Apabila mendapat tahu isteri positif hamil, pasti anda berdua akan melakukan segala persiapan termasuklah mendapatkan bidan bersalin yang terbaik bagi memastikan keselesaan pasangan.
Namun, siapa sangka penantian berakhir dengan mimpi buruk apabila pasangan ini telah memilih keputusan yang salah untuk menyambut kelahiran bayi mereka di rumah.
Khidmat bidan bersalin
Difahamkan, ibu ayah malang ini telah mengupah seorang ”bidan palsu” bagi mengurus sepenuhnya proses bersalin sehingga menyebabkan kaki bayi mereka cedera dan patah.
Menurut Daily Mail UK, kisah ini menjadi tular dalam media sosial yang memaparkan beberapa keping gambar keadaan kaki bayi yang biru kehitaman.
Hal ini sekaligus mengundang kemarahan para doktor perubatan di Rusia kerana kesilapan mereka tidak menjalani prosedua kelahiran yang selamat di hospital.
Kejadian di bandar Voronezh ini berlaku dipercayai kerana kelewatan membawa ibu bayi untuk rawatan hospital selepas mengalami masalah ketika menggunakan khidmat bidan bersalin di rumahnya.
Namun, setelah melihat keadaan yang begitu kritikal, dua orang bidan bersalin amatur ini menjadi begitu panik sebelum segera membawa ibu dan bayi ke hospital bersalin.
Menurut Ketua Ginekologi Negeri, Olga Samafalova berkata, ia berita yang agak mengejutkan apabila terdapat wanita hamil berani memilih untuk mendapatkan khidmat ‘bidan palsu’ terdiri daripada mereka yang berpendidikan tinggi.
“Ia berlaku kerana pasangan telah terpedaya dengan kisah indah yang dikongsi dalam kalangan mereka tentang perjalanan kelahiran secara alami,”
“Namun, ia bukanlah seindah yang disangka kerana kebanyakan wanita bersalin secara ‘alami’ berdepan masalah pendarahan teruk atau nekrosis, sekaligus menjejaskan kesihatan mereka,” katanya.
Sebelum itu, bidan bersalin palsu ini menyedari bayi dalam kandungan berada dalam keadaan songsang dan isterinya telah diberikan ramuan homeopathi untuk membetulkan kedudukan bayi.
Bagaimanapun, keadaan bayi tidak berubah sehinggalah tiba waktu kelahiran menyebabkan kaki bayi terlebih dahulu keluar dari rahim ibunya.
Kongsi ayah kepada bayi malang berkenaan tentang bagaimana mengenali dua orang bidan bersalin berkenaan iaitu Valeria dan Ekaterina ketika menyertai kelas kelahiran alami yang dianjurkan oleh mereka.
“Saya berasa cukup menyesal mendapatkan khidmat mereka. Lebih menyakitkan hati apabila kedua-dua wanita berkenaan meminta saya menjelaskan sepenuhnya bayaran bagi perkhidmatan yang diberi,”
“Kini, mereka juga menghilangkan diri selepas saya memaklumkan kepada mereka rakaman proses kelahiran itu masih disimpan,” katanya.
5 risiko bersalin di rumah
#1. Tiada pemantauan semasa proses bersalin
Pemantauan kurang rapi akan berlaku kerana alatan bersalin di rumah begitu terhad.
Misalnya, penggunaan alat mengesan jantung janin (cadiotocograph) amat penting bagi mengesan sebarang masalah awal yang berlaku seperti kurang oksigen.
Ia sekaligus mengelakkan komplikasi seperti kecederaan otak atau kematian bayi dalam kandungan.
#2. Tiada pegawai perubatan bertanggungjawab
Ibu yang bersalin di rumah biasanya akan mengambil perkhidmatan seorang doula.
Menurut Dr Krishna H Kumar, doula merupakan seorang wanita yang pernah melahirkan. Dia hadir bersama untuk memberi anda sokongan, bantuan, nasihat ketika dan selepas proses kelahiran bayi anda.
Walau bagaimanapun, seseorang ibu perlu tetap merujuk kepada doktor untuk tujuan perubatan, terutamanya apabila berlaku sesuatu yang di luar jangkaan.
#3. Pendarahan teruk selepas kelahiran
Secara umumya, pendarahan teruk yang berlaku selepas bersalin menjadi penyebab utama kematian ibu di seluruh dunia. Sekiranya tidak dirawat melalui prosedur hospital, ia akan menjadi sukar untuk dikendalikan.
#4. Persediaan menghadapi kecemasan
Kelahiran di rumah tanpa kepakaran doktor terlatih dan alatan perubatan lengkap tentunya menjadi satu tindakan berbahaya dan berisiko mengancam nyawa ibu dan bayi.
Pelbagai perkara boleh berlaku ketika proses bersalin atau selepasnya. Tanpa seseorang yang berpengalaman, petunjuk dan simptom berbahaya tidak dapat dikesan lebih awal sehingga menjadi lebih parah.
#5. Masalah selepas bersalin
Jangan terlalu gembira sekiranya bayi telah selamat dilahirkan kerana dia mungkin berdepan dengan pelbagai risiko masalah lain seperti kesukaran bernafas atau bayi tidak menangis.
Kes sebegini perlu ditangani secepat mungkin oleh pakar kanak-kanak yang khusus. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan masalah pernafasan pada bayi sehingga bergantung kepada bantuan mesin pernafasan.
Sumber: Harian Metro, The Zuriat
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami
Baca juga: