Selama sembilan bulan lamanya bayi menggerekot dalam kedudukan ‘fetal’ sepanjang dikandung ibu; kepala tunduk, belakang membengkok dan kaki menekan perut serta dada. Tidak cukup dengan itu, dinding rahim menyampul keseluruhan badan bayi agar kekal dalam posisi sedemikian. Ia membuat bayi merasa bagai dipeluk dan disentuh setiap masa.
Sejurus dilahirkan, tiada lagi dinding rahim yang menghimpit. Bayi juga tidak lagi berada dalam kedudukan fetal. Sensasi pelukan berpanjangan telah ditarik dengan drastik dan bayi merasa bagai hilang dalam sekeliling yang begitu luas. Pelukan ibu adalah pengganti yang terbaik. Namun, berapa lama ibu boleh terus memeluk atau menggendong bayi? Maka bedung adalah pengganti pelukan ibu pada bila-bila masa ibu perlu berlepas diri seperti mandi, memasak, tidur atau sakit.
Berabad lamanya, amalan bedung telah wujud di dunia. Imej para ibu ‘membalut’ dan memasukkan bayi ke dalam gendongan seterusnya menggelek bayi disisi atau belakang badan, bukan imej asing bagi mana-mana masyarakat pun. Sudah tentu, tujuannya adalah untuk memudahkan ibu membuat kerja atau berjalan dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Apakah manfaat bedung kepada bayi pula?
1. Memberikan sensasi sentuhan berpanjangan
Kulit adalah organ terbesar manusia. Sentuhan pula adalah yang paling mententeramkan deria kita. Bedung membaluti tubuh bayi dengan sensasi sentuhan berpanjangan. Setiap dari kita tahu akan nikmat sentuhan. Namun bagi bayi kecil, ia bukan sekadar nikmat atau keseronokkan yang dirasakan. Lebih dari itu, sentuhan ibarat penyambung nyawa buat bayi kecil!
Bayi yang diberikan susu namun dinafikan untuk dipegang atau didukung akan samada ‘terencat’ atau mati. Tiada sentuhan maka tiadalah sensasi deria. Tiada sensasi ransangan deria, maka tiadalah isyarat yang di hantar ke otak . Sudah tentu, membedung tidaklah seenak berada didalam dakapan ibu. Namun, ia adalah alternatif terbaik selepas dakapan ibu pada waktu-waktu dimana ibu tidak dapat mendukung atau mendakap bayi.
2. Bedung mengelakkan bayi dari pergerakan luar kawalan
Perhatikan imej fetus semasa di dalam kandungan. Ia kelihatan seperti seorang ahli gimnastik yang sedang melipat keseluruhan badannya dan terapung di dalam suatu ruang yang sempit. Kehilangan dinding rahim melenyapkan ‘halangan’ yang dimiliki sebelum ini. Maka sedikit keresahan boleh segera mengaktifkan reflek Moro bayi dan memulakan gerakan luar kawalan tangan dan kakinya diikuti dengan tangisan.
Reflek moro atau reflek kejatuhan ini adalah tindakbalas bila mana bayi merasa kehilangan sokongan pada badannya secara tiba-tiba ibarat sedang jatuh dari suatu tempat yang tinggi. Kebiasaanya bayi akan mendepakan tangan dan membuka kesemua jarinya. Ia adalah reflek yang hadir pada semua bayi sehingga usia 4-5 bulan. Maka ibu akan sedari kerapnya bayi kecil mereka tersentak dan mula menangis atau terus terjaga dari tidur bila tidak dibedung.
3. Membedung membantu bayi menfokus kepada cubaan anda mententeramkannya
Bayi yang sedang tenggelam didalam kitaran tangisan dan jeritannya sendiri sukar untuk keluar dari situasi tersebut. Lebih lagi bila tangan dan kakinya bergerak di luar kawalan. Ia bukan sahaja sukar buat bayi malah menyukarkan orang dewasa yang ingin memegang bayi dalam cubaan mententeramkannya. Bedung juga menghalang henjutan baru akibat pergerakan luar kawalan yang mampu menghidupkan semula kitaran tangisan bayi.
