Nurse Kongsi Cara Bedung Bayi Yang Betul, Berkesan Buatkan Si Manja Tidur Lebih Lama
Cara bedung bayi yang betul dapat membantu si kecil tidur lebih lena. Namun bagi ibu ayah baru, ada cara pakaikan bedung bayi yang betul
Pertama kali bergelar ibu dan ayah, tentunya kehidupan anda mula bertukar 360 darjah. Banyak perkara perlu anda pelajari seperti cara bedung bayi yang betul, tukar lampin, bancuh susu, penjagaan harian dan lain-lain.
Bahkan, bayi baru lahir penjagaannya harus lebih teliti. Sebab itu, ibu dan ayah perlu lebih peka terhadap tingkah laku bayi terutama ketika si kecil menangis lapar dan merengek sebab mengantuk.
Cara bedung bayi yang betul memudahkan si manja tidur lebih lama
Secara tak langsung, anda perlu jadual yang lebih teratur dan rehat yang mencukupi. Disebabkan itu, ibu perlu tahu cara bedung bayi yang betul supaya si kecil dapat tidur dengan lebih nyenyak.
Ms Le Thi Anh, seorang ibu baru telah mengajar bagaimana dia belajar cara membedung bayi kecilnya dengan jururawat di hospital, tempat beliau bersalin.
Jika dilihat dari video yang dikongsi amat mudah dan ia boleh membuatkan bayi tidur dengan lebih lena dalam tempoh yang lama!
Video yang dikongsikan itu dilihat hampir 13 juta pengguna laman sosial dan dikongsi lebih kurang seramai 328,000 orang.
Cara bedung bayi sebagai bantal tidur
Bedung berfungsi memberi kehangatan pada bayi baru lahir kerana si kecil mungkin ‘rindu’ saat berada dalam rahim ibunya. Oleh sebab itu, si kecil rasa selamat bila dibedung dan tidur dengan lebih lama.
Cara bedung bayi 1:
Dapatkan tuala lembut yang bersih dan besar kira-kira 120 cm x 60 cm. Tuala lembut diperlukan kerana kulit bayi baru lahir adalah sensitif. Kemudian, gulungkan seperti sosej panjang.
Langkah bedung baby 2:
Biarkan bayi berpaling ke sebelah sisi badan. Kemudian, angkat kaki bayi dan tindihkan atas tuala tersebut seperti dalam gambar di atas. Hujung tuala pula harus sama dan sejajar dengan kepala bayi.
Langkah bedung baby 3:
Seterusnya, bahagian depan tuala dibesarkan. Kemudian, kepala bayi diangkat dan diletak perlahan-lahan.
Langkah yang sama diulang pada hujung tuala di belakang pula. Pastikan tuala tidak longgar.
Langkah bedung bayi 4:
Bedung ini kelihatan seperti ‘sarang’. Usai itu, tepuk lembut belakang tubuh bayi supaya si kecil itu tidur lena.
Peringatan:
Anda dinasihatkan untuk meletakkan bayi di tempat yang rata ketika tidur supaya bayi lebih selesa. Amaran, sekiranya bayi sudah pandai meniarap dan berguling, cara ini tak dibenarkan bagi mengurangkan risiko lemas.
Walau bagaimanapun, dapatkan pakar pediatrik terlebih dahulu untuk cara ini.
Amalan bedung bayi yang betul mengurangkan risiko SIDS
American Academy of Pediatrics (AAP) menyatakan bahawa apabila berbedung dilakukan dengan betul, ia dapat menjadi teknik yang efektif untuk membantu menenangkan bayi dan menggalakkan si manja untuk lebih mudah tidur.
Tetapi jika anda merancang untuk membedungkan bayi di rumah, anda perlu mengikuti beberapa garis panduan cara bedung bayi untuk memastikan anda melakukannya dengan selamat.
Bagi mengurangkan risiko Sindrom Kematian Bayi Mendadak, atau SIDS, adalah penting untuk meletakkan bayi anda tidur terlentang setiap kali anda meletakkan si manja di tempat tidur.
Ini mungkin lebih perlu jika bayi anda dibedung.
Sesetengah kajian menunjukkan peningkatan risiko SIDS dan sesak nafas apabila bayi dibedung jika mereka diletakkan di bahagian perut mereka atau meniarap untuk tidur, ataupun jika mereka bergolek ke atas perut mereka.
Sebab kenapa ibu ayah perlu bedung baby
Sejak dari zaman nenak moyang kita, bayi yang baru lahir mesti akan dipakaikan kain bedung. Antara salah satu sebabnya adalah bagi mengelakkan si manja terkejut daripada tidur.
Namun sebenarnya bayi dipakaikan kain bedung adalah kerana:
- Cara bedung bayi yang betul dapat membantu bayi tidur lebih lena
- Mengelakkan selimut biasa yang mudah bergerak dan menutupi muka bayi. ini akan menghalang bayi untuk bernafas yang boleh mengakibatkan Sindrom Kematian Bayi Secara Mengejut atau SIDS
- Cara bedung bayi yang baik dapat membuatkan si manja lebih selamat dan selesa. Kain bedung yang membalut bayi membuatkan bayi merasa seperti didalam kandungan ibunya
- Mengelakkan bayi dari menggosok dan mencakar mukanya sendiri terutama jika tidak dipakaikan sarung tangan
- Mengelakkan bayi dari mengangkat tangannya ke atas – keadaan ini terjadi apabila bayi terkejut disebabkan oleh bunyi yang kuat disekelilingnya
- Supaya kaki bayi tersebut dpt ditegakkan semasa diikat agar tidak pengkar @ tidak tegak
- Memudahkan para ibu ketika penyusuan bayi dilakukan
Bedung bayi sampai umur berapa?
Ramai ibu ayah tertanya-tanya bedung bayi sampai umur berapa. Jika terlalu lama, adakah boleh memberi kesan sampingan?
Sebenarnya adalah dicadangkan agar anda tidak lagi membedung bayi setelah bayi berumur tiga atau empat bulan ke atas.
Pada umur begini bayi sudah mula belajar meneroka disekelilingnya dan perlu bergerak tanpa ada halangan untuk perkembangan seterusnya.
Bedung baby perlu untuk membina tulang bayi yang lebih tegap agar bayi dapat merangkak, berdiri dan berjalan pada masa akan datang.
Jenis kain bedung yang sesuai untuk kegunaan bayi baru lahir
Kain bedung yang digunakan seharusnya sesuai dengan cuaca di Malaysia. Elak menggunakan kain dari jenis yang menyebabkan haba panas kepada badan bayi.
Bukan itu sahaja, kain bedung untuk bayi baru lahir hendaklah jenis yang bersaiz besar. Sesetengah ibu biasanya akan memilih kain muslin berbanding kain lampin biasa kerana ukurannya yang besar dan sesuai digunakan untuk bedung baby.
Kain muslin juga menjadi pilihan kebanyakan ibu kerana penggunaan satu helai sudah cukup untuk bedung bahagian dada hingga kaki, serta mengelakkan kaki si manja dari terjulur keluar.
Selain itu, material kain hendaklah jenis kapas kerana ia nyaman dan mudah menyerap peluh si manja. Bukan itu sahaja kainnya sesuai dengan kulit si manja serta mudah dicuci.
Keadaan bayi yang tidak perlu dibedung
Untuk pengetahuan anda, ada beberapa keadaan yang tidak memerlukan bayi pakai bedung iaitu:
- Ketika tengah hari
- Cuaca atau musim panas
- Bayi menangis kerana rasa tidak selesa
- Bayi naik ruam merah atau gatal-gatal pada bahagian badan terutamanya leher dan tengkuk
- Bayi demam. Ibu jangan sesekali bedung baby kerana tindakan ini hanya boleh memerangkap haba dan seterusnya meningkatkan suhu badan si manja
Manakala, antara waktu sesuai untuk membedung bayi ialah:
1. Di hospital: ketika bayi baru lahir dan mahu pulang ke rumah
2. Waktu tidur malam yang dingin
3. Waktu pagi sesudah mandi (biasanya sebelum jam 10pagi)
4. Waktu dingin musim hujan
5. Ketika bayi tidur dalam bilik berpenghawa dingin
6. Di klinik: ketika membawa bayi untuk cucuk imunisasi
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bedung Bayi Terlalu Ketat Boleh Ganggu Fungsi Sendi Pinggulnya! Doktor Ini Kongsi Sebabnya
Baca juga: Bedung: Amalan Tradisi Yang Diiktiraf Sains