Teringat masa anak umur enam bulan dulu, setiap malam memang akan masak bubur bayi untuk dijadikan bekalan di rumah pengasuh. Selepas siap masak masukkan dalam bekas, kemudian simpan dalam peti sejuk. Esok pagi-pagi, bawa ke rumah pengasuh dan minta dia panaskan sahaja balik. Jadi ringanlah kerja pengasuh nanti.
Tapi betul juga kan memang leceh sikit nak masak bubur bayi ini kerana perlu tunggu lama untuk masak supaya bubur betul-betul lembut, sebelum diberikan pada si kecil. Jadi, tak ada ke cara lain yang mudah sikit?
Terutama kalau nak sediakan hidangan makan tengah hari untuk keluarga. Mana nak goreng ikan, masak kuah kari ayam, sayur goreng pastu nak kena siapkan bubur bayi lagi. Aduh, memang ribut ibu di dapur!
Apapun relaks ibu, sebab anda mesti teruja kalau kami kongsikan tips yang sangat mudah dan jimatkan masa ibu untuk menyediakan bubur si kecil ini, iaitu masak bubur dengan nasi sekaligus dalam satu masa yang sama.
Masak nasi & bubur bayi 2 in 1
Teknik penyediaan bubur bayi ini dikongsikan oleh Puan Musyahadah Ooo yang mendapat 20,000 perkongsian di Facebook, malah cara ini juga dapat jimatkan masa untuk masak nasi dan dalam masa yang sama siapkan bubur anak.
Apa yang best, bubur ini kita boleh plan nak masak dengan tekstur yang lembut atau keras yang bergantung pada umur bayi.
Cara jimat masak nasi & bubur dalam satu masa yang sama
Ini adalah bahan-bahan yang anda perlu siapkan untuk penyediaan bubur si manja. Untuk masak nasi guna cara seperti biasa iaitu beras dan air.
Bahan-bahan:
- Ikan bilis atau ayam
- Sayuran mengikut kegemaran
- 1 sudu minyak sayuran
Langkah demi langkah
Langkah 1:
Ini pula adalah langkah bagi menyediakan peralatan untuk masak kedua-duanya sekali iaitu periuk nasi dan cawan atau mangkuk kecil. Kalau boleh guna stainless steel.
Langkah 2:
Bahagikan beras dalam cawan kepada 3 bahagian. 1 beras, 2 air.
Jika mahu bubur lembik, kurangkan beras. Manakala nasi dalam periuk pula masak seperti biasa.
Langkah 3:
Seterusnya isi air dengan secukupnya dan letak cawan di bahagian tengah rice cooker.
Langkah 4:
Kemudian, masukkan bahan-bahan perasa untuk bubur nasi bayi. Ini semua mengikut kesukaan dan kegemaran si kecil seperti ikan bilis, ayam, lobak merah, brokoli dan apa sahaja yang anda suka.
Selepas itu, tambahkan sedikit minyak sayuran untuk melembutkan bubur. Kalau boleh guna minyak zaitun, minyak bunga matahari atau apa saja minyak yang anda mahu. Minyak masak yang selalu guna itu pun boleh.
Langkah 5:
Setelah semua bahan dimasukkan, anda boleh masak bubur seperti biasa.
Langkah 6:
Bila bubur sudah siap dimasak, gaul sedikit bubur itu supaya cepat lembut.
Anda boleh lihat sendiri, tekstur nasi biasa dan bubur ada kelainan. Di mana bubur nampak lebih lembik dan lembut serta sesuai untuk bayi.
Tara…siap! senangkan masak nasi tapi dalam masa yang sama masak bubur juga. Memang sangat mudah dan menjimatkan masa. Malah hasilnya boleh dapat dua kali mangkuk kecil untuk dua kali makan.
Lepas ini boleh buat lagi dengan cara yang sama sekaligus bayi dapat makan bubur yang fresh dan tiada bau hangus. Memang ia memudahkan kerja ibu di dapur!
Semoga perkongsian Puan Musyahadah ini membantu kerja dapur anda. Diharap bermanfaat dan selamat mencuba!
Tips pemakanan buat si cilik!
Bayi perlu membiasakan diri dengan kaedah pemakanan baru semasa diberi makanan pejal. Berikut kaedah yang boleh digunakan:
– Pertama kali, guna sudu semasa memberi susu pada bayi. Sesudah dia biasa makan dengan guna sudu, makanan pejal yang lembut boleh diberikan.
– Mulakan dengan satu atau dua sudu makanan terlebih dahulu. Lepas beberapa hari boleh berikan tiga ke empat sudu pula sehingga hari yang seterusnya.
– Makanan pejal yang sesuai sebagai permulaan adalah mempunyai rasa tekstur yang lembut dan tawar seperti kanji, ubi kentang lenyek, sayuran, lobak merah, puri buah pisang, epal dan lain-lain.
– Jangan tambah garam dan gula dalam makanan si kecil.
– Jangan masukkan makanan pejal dalam botol susu.
– Makanan pejal boleh dicampurkan dengan sedikit susu badan atau air masak
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber: Musyahadah Oo
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga
https://my.theasianparent.commakanan-bayi-6-bulan