Pengalaman menyusukan bayi buat ibu yang baru pertama kali melahirkan anak sememangnya sangat istimewa dan bermakna. Tetapi, pada masa yang sama ibu-ibu pasti ada yang tidak biasa dan berasa janggal bila bayi minum susu ibu. Jangan risau, ya ibu-ibu. Tidak lama lagi biasalah tu. Pasti boleh punya.
Kami yakin ada juga ibu yang tertanya-tanya mengenai soalan ini.
Cukup ke tidak bayi minum susu ibu ini?
Pasti anda mempunyai keraguan setiap kali anda memberikan susu kepada anak anda. Bagaimana nak tahu anak sudah kenyang ke belum atau adakah anak anda masih mahukan susu lagi? Si ibu juga pasti takut kalau terlebih berikan anak susu. Takut anak terlebih kenyang pula. Kalau terkurang susu, anak anda boleh kekurangan berat badan juga. Pening kan kalau anda fikirkan? Tetapi, si ibu juga tidak terlepas daripada memikirkan persoalan seterusnya.
Adakah bayi minum susu ibu secukupnya?
Ini mungkin antara dilema yang melanda ibu-ibu. Sama ada ibu menghasilkan susu badan yang cukup untuk keperluan anak atau tidak. Salah satu sebabnya ibu-ibu sendiri tidak boleh mengagak berapa banyak jumlah susu yang badan ibu hasilkan. Jadi, ibu-ibu tidak tahu adakah susu badan mencukupi untuk memenuhi keperluan anak mereka.
Tapi kalau ibu-ibu semua nak tahu. Kebanyakan wanita menghasilkan susu badan yang mencukupi untuk menyusukan anak. Hanya segelintir sahaja yang tidak dapat menghasilkan susu badan yang mencukupi.
Jadi, persoalannya disini. Bagaimana anda nak mengetahui bahawa anak anda mendapat susu badan yang cukup? Kami akan merungkai persoalan ini.
Bagaimana nak tahu bila bayi minum susu ibu yang cukup?
Adalah amat penting untuk ibu mengetahui sama ada anak mereka mendapat susu bayi yang cukup. Ini adalah antara tanda-tanda bagi untuk anda mengetahui sama ada anak anda telah mendapat susu badan yang cukup. Antaranya ialah:
#1 Anak anda nampak kenyang dan berpuas hati
Orang kata perut kenyang, muka pun senang hati kan? Begitulah juga dengan anak anda. Jika anda melihat bahawa anak anda berasa tenang selepas menyusu, itu bermakna bahawa anak anda telah mendapat susu yang cukup. Berlainan pula dengan bayi tidak mendapat susu yang cukup. Ada sahaja yang tidak kena. Terutamanya jika bayi menangis dan meminta susu.
#2 Bayi menelan susu
Saat bayi anda menyusu, bayi akan menghisap puting dengan cepat untuk mendapatkan susu. Kemudian, bayi akan mula menghisap secara perlahan untuk menelan susu. Anda boleh merasakan pergerakan mulut anda melalui rahangnya yang mana anak anda akan menelan susu tersebut.
Tetapi, jika bayi kurang susu, bayi akan menghisap puting dengan laju dan juga menelan susu dengan cepat. Itu adalah salah satu tanda bahawa susu tersebut tidak cukup kerana anak tidak puas.
#3 Lampinnya penuh!
Ini adalah salah satu cara untuk ibu mengetahui sama ada anak mereka mendapat susu yang cukup atau tidak. Bayi kebiasaannya akan menukar lampin setiap hari dan apa yang anda perlu lakukan adalah dengan melihat warna najis bayi dan jumlah najis yang bayi keluarkan.
Najis bayi yang mendapat susu yang cukup akan berwarna kuning cerah. Konsistensi najis juga perlulah cair dan bukannya keras. Kalau anak anda tidak buang air besar, itu tandanya bahawa anak anda kurang susu. Malah, air kencingnya juga akan menjadi jernih dan tidak berbau.
#4 Tidur lena
Si kecil tidur lena selepas minum susu? Bila bayi minum susu ibu yang cukup, itulah akibatnya! Sekiranya anak anda tertidur selepas minum susu dan tidurnya pula tersangatlah lena, maksudnya ibu-ibu semua anak anda sudah kenyang dan dapat susu yang cukup.
Orang tua-tua kata bayi yang tidur lena selepas minum susu ini dipanggil mabuk susu. Selepas minum sahaja, terus bayi tidur. Seronoklah tu!
#5 Berat badan naik
Bila bayi minum susu ibu yang cukup, berat badan bayi akan meningkat dan bukannya menurun. Jika anak anda tidak mendapat susu yang cukup, berat badan anak anda akan berkurangan kerana anak anda tidak mendapat zat yang mencukupi untuk tumbesarannya. Tetapi, bagi bayi yang minum susu ibu secukupnya, berat badannya akan meningkat mengikut tahap tumbesarannya.
Perhatian ibu, jika berat badan anak anda menurun lebih daripada 10 peratus atau ianya dilihat membimbangkan, sila bawa anak anda berjumpa doktor dengan segera.
Nasihat untuk ibu
Jika anda merasakan bahawa badan anda tidak dapat menghasilkan susu yang banyak kepada anak anda ataupun berat badan anak anda tidak naik secara normal, sila rujuk pakar untuk membantu anda. Pakar akan menyesyorkan rawatan ataupun kaedah yang bersesuaian dengan keadaan anda.
Ibu juga boleh melakukan kaedah urutan bersesuaian untuk menambah susu ibu dan melancarkan lagi susu ibu.
Sumber: Parents.com
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: 9 tanda bayi anda sudah cukup minum susu, tidaklah ibu asyik risau lagi!