Garis panduan bedung
Terdapat pelbagai cara atau gaya bedung. Malah bedung moden yang membanjiri pasaran memberi pelbagai alternatif buat para ibu. Apa jua bedungan yang ingin digunakan, ia haruslah mematuhi beberapa garis panduan berikut;
1. Tidak boleh longgar
Bedungan yang longgar tidak akan mencapai manfaat membedung yang telah disenaraikan. Ia bukan sahaja mudah terlerai malah membahayakan andai kain bedungan mula menutupi muka bayi. Gunakan kain bedung yang cukup lebar agar balutan menyelimuti keseluruhan badan bayi dan dapat diketatkan. Ketat yang dimaksudkan disini adalah cukup untuk membuat satu balutan yang kemas dan menyelesakan bayi, bukannya untuk mendatangkan ketidakselesaan atau kesukaran buat bayi. Andai anda risau bedungan terlalu ketat, cuba masukkan tangan anda di antara bedungan dan dada bayi. Jika ia dapat dilakukan, maka bedungan anda adalah baik- baik sahaja.
2. Membedung dengan tangan ke bawah
Walau dalam bedungan yang cukup ketat, membedung dengan tangan membengkok akan memudahkan tangan bayi terselinap keluar dan memburaikan keseluruhan ikatan.
3. Tidak menyakitkan pinggang dan ‘mengunci’ kaki bayi
Bahagian yang perlu diberi perhatian untuk menghadkan pergerakkan luar kawalan adalah tangan bayi, seperti didalam panduan ke 2 diatas. Bedungan tidak seharusnya menyakitkan pinggang bayi atau menyekat terus kaki bayi dari dapat dibengkokkan atau digerakkan. Amalan membedung begini dapat mengakibatkan Hip dysplasia atau masalah pembentukan sambungan pada pinggang bayi.
Membedung yang mengunci kaki bayi serta memaksa kaki bayi kekal lurus adalah amalan yang salah. Ia boleh menyebabkan Hip Dysplasia.
4. Kain bedungan tidak menyentuh muka atau pipi bayi
Kain bedungan yang mengenai muka atau pipi bayi, ia boleh mengaktifkan ‘rooting reflex’ iaitu tindakbalas bayi memalingkan muka dan mengikuti objek yang menyentuh pipinya dalam cubaan ‘menangkap’ objek tersebut untuk dihisap. Ia refleks yang biasa terutama ketika bayi lapar. Kain bedungan yang mengenai pipinya akan mengaktifkan reflek tersebut berulang kali hingga bayi merasa keliru, kecewa dan menangis disebabkannya.
5. Pastikan bayi tidak kepanasan
Jika anda khuatir bayi akan tidak selesa akibat kepanasan, cuba periksa jari dan telinga bayi anda. Jika terasa panas, kelihatan merah dan berpeluh, bayi sedang kepanasan. Pilih kain bedung yang menyerap peluh dan tidak tebal. Kain batik adalah antara pilihan terbaik. Ketika cuaca panas, pakaikan bayi dengan baju yang nipis atau bedung dengan bayi hanya memakai lampin.
6. Seeloknya mulakan membedung tidak lewat dari usia 3 bulan
Kerana tujuan meniru sebarang sensasi rahim adalah untuk membantu penyempurnaan proses peralihan dari dunia rahim ke dunia luar rahim, maka bedung boleh di mulakan pada bila-bila masa pada 3 bulan pertama.
Bukan bermakna menjadi kesalahan andai anda baru ingin memulakan bedung pada usia yang lebih lewat dari itu. Tetapi pada kebanyakkan masa, bayi sudah pandai menghisap jari dan mengekalkan jarinya di dalam mulut pada usia 4 bulan.
Membedung berkemungkinan besar akan membuat bayi marah kerana tidak dapat menghisap jarinya lebih-lebih lagi kerana mereka tidak kenal apa itu bedung. Malah, sebahagian bayi telah menguasai kemahiran membalikkan badan untuk meniarap sekitar usia 4 bulan.
Ia mungkin menyukarkan jika baru hendak memperkenalkan bedung pada usia sebegini namun tiada salahnya mencuba. Ini kerana, walau sesetengah bayi telah sedia bercerai bedung sekitar usia 3-4 bulan, ramai bayi yang tidur lebih lena ketika dibedung dan memerlukannya sehingga sekitar mencecah usia 1 tahun.
Contoh salah satu teknik bedung yang mudah : Teknik DUDU (Down-Up-Down-Up)
5. Salah faham biasa berkaitan bedung
Masih ramai yang menolak amalan bedung atas beberapa sebab paling biasa berikut:
1. “Bayi saya tidak gemar di bedung. Dia marah dan menangis lebih kuat jika dibedung..”
Ianya antara dakwaan paling popular terutama dikalangan ibubapa yang berada dalam fasa membiasakan diri dengan bedung. Bayi kecil tidak faham dengan apa yang cuba anda lakukan termasuk cubaan anda membedung untuk membantunya bertenang.
Tambahan pula, bayi tiada kesabaran untuk menunggu apa jua yang sedang anda lakukan walau ianya hanyalan 1 atau 2 minit untuk menyudahkan membedung. Maka, sudah tentu, bayi yang telah marah akan bertambah marah.
Namun, berhenti ditengah jalan atau menganggap bayi anda bencikan bedung hanyalah satu salah faham yang biasa. HELAHNYA, jika bayi anda dari kategori bayi sensitif atau colic (sawan tangis) iaitu bayi yang sukar berpuas hati, membedung sahaja selalunya tidak cukup untuk mententeramkan mereka. Ia harus disusuli dengan kelakuan mententeramkan yang lain misalnya membuai atau/dan memasang bunyian mententeramkan.
2. Membedung membuat bayi merasa bagai terperangkap dan menghadkan pergerakannya untuk meneroka dunia
Sudah tentu bedung membuat sesiapa saja merasa terperangkap dan menghadkan pergerakan. Namun, bukanlah itu tujuan utamanya? Bukanlah itu yang amat di perlukan oleh mana-mana bayi yang sedang tenggelam dalam kitaran jeritan dan tangisan tanpa hentinya?
Untuk memerlukan seorang dewasa membantunya mengambil alih situasi yang meletihkan itu, mematikan reflek moro yang membuat tangan dan kakinya menerawang kesemua arah dan memasukkanya ke dalam ketenangan. Lawan kepada terperangkap adalah kebebasan. Kebebasan datang dengan tanggungjawab.
Seperti memberi kebebasan buat anak berusia 3 tahun memegang pensil warna dan mula menconteng kertas atas keyakinan dia sudah memiliki kemampuan otot motor yang diperlukaan untuk menggenggam, mengekalkan dan menggerakkan pensil yang di pegang ke tempat yang sepatutnya.
Jelas, kebebasan yang sama tidak akan sesekali diberikan kepada bayi berusia 6 bulan kerana kita tiada keyakinan bahawa bayi 6 bulan berkemampuan mengambil tanggungjawab membuat perkara yang sama terhadap kebebasann yang diberikan berkaitan isu pensil warna tersebut. Pada akhirnya, bedung hanya untuk 2 situasi; mententeramkan bayi menangis dan untuk membantu bayi tidur lebih lena.
Dapatkah bayi yang sedang tidur membuat penerokaan dunia sekeliling mereka? Dan bagaimana pula bayi yang sedang marah dan bersedih boleh menumpukan perhatian untuk belajar dan meneroka? Sudah tentu bedung bukan untuk sepanjang hari walau pada usia di bawah 1 bulan, sesetengah bayi di bedung kira-kira 12-20 jam dalam sehari kerana bayi dalam usia begini banyak menghabiskan masa dengan tidur dan hanya terjaga sekitar 1 jam sebelum kembali letih. Malah, sesetengah bayi dari kategori ‘mudah’ yang baik-baik sahaja tidur tanpa bedungan, tidak perlu untuk dibedung.
3. Membedung akan membuat bayi bergantung harap kepada bedung dan tidak mampu berpisah darinya
Tiada istilah terlebih beri kepada bayi kecil. Kesemua sensasi rahim yang biasa diterima bayi selama 24 jam sehari selama 9 bulan tanpa henti semasa di dalam kandungan telahpun diputuskan saat bayi menjengah dunia.
Jika ada bayi yang di bedung 12 jam dalam sehari pun, ia masih pengurangan sebanyak 50% dari apa yang telah biasa dia dapatkan. Malah, semua bayi seharusnya di beri penghargaan atas kesediaan mereka melepaskan apa yang telah menjadi kepunyaan mereka disepanjang 9 bulan untuk keluar ke dunia ini menemui anda dan bersedia pula menerima kurang dari apa yang biasa mereka terima.
4. Bedung membuat bayi saya ‘lupa’ untuk makan atau merasa lapar serta menganggu proses penyusuan
Percayalah, tiada apa yang dapat memuaskan bayi yang sedang kelaparan selain memberinya susu. Tidak walau dengan bedungan yang paling menyelesakan!
Anda tidak perlu khuatir kerana bayi akan membuat reaksi fizikal yang jelas bila lapar seperti resah dan memalingkan muka ke kiri dan kanan mencari benda untuk di hisap, membuat mulut burung, mula membuat bunyi sedutan angin kosong dan menghisap puting atau jari dengan rakus beberapa minit sebelum marah. Pernah ada suatu kajian oleh pasukan Rusia yang membandingkan proses penyusuan bayi yang di bedung beberapa jam setelah di lahirkan berbanding bayi yang dipegang dan mendapat sentuhan kulit ke kulit. Kajian tersebut menyimpulkan bahawa membedung tidak mempunyai kesan signifikan terhadap pengeluaran susu ibu.
Penghasilan susu ibu pada 4 hari pertama selepas kelahiran tidak berbeza samada buat kumpulan dengan bayi yang dipegang secara sentuhan kulit ke kulit atau bayi yang dipegang dalam keadaan berbaju atau di bedung malah buat bayi yang terpisah sementara selepas kelahiran. Ada satu lagi kajian oleh kumpulan pasukan Amerika yang ingin melihat andai bedung menyukarkan proses menghisap.
Mereka membandingkan penyusuan pada 2 jam pertama selepas kelahiran diantara kumpulan bayi yang di bedung dengan tangan di luar berbanding bayi yang di pegang secara sentuhan kulit ke kulit . Kajian tersebut menyimpulkan bahawa membedung tidak mendatangkan kesukaran kepada proses penyusuan kepada kumpulan bayi yang dibedung.
Kedua-dua kumpulan bayi melekap dan menghisap dengan baik tanpa mengira faktor mikro-sekitaran mereka iaitu samaada di bedung atau dipegang secara sentuhan kulit ke kulit.
Ditulis oleh Puan Uswatun Hasanah (Baby Cry Consultant)
Sumber:
Bystrova K, et al. The effect of Russian Maternity Home routines on breastfeeding and neonatal weight loss with special reference to swaddling. Early Human Development, 2007; 83, 29-39.
Bystrova K, et al. Early lactation performance in primiparous and multiparous
Women in relation to different maternity home practices. A randomised trial in St. Petersburg. International Breastfeeding Journal. 2007; 2:9
Moore ER, Anderson GC. Randomized controlled trial of very early mother-infant skin-to-skin contact and breastfeeding status. Journal of Midwifery & Women’s Health.2007;52;116-25.
Artikel ini telah diterbitkan semula dengan izin dari Doktorbudak.
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!