Bagi mereka yang belum tahu, perut bayi memang berangin. Sebab itu bayi selalu kentut, sendawa dan berak. Malah jumlah kentut mereka sendiri selama sehari melebihi kentut orang dewasa! Hahaha.
Oleh sebab bayi kerap minum susu, sistem pencernaan mereka sentiasa bekerja. Tambahan pula, berat bayi boleh naik dengan mendadak – lebih kurang 140 ke 200 gram seminggu. Semakin perut mereka membesar, selera mereka juga semakin besar.
Baca juga: Amalan Tungku Bayi Perlu Dibuat Dengan Cara Betul, Barulah Si Manja Tak Meragam
Mengapa bayi selalu kentut dengan banyak kali?
Mari kita lihat antara punca mengapa perut bayi berangin atau kembung, hingga membuatkan bayi selalu kentut, seperti di bawah ini:
#1. Sistem pencernaan sedang membesar
Sistem pencernaan bayi anda belum matang dan sedang membesar. Semasa bayi menyusu atau mula makan, sistem pencernaannya tidak bekerja dengan betul untuk mencerna makanan.
Disebabkan ini, udara terperangkap dalam usus mereka dan menyebabkan sakit perut. Sebab itulah bayi anda kerap kentut.
#2. Bakteria tidak seimbang dalam badan
Bayi dilahirkan dengan usus yang bersih. Ini bermakna mereka tidak ada probiotik. Bakteria baik dalam probiotik memproses nutrisi.
Oleh sebab itu, bayi memerlukan masa selama beberapa bulan untuk betul-betul mencerna susu. Dan ini menyebabkan perut mereka berangin.
#3. Cara lekapan menyusu yang salah
Jika lekapan menyusu anda salah, bayi mungkin akan tertelan banyak udara. Udara ini akan membentuk bebola udara dalam usus dan menyebabkan kentut berlebihan.
Satu cara untuk membantu bayi dalam situasi ini ialah menukar payudara semasa menyusu untuk mengelak bayi tertelan udara yang terlalu banyak.
Anda juga boleh cuba menyusukan bayi secara vertikal.
#4. Menyusu badan dan botol susu
Sekiranya anda menyusu badan pada bayi , apa yang anda makan akan diturunkan kepada bayi. Jika anda makan makanan yang berangin seperti sitrus atau tenusu, bayi akan mengalami kembung perut.
Satu lagi, sekiranya bayi menyusu menggunakan botol susu, mereka akan lebih mudah tertelan udara dan menyebabkan kembung perut.
#5. Makanan pejal pertama
Ramai bayi yang sangat berangin semasa mula memakan makanan pejal. Ini kerana sistem pencernaan mereka belum matang dan baru hendak menyesuaikan diri untuk menerima makanan pejal.
Kentut adalah salah satu tanda sistem pencernaan anak anda sedang bekerja.
#6. Gaya pemakanan ibu
Anda perasan tak kentut bayi anda berbau? Ini kerana apa yang anda makan. Contohnya makanan yang tinggi kanji seperti nasi, roti, kentang boleh menyebabkan bayi kentut busuk.
Jika anda terlalu risau, kawal makanan yang anda makan atau simpan diari makanan.
#7. Bayi menangis tanpa henti
Bayi menangis kerana banyak perkara. Mereka tidak selesa, takut atau lapar. Namun menangis yang berterusan boleh menyebabkan bayi berangin dan kembung, jadi kentut adalah solusi mereka.
#8. Alahan terhadap laktosa
Satu lagi punca bayi selalu kentut ialah kerana tiada toleransi terhadap laktosa. Badan kita mempunyai enzim laktase yang semulajadinya memecahkan gula seperti galaktosa dan glukosa.
Tetapi kadang-kala, bayi tidak berupaya mengeluarkan laktosa yang cukup untuk memecahkan gula ini. Ini menyebabkan alahan. Jadi, dalam tempoh 2 jam selepas mengambil laktosa, perut bayi akan meragam dan berangin.
#9. Antibiotik
Bagi bayi yang mengalami jangkitan dan terpaksa mengambil antibiotik, antibiotik ini akan merosakkan mikroflora dalam usus mereka. Ini menyebabkan kembung perut dan kentut berlebihan. Kadang-kala cirit-birit juga!
Juga jika ibu yang diberi antibiotik, bayi mereka juga boleh mengalami situasi ini.
Adakah ibu patut risau jika bayi selalu kentut?
Yang paling utama ialah sentiasa perhatikan perubahan bayi anda. Sekiranya dia nampak tidak selesa dan menangis ketika kentut, dia mungkin mempunyai gas yang terlalu banyak.
Antara tanda yang anda boleh lihat ialah:
- Perut kembung
- Sendawa terlalu banyak
- Kentut terlalu banyak
- Nangis terlalu banyak
- Perut kejang (menangis apabila anda menekan perutnya)
- Perut keras
Anda tidak perlu risau kerana ini akan berakhir apabila bayi anda semakin besar. Tetapi anda boleh mendapatkan nasihat doktor sekiranya keadaan ini berlanjutan terlalu lama.
Sumber: theAsianparent Singapore, Balanced Breastfeeding, WebMD
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Kredit gambar: Mum’s Grapevine
Baca juga: 7 Titik Urutan Kaki Bagi Menenangkan Bayi Yang Kerap Meragam Dengan Serta-Merta