Bak kata pepatah Melayu, sedangkan lidah lagi tergigit, jadi berselisih faham atau berkelahi antara suami, isteri itu adalah biasa.
Seawal perkahwinan, pasangan suami, isteri mencuba untuk memahami antara satu sama lain. Tetapi pasti akan berlaku salah faham dan perbezaan pendapat kerana sememangnya hati manusia ini tak sama walaupun bergelar suami, isteri.
Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah berkongsi tips dalam Facebook miliknya jika bertengkar dengan pasangan dengan menggunakan tiga ayat ini.
- “Saya memang marah dan kecewa juga tetapi tu semua tak mengurangkan sedikit rasa sayang saya pada awak.”
- “Saya tahu kita tengah struggle sangat-sangat sekarang, tetapi saya takkan kemana-kemana. Kita akan tetap perjuangkan bersama-sama.”
- “Saya nak keluar kejap. 30 minit je. Dah tenang nanti, kita bincang semula baik-baik ye.”
Buat para suami isteri, api jangan di lawan dengan api. Perlu bertindak jadi air. Sentiasa tenang, damai dan meredakan api yang marak.
Bertengkar dengan pasangan itu adalah benda biasa dalam kehidupan tetapi sejauh mana kita menguruskan pertengkaran itulah yang akan menjadikan tindakan kita jadi luar biasa. Renung-renungkan dan selamat berdamai.
Elak Lakukan Perkara Ini Ketika Bergaduh
Sebagai suami isteri, anda perlu hormati pasangan anda dalam apa jua keadaan dan jangan lakukan perkara-perkara ini jika anda berkelahi dengan pasangan anda!
1. Jangan gunakan ayat-ayat yang boleh mengguriskan hati pasangan
Marahlah macam mana pun, anda sebagai pasangan janganlah menggunakan kata-kata yang menyakitkan hati pasangan anda. Keadaan akan menjadi lagi keruh sekiranya anda memerli, menggunakan kata-kata yang menyakitkan hati dan rasa hormat terhadap pasangan mula berkurangan.
Sebaiknya, gunakan ayat ringkas yang mudah difahami dan menggambarkan perasaan anda ketika itu. Pasangan anda akan faham dan mereka pasti akan cari jalan untuk sama-sama perbaiki keadaan.
2. Jangan berlagak seperti tiada apa-apa yang terjadi
Mengabaikan pergaduhan dalam sesebuah hubungan atau berpura-pura ia tidak pernah berlaku bukanlah idea yang bijak. Untuk membina hubungan suami isteri yang sihat, anda seharusnya tahu apa cara terbaik untuk perbaiki konflik rumah tangga anda.
Jika anda hanya pendam perasaan tanpa pengetahuan mereka, ia boleh mengganggu fikiran malah boleh meletup sehingga boleh mencetuskan konflik yang lain pula. Sebaiknya, jangan mengelak dan anda perlu berdepan pasangan anda dan selesaikan konflik dengan cara yang baik.
3. Jangan kongsi hal rumah tangga di media sosial
Menjadi kebiasaan pada seseorang untuk mendapatkan sokongan daripada sesiapa yang menjadi telinga yang mendengar pada setiap luahan hati mereka. Namun, luahan perasaan anda bukanlah untuk tontonan atau perhatian awam.
Perkara ini sebaiknya dielakkan kerana ia boleh menimbulkan banyak andaian yang bukan-bukan dari orang ramai serta fakta yang sebenar boleh dimanipulasi.
Ia boleh menjadi bertambah buruk apabila ia menjadi bualan mulut orang ramai sehingga timbulnya fitnah. Sebaiknya, luahkan perasaan anda hanya pada orang yang anda betul-betul anda percaya yang boleh berikan nasihat yang seimbang dan jujur tanpa perlu uar-uarkan pada orang ramai.
4. Jangan bergaduh dalam tempoh yang lama
Jangan memanjang-manjangkan pergaduhan. Cukuplah berkelahi hanya untuk sementara waktu. Sudah habis bergaduh, berdamailah. Kadang-kadang, anda perlu buat tidak tahu sahaja yang anda baru bergaduh. Pujuklah pasangan anda dengan kata-kata yang menyejukkan hati. Memanjangkan pergaduhan tidak dapat mengubah keadaan.
Sebaliknya, bertenang dan berdamai lebih baik untuk perbaiki hubungan atau masalah dalam sesebuah perkahwinan. Oleh itu, jangan sengaja rosakkan rumah tangga yang dibina dengan perbuatan yang melampau serta jangan sengaja bergaduh dengan pasangan anda semata-mata untuk dapatkan perhatian mereka.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Suami Yang Sukar Fahami Emosi Ibu Hamil Cenderung Bertengkar Dengan Pasangan
Baca juga : Biasalah Suami Isteri Tidak Sependapat, Tapi Jangan Sesekali Ujar 4 Kata-Kata Ini! Boleh Jadi Perang Dingin!
Baca juga : Marah Macam Mana Pun, Jangan Buat 7 Perkara Ini Bila Bergaduh Dengan Pasangan!