan apabila dia tidak, dia akan menangis tanpa henti. Jill mula berasa bimbang, tetapi doktor dan jururawat telah memberitahunya, Landon cuma “cluster feeding“.
Pada hari kedua, Jill telah menyusukan Landon secara berterusan untuk 14 jam. Sungguhpun, Landon telah kehilangan 4.75% daripada berat badannya. Pada hari ketiga beratnya telah susut sebanyak 9.72% dan dia dilepaskan dari hospital.
Ibu bapa Landon telah membawanya pulang ke rumah. Tidak lebih dari 12 jam kemudian Landon telah bertukar menjadi biru, hilang nadinya dan tidak responsif.
Landon dikejar ke hospital dan mereka mendapati dia telah mengalami serangan jantung disebabkan oleh dehidrasi.
Beri susu formula, lebih baik dari tidak diberi susu langsung
Nasihat doktor NICU kepada Jill apabila Landon disambung ke mesin sokongan hidup, telah menjadi pembuka mata:
Ya, memang susu ibu, susu yang terbaik, tetapi tidak salah kalau bayi diberi formula juga. Dengan cara ini, anda boleh memastikan bayi anda telah minum dengan secukupnya.
“Pengimbasan MRI otak Landan di hospital mengesahkan kecederaan otak dari kekurangan oksigen akibat tekanan darah rendah akibat dehidrasi dan serangan jantung. Landon juga telah disahkan menghadapi kecederaan otak yang teruk. Memandangkan prognosisnya yang teruk, mesin sokongan hayat Landon telah ditanggalkan 15 hari kemudian.”
Pengajaran dari kisah ini
Sesungguhnya, tiada mana-mana ibu mahukan perkara buruk terjadi pada anaknya yang dikandung selama 9 bulan. Ambillah kisah ini sebagai pengajaran.
Apa yang boleh anda lakukan untuk mengelak kejadian ini dari berulang adalah:
- Mempelajari tentang ilmu penyusuan badan sebelum bersalin lagi. Ia supaya anda bersedia. Dapatkan ilmu penyusuan susu badan dari theAsianparent Malaysia
- Dapatkan bantuan pakar laktasi yang bertauliah jika anda mengalami masalah penyusuan badan.
- Pelajari ilmu penyusuan susu badan sehari, seminggu, dan sebulan selepas bayi lahir. Bagaimana cara penyusuan yang tepat, berapa kali anda perlu menyusu setiap hari, apakah kesalahan yang kerap dilakukan ibu menyusu, dan tanda-tanda bayi menyusu dengan cukup.
- Sertai kumpulan Komuniti Ibu Menyusu untuk berkongsi ilmu, soalan dan sebarang kerisauan dengan ibu menyusu yang lain.
Sumber: Fed is Best, Qpolitical