8 Tahun Tunggu Nak Buat IVF, Akhirnya Doktor Bagi Jawapan Wanita Ini Kena Buang Rahim

Ada beberapa keadaan yang mungkin menyebabkan anda terpaksa lalui prosedur buang rahim ia termasuklah jika alami senggugut terlalu teruk.

Sebut saja buang rahim, pasti ramai wanita yang rasa takut kerana rahim adalah salah satu aset yang hanya dimiliki wanita dan ia adalah lambang kewanitaan kerana tanpa rahim mereka tidak boleh mengandung.

Bagi wanita ini, lapan tahun penantian untuk membuat rawatan IVF sebagai usaha mendapatkan zuriat, akhirnya jawapan yang diterima mampu membuatkan sesiapa saja mengalirkan air mata. 

Doktor mengesahkan rahimnya perlu dibuang!

Buang rahim akibat senggugut teruk dialami sejak datang haid

Kredit: hellodoktor

Menceritakan keadaannya, wanita ini mengakui memang dia mengalami senggugut teruk sejak mula haid. Kesakitan yang dialami membuatnya sehingga muntah-muntah, mual malah pernah juga pengsan beberapa kali.

Beliau juga cuba mendapatkan rawatan kerana keadaan itu dan akhirnya pada 2011 doktor mengesahkan beliau mengalami cyst ovari iaitu keadaan di mana sebuah kantung berisi cecair dipanggil cyst terbentuk di salah satu ovarinya.

Adalah biasa untuk ia terbentuk pada mana-mana wanita, bagaimanapun dalam saiz yang kecil. Tetapi doktor mendapati saiz cyst yang dijumpai adalah 12.9 sentimeter!

Itulah yang membuatkannya sakit tidak terhingga ketika alami haid. Semoga wanita ini terus kuat!

Apa itu prosedur buang rahim?

Buang rahim atau histerektomi adalah prosedur pembedahan yang dilakukan untuk membuang rahim anda yang boleh dilakukan di abdomen atau faraj. Prosedur ini kedua-duanya dirujuk sebagai histerektomi abdominal atau histerektomi vagina.

Histerektomi Abdominal dilakukan apabila rahim membesar kerana fibroid atau tumor. Histerektomi Vagina dijalankan apabila berlakunya rahim prolaps.

Dalam sesetengah kes, pembedahan laparoskopi dilakukan sebagai prosedur invasif yang minimum. Dalam kes-kes tertentu, tiub fallopio ovari dikeluarkan bersama dengan rahim dan juga serviks. Prosedur ini dilakukan hanya apabila rawatan alternatif tidak berkesan.

5 sebab yang memungkinkan rahim anda dibuang

Kami kongsikan beberapa sebab yang menyebabkan rahim seseorang itu boleh dibuang. Ia termasuklah:

#1. Kanser rahim, ovari atau serviks (pangkal rahim)

Kanser rahim adalah sejenis kanser yang bermula pada bahagian dinding dalam rahim seorang wanita. Dinding dalam rahim ini disebut sebagai endometrium.

Berdasarkan data daripada National Cancer Institute, dianggarkan setiap 3 daripada 100 orang wanita didiagnosis mempunyai kanser rahim ini.

Pada kebiasaannya, kanser rahim ini akan dikesan pada peringkat awal memandangkan ia biasanya akan menyebabkan pendarahan tidak normal pada faraj yang kerap berlaku.

#2. Fibroid

Fibroid adalah tumor bukan kanser di dinding rahim anda. Fibroid ialah ketumbuhan abnormal yang terbentuk pada rahim wanita. Fibroid rahim tidak berkaitan dengan peningkatan risiko kanser rahim dan selalunya tidak pernah berkembang menjadi barah.

Kadangkala, ketumbuhan ini menjadi agak besar dan menyebabkan kesakitan abdomen yang teruk bersama darah haid yang terlalu banyak. Ia juga menyebabkan penghidapnya sering mengalami kurang darah atau anemia. Juga pernah melalui transfusi darah kerana  hemoglobin terlalu rendah. 

Dalam kes lain, ia tidak meninggalkan sebarang gejala atau simptom langsung.

#3. Endometriosis

Tisu yang meliputi rahim tumbuh di luar rahim anda pada ovari, tiub fallopio atau organ lain.

Endometriosis ialah satu keadaan yang tidak merbahaya tetapi boleh menyebabkan kesakitan dan pelbagai masalah lain yang kerapkali mengganggu pengeluaran benih, serta menyekat saluran peranakan wanita.

#4. Adenomiosis

Tisu yang meliputi rahim yang tumbuh di dinding otot rahim wanita. Adenomiosis adalah keadaan di mana lapisan dalaman rahim (endometrium) memecah melalui dinding otot rahim (miometrium).

Adenomiosis boleh menyebabkan kekejangan haid, tekanan perut rendah, dan kembung sebelum haid dan boleh menyebabkan haid yang berat. Keadaan ini boleh didapati di seluruh rahim atau terletak di satu tempat.

#5. Prolaps uterus/rahim/peranakan jatuh

Kredit: lingkaranduniaku

Rahim anda jatuh dari kedudukan biasa ke dalam faraj anda. Peranakan jatuh atau prolaps rahim adalah keadaan dimana terdapat bahagian organ rahim atau vagina yang terkeluar daripada tempatnya.

Ia sering disertai dengan penglibatan organ sekitarnya seperti pundi kencing dan rektum dubur. Rahim seseorang wanita boleh “jatuh” akibat kelemahan otot-otot pelvik atau juga dikenali sebagai “otot lantai pelvik”.

Otot-otot ini berfungsi sebgai penyokong kepada organ rahim dan struktur sekelilingnya daripada jatuh. Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan kelemahan struktur otot-otot ini lalu menyumbang kepada kondisi prolaps ini.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

kredit foto: novyandi

Baca juga: Apa Maksud ‘Rahim Lemah’? Incompetent Cervix, Punca Keguguran Pada Awal Kehamilan

Baca juga: 1 Dalam 50 Juta, Wanita Dengan Dua Rahim Berjaya Hamil Kembar Dalam Rahim Berbeza

Baca juga: Wanita Tanpa Rahim Adalah Insan Istimewa, Mampukah Mereka Bahagia Seperti Orang Lain?

Penulis

Lala Annuar