Sesetengah ibu mengakui kadang-kadang berasa buntu apabila bayi selalu menangis tanpa sebab. Baru-baru ini ada ibu ayah yang berkongsikan beberapa hadis menyatakan tangisan bayi kecil sebenarnya zikir. Adakah ia sahih?
Menurut penerangan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, riwayat tangisan bayi kecil adalah zikir sebenarnya palsu. Hadis ini tidam boleh disebar dan dinisbahkan sebagai kalam Nabi S.A.W.
Baca juga: Delima Ibu Perlu Mula Bekerja, Ini Cara Menenangkan Bayi Suka Menangis Bila Berpisah!
Bayi selalu menangis sebenarnya cara si manja berkomunikasi
Ibu ayah diminta agar sentiasa berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu teks hadis atau berita tanpa meneliti terlebih dahulu akan kesahihan perkara tersebut.
Berdasarkan penerangan oleh Parent Connect, tangisan bayi sememangnya membuatkan ibu ayah berasa risau, keliru dan agak meletihkan untuk didengari jika ia berpanjangan.
Bagaimanapun, usahlah anda mengada-adakan sesuatu yang tidak sahih sekiranya ibu ayah sendiri tidak tahu bagaimana cara menguruskan bayi selalu menangis atau bertujuan untuk menutup tindakan kita yang sudah mengabaikan tangisan bayi ini.
Sebenarnya, tangisan adalah satu-satunya cara untuk bayi berkomunikasi dengan orang sekeliling. Si manja berupaya untuk menyampaikan luahan ataupun apabila ada keperluan yang tidak dapat ibu ayah tunaikan.
Kebiasaannya, keperluan bayi sering kali dalam bentuk fizikal dan emosi seperti rasa sakit, lapar, mengantuk, letih, basah, panas atau inginkan belaian dari anda. Berusahalah untuk menunaikan keperluan tersebut dan uruskan tangisannya dengan berkesan.
Fasa ini hanyalah sementara. Apabila anda sudah boleh berkata-kata, latihlah dia menyampaikan keperluannya dengan jelas dan bukannya melalui tantrum atau amukan.
Bolehkah jika saya membiarkan anak menangis sehingga dia tertidur sendiri?
Seorang ibu berkongsikan pengalaman dia berasa buntu untuk berdepan ketika anak mengamuk kerana mahu tidur. Bila dukung, letak, angkat, keadaan masih sama. Bayi tidak berhenti menangis. Akhirnya dia hanya membiarkan sahaja anak baring di katil, menangis dan akhirnya tertidur dengan sendiri.
Kini, anak sudah pandai menenangkan dirinya ketika dia berasa mengantuk.
Mungkin bagi sesetengah ibu ayah, bunyinya agak kejam kan? Tapi tidak, ia bukanlah perbuatan yang kejam. Hal ini kerana:
#1. Risiko kecederaan bayi
Membiarkan anak menangis sendiri ketika anda buntu adalah beribu kali lebih baik dari memegang atau mendukungnya dalam keadaaan ibu berasa putus asa, marah dan stres. Menggendalikan anak yang meragam dalam keadaan ini cenderung kepada penderaan dipanggil sebagai Shaken Baby Syndrome.
#2. Cara melepaskan perasaan
Tahukah anda bahawa hormon tidur iaitu melatonin dan hormon stres (Cortisol) adalah musuh yang ketat? Sekiranya salah satunya lebih banyak, misalnya aras Cortisol tinggi dalam sistem badan seseoraang, maka Melatonin akan ‘menyembunyikan’ dirinya.
Ia adalah logik kerana mana mungkin seseorang yang sedang tertekan dapat melelapkan mata dengan mudah, bukan?
Maka untuk seseorang dengan Cortisol tinggi dapat menenangkan diri ketika tidur, ia haruslah dibersihkan terlebih dahulu dari sistem. Caranya untuk keluar adalah melalui air kencing, air liur, air mata dan peluh!
Justeru, jangan risau sekiranya bayi menangis kerana ia merupakan salah satu cara anak menenangkan diri dengan menyingkirkan hormon stres.
Petua lain untuk menenangkan anak meragam dan kerap menangis
Sekiranya ibu sudah memastikan anak kenyang, namun dia meraham semata-mata kerana letih mahu tidur dan anda telah buntu, cuba beberapa cara ini:
#1. Peluk si manja dan biarkannya menangis dalam pelukan. Anda hanya perlu sokong tangisannya dan bukan hentikan terus tangisan tersebut. Cara ini paling berkesan untuk bayi berusia bawah 4 bulan kerana sentuhan kulit ke kulit mampu membuatkan mereka berasa selamat.
#2. Untuk bayi yang sudah mahir menghisap jari atau berusia 10 bulan ke atas, baringkan sahaja mereka ke katil dan memeluk bantal atau patung kegemarannya.
#3. Melakukan usapan dan belaian. Ibu perlu mengusap rambut dan belakang badan bayi dengan lembut dengan tenang, bukan untuk terus menghentikan tangisan.
Kesimpulannya, anda boleh memilih sahaja mana-mana tiga cara di atas mengikut kesesuaian keadaan. Namun pastikan sentiasa berada dekat dengan si manja untuk memantau keselamatannya.
Anak perlu diberi peluang untuk menangis dan belajar melalui pengalaman menguruskan tangisan di bawah pemerhatian ibu ayah. Kesannya, mereka akan lebih bijak dalam mengurus emosi dan mengawal diri apabila dewasa kelak.
Sumber: Parent connect, Baby language
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia