Bilakah bayi anda boleh mula tidur dengan bantal?

Ibu-ibu boleh mengelak risiko SIDs jika mereka tidak membenarkan bayi pakai bantal semasa tidur. Tapi sampai umur berapa? Bila anak boleh pakai bantal?

Ibu-ibu baru sering dinasihatkan tentang cara selamat untuk menidurkan anak dan bahayanya bayi pakai bantal semasa tidur.

Ini disebabkan oleh risiko SIDs (Sudden Infant Death Syndrome) serta risiko bayi lemas akibat bantal ataupun selimut.

Tapi ibu-ibu pasti tertanya-tanya juga… adakah anak saya selesa tidur tanpa guna bantal? Boleh ke anak saya guna bantal apabila dia lebih besar? Apakah bantal yang sesuai untuk si manja?

Di sini kami menjawab semua soalan-soalan anda itu.

Bila ibu bapa boleh membenarkan bayi pakai bantal?

Cara paling selamat untuk menidurkan bayi baru lahir ialah di dalam kot bayi yang tidak mempunyai selimut ataupun bantal dan hanya dengan tilam yang bersalut kain cadar ketat.

Jangan risau tentang keselesaan bayi anda walaupun dia tidur atas permukaan yang rata tanpa bantal. Dia masih tak tahu bezanya.

Apabila anak semakin besar, dia mungkin mula mahu bantal sendiri selepas melihat ibu bapanya tidur dengan bantal. Tapi untuk mengurangkan risiko anak lemas, jangan biar bayi pakai bantal sehinggalah dia berusia 2 tahun.

Tangan anak mungkin cukup kuat untuk mengangkat bantal sendiri, tapi dia mungkin tidak cukup kuat untuk mengalihkan bantal yang menutup mukanya.

Terdapat juga kejadian di mana anak telah lemas akibat penggunaan bantal dalam buaian.

Apa ibu bapa perlu buat jika mahu bayi pakai bantal?

Sebelum membenarkan bayi pakai bantal, periksa dulu beberapa perkara di bawah:

1. Periksa jika anak sudah bersedia untuk ada bantal sendiri atau tak

Masa yang paling sesuai ialah apabila anak sudah terlalu besar untuk kot bayi dan perlu dipindahkan kepada katil baru.

Kadang-kadang anak akan menunjukkan tanda-tanda sedia untuk memiliki bantal sendiri, contohnya apabila dia lebih suka tidur atas selimutnya ataupun berkongsi bantal dengan ibu bapanya.

Berhenti menggunakan bantal dengan segera jika anak menunjukkan tanda-tanda kurang selesa.

2. Pilih bantal yang kecil, rata dan nipis

Apabila ibu bapa rasa anak sudah bersedia untuk memiliki bantal sendiri, gunakan garis panduan  berikut apabila membeli bantal baru untuk anak:

  • Pilih bantal kecil, rata, nipis, dan khas untuk kegunaan bayi. Pastikan bantal itu tidak terlalu lembut ataupun terlalu keras. Bantal yang terlalu lembut mempunyai risiko SIDS yang lebih tinggi.
  • Elakkan dari membeli bantal yang diisi dengan bulu burung. Kepala anak boleh tenggelam ke dalam bantal dan dia boleh lemas. Hujung bulu burung juga sangat tajam dan boleh tercucuk keluar dan mencederakan muka atau mata anak anda.
  • Sebelum membeli bantal, tekan bantal itu dulu dan lihat betapa cepat ia kembali ke bentuk asal. Jika bantal itu tidak berubah bentuk, ini bermakna bantal itu terlalu lembut.  Jika bantal itu mengambil masa yang terlalu lama untuk kembali ke bentuk asal, bantal itu mungkin terlalu keras untuk anak. 
  • Belikan bantal yang dibuat dengan 100% poliester polyfill tidak alergenik untuk mengelakkan alahan.

Semoga garis panduan diatas akan memberi manfaat kepada ibu bapa. Jangan lupa, cuba elakkan bayi pakai bantal selama yang mungkin.

Biarpun ibu bapa rasa anak tidak selesa tidur tanpa bantal, yang penting, si manja anda tidur dengan selamat. 

Sumber: Mom Junction

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

Bayi 3 Bulan Lemas Gara-Gara Headband Yang Dipakaikan Ibu

 

Penulis

Rosanna Chio