Tanda-Tanda Lekapan Yang Tidak Betul
Apabila bayi melekap dengan cara yang betul, puting ibu akan berada jauh ke dalam mulut bayi dan ini membantu mengelakkan kecederaan pada puting. Namun, ramai ibu mengalami masalah penyusuan kerana posisi dan teknik lekapan yang tidak tepat.
Antara tanda-tanda lekapan yang tidak betul dan boleh menyebabkan ketidakselesaan semasa menyusu termasuklah:
-
Puting kelihatan leper atau terhimpit selepas bayi melepaskannya
-
Rasa sakit atau pedih pada puting semasa menyusu
-
Puting masih terasa sakit walaupun selepas sesi penyusuan selesai
-
Payudara terasa bengkak dan tidak lega walaupun sudah menyusu
-
Pengeluaran susu tidak lancar: bayi menyusu tetapi susu tidak keluar dengan berkesan
Jika anda mengalami mana-mana tanda ini, besar kemungkinan bayi tidak melekap dengan sempurna. Dalam situasi begini, sebaiknya hentikan penyusuan seketika, betulkan posisi menyusu, dan cuba semula untuk memastikan lekapan lebih baik.
Ingat, penyusuan sepatutnya tidak menyakitkan. Jika sakit berterusan, dapatkan bantuan daripada pakar laktasi atau jururawat terlatih supaya penyusuan menjadi lebih selesa dan berkesan.
7 Posisi Menyusu Bayi Yang Selesa
Setiap ibu dan bayi mempunyai keselesaan yang berbeza. Kadang-kadang posisi yang sesuai untuk ibu pertama, tidak semestinya selesa untuk ibu kedua.
Oleh itu, penting untuk mencuba pelbagai posisi agar dapat mencari yang paling sesuai untuk anda dan si kecil. Berikut ialah tujuh posisi menyusu yang boleh anda cuba:
1. Cradle Hold (Dukung Biasa)
Ini ialah posisi yang paling klasik dan sering digunakan. Dalam posisi ini, kepala bayi diletakkan pada lengan yang sama dengan payudara yang digunakan. Tubuh bayi menghadap badan ibu dan kepala bayi disokong oleh pelipat siku ibu. Posisi ini sesuai untuk bayi yang sudah pandai menyusu dan ibu yang selesa dengan penyusuan secara langsung.
2. Cross-Cradle Hold (Dukung Silang)
Hampir sama dengan posisi cradle hold, cuma kali ini ibu menggunakan tangan bertentangan dengan payudara yang sedang menyusu untuk menyokong kepala bayi. Tangan sebelah lagi memegang payudara bagi membantu proses lekapan. Posisi ini sangat sesuai untuk bayi baru lahir dan ibu yang sedang belajar cara lekapan yang betul.
3. Football Hold (Pegangan Bola Ragbi)
Dalam posisi ini, bayi diletakkan di sisi badan ibu, di bawah lengan seperti memegang bola ragbi. Kepala bayi disokong oleh tapak tangan ibu manakala badannya berada di sepanjang sisi ibu, selalunya diletakkan atas bantal.
Posisi menyusu ini sangat membantu ibu yang bersalin secara pembedahan (C-section), ibu dengan payudara besar, atau ibu yang menyusukan bayi kembar.
4. Side-Lying (Baring Mengiring)
Ibu dan bayi berbaring mengiring menghadap satu sama lain. Ini antara posisi yang sangat selesa ketika waktu malam atau apabila ibu terlalu penat untuk duduk lama. Posisi ini juga membantu ibu dalam proses pemulihan selepas bersalin kerana tidak memerlukan banyak tenaga.
5. Laid-Back (Penyusuan Sambil Berbaring Condong)
Dalam posisi ini, ibu berbaring dalam keadaan separa menegak dengan sokongan bantal, manakala bayi diletakkan atas dada ibu secara meniarap. Bayi akan menggunakan naluri semula jadi untuk mencari puting ibu. Posisi ini sangat sesuai untuk bayi baru lahir dan ibu yang mahu menyusukan dengan lebih santai dan tanpa tekanan.
5. Upright atau Koala Hold
Bayi berada dalam kedudukan duduk menegak di atas paha ibu, menghadap payudara. Ibu menyokong belakang dan kepala bayi. Posisi ini bagus untuk bayi yang mengalami masalah reflux atau hidung tersumbat kerana kedudukan bayi tegak memudahkan pernafasan dan pencernaan.
6. Tandem Nursing (Menyusu Dua Anak Serentak)
Bagi ibu yang menyusukan bayi kembar atau dua anak berlainan usia, posisi tandem ini sangat membantu. Ibu boleh menggabungkan dua posisi serentak, seperti seorang bayi dalam posisi football hold dan seorang lagi dalam posisi cradle hold. Ia memerlukan sedikit latihan dan kesabaran, tetapi sangat praktikal bagi ibu yang menyusu lebih daripada seorang anak.
Tip menyusu yang berguna: Gunakan bantal penyusuan atau bantal tambahan untuk menyokong belakang, lengan dan bayi anda supaya lebih selesa. Posisi yang betul bukan sahaja membantu bayi menyusu dengan lebih berkesan, malah mengelakkan masalah seperti sakit belakang, puting melecet dan rasa cepat penat.
Cara Mengetahui Bayi Menyusu Dengan Betul
beberapa tanda dan petunjuk penting yang boleh membantu ibu mengenal pasti sama ada proses penyusuan berjalan dengan baik.
1. Bayi Tenang Dan Puas Selepas Menyusu
Selepas sesi penyusuan, bayi yang cukup menyusu biasanya akan kelihatan tenang, mengantuk atau terus tertidur. Jika bayi masih meragam, gelisah atau menangis sejurus selepas menyusu, itu mungkin petanda dia belum cukup kenyang atau lekapan tidak sempurna.
2. Bunyi Hisapan Dan Telan Yang Konsisten
Ketika menyusu, anda akan dapat mendengar bunyi hisapan diikuti dengan bunyi telan yang perlahan dan berirama. Ini menunjukkan bayi bukan sekadar menghisap, tetapi juga berjaya menelan susu yang keluar dari payudara anda.
3. Mulut Bayi Menutupi Areola, Bukan Hanya Puting
Jika lekapan bayi betul, sebahagian besar kawasan areola akan berada dalam mulutnya, bukan hanya puting. Bibir bawah bayi juga sepatutnya melengkung ke luar, bukan masuk ke dalam. Dagu bayi menyentuh payudara, manakala hidungnya sedikit jauh tetapi masih hampir dengan kulit ibu.
4. Puting Kurang Sakit
Penyusuan mungkin sedikit tidak selesa pada awalnya, tetapi ia tidak sepatutnya menyakitkan sepanjang proses. Jika anda merasa perit atau sakit yang kuat di bahagian puting semasa bayi menyusu, kemungkinan besar lekapan tidak betul. Bila lekapan betul, puting anda tidak akan terhimpit atau terluka.
5. Payudara Terasa Lebih Lembut
Ini petanda bagus! Payudara yang terasa penuh dan sedikit tegang sebelum menyusu akan menjadi lebih lembut dan ringan selepas bayi menyusu dengan betul. Ini bermaksud susu telah berjaya dikeluarkan dengan baik.
6. Berat Bayi Meningkat Dengan Konsisten
Perkembangan berat badan bayi adalah salah satu indikator utama bahawa penyusuan berjalan lancar. Selepas minggu pertama, bayi sepatutnya mula menunjukkan peningkatan berat badan secara berperingkat. Lawatan susulan ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan berkala sangat penting bagi memantau perkembangan ini.
7. Jumlah Lampin Basah
Bayi yang menyusu dengan cukup biasanya akan menghasilkan enam hingga lapan lampin basah sehari selepas beberapa hari pertama kelahiran. Najis bayi juga akan berubah daripada warna hitam (mekonium) kepada kuning keemasan yang lembik apabila penyusuan badan sudah stabil.
8. Bayi Bangun Menyusu Secara Berkala
Bayi yang menyusu dengan betul akan bangun sendiri untuk menyusu setiap dua hingga tiga jam, terutamanya dalam minggu-minggu pertama. Ini menunjukkan sistem tubuh bayi berfungsi dengan baik dan dia tahu bila perlu makan.
Kebaikan Susu Ibu Kepada Bayi
Berikut beberapa kebaikan susu ibu kepada bayi:
1. Mengandungi Antibodi Semula Jadi
Susu ibu kaya dengan antibodi seperti immunoglobulin A (IgA) yang membantu membina sistem imun bayi. Ini menjadikan bayi lebih kuat melawan jangkitan, terutamanya selesema, batuk, cirit-birit, dan jangkitan telinga. Kolostrum, iaitu susu pertama yang keluar dalam beberapa hari awal kelahiran, mengandungi antibodi paling tinggi dan sangat penting untuk bayi.
2. Menyokong Perkembangan Otak
Kajian menunjukkan bahawa bayi yang disusui dengan susu ibu secara eksklusif berpotensi mempunyai perkembangan otak yang lebih baik. Ini kerana susu ibu mengandungi asid lemak penting seperti DHA (docosahexaenoic acid) dan ARA (arachidonic acid) yang menyokong fungsi kognitif dan perkembangan neurologi.
3. Mudah Dihadam Oleh Bayi
Kebaikan susu ibu kepada bayi adalah mudah dihadam dan sesuai dengan sistem pencernaan bayi yang masih belum matang. Berbeza dengan susu formula yang boleh menyebabkan sembelit atau alahan, susu ibu diserap dengan cepat dan jarang menyebabkan masalah perut kepada bayi.
3. Melindungi Bayi Daripada Alahan
Bayi yang diberi susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama mempunyai risiko lebih rendah mengalami alahan makanan dan ekzema. Ini kerana susu ibu mengandungi bahan pelindung yang melindungi usus bayi daripada reaksi alahan.
4. Menyokong Tumbesaran Fizikal Sihat
Kandungan nutrien dalam susu ibu seperti protein, kalsium, zat besi, vitamin A, D, E dan K adalah dalam nisbah yang paling ideal untuk bayi. Ia membantu pertumbuhan tulang, otot, kulit dan organ-organ penting bayi secara semula jadi.
5. Menggalakkan Hubungan Ibu Dan Bayi
Kebaikan susu ibu kepada bayi menggalakkan hubungan emosi antara anda dan di manja.
Ketika menyusu, berlaku sentuhan kulit ke kulit dan pandangan mata antara ibu dan bayi. Ini bukan sahaja memberi ketenangan kepada si kecil, tetapi juga menggalakkan perkembangan emosi yang sihat. Proses ini juga merangsang penghasilan hormon oksitosin pada ibu yang membantu mempereratkan hubungan kasih sayang